Sunday, July 5, 2009

Kisah ‘sejadah terapung’ dan fenomena masjid kosong


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

NAMPAKNYA Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang sangat unik itu tidak habis-habis dikaitkan dengan cerita kontroversi dan misteri. Jika di awal pembinaannya empat tahun lalu ia menjadi bahan pertikaian di kalangan khalayak politik dan aktivis sosial, cerita-cerita pelik setelah ia disiapkan menyambung kontroversi mengenai pembinaannya.

Masjid yang menjadi komponen utama Taman Tamadun Islam berhampiran muara Sungai Terengganu itu pernah menjadi fokus bual bicara masyarakat. Persoalan utama dibangkitkan ialah keperluan pembinaannya. Apakah sepadan kos yang tinggi berbanding manfaat yang bakal diperolehi rakyat Terengganu hasil pembinaannya?

Setelah siap, Masjid Kristal dilanda kontroversi lagi. Tahun lalu tersebar cerita mengenai kubah utamanya yang dirakamkan menyerupai sesuatu bentuk aneh. Visual itu didakwa dirakam oleh seorang pelancong dari atas bot yang menyusuri sungai berdekatan masjid itu. Ia dimuat di laman internet dan ditonton seluruh dunia.

Minggu lalu, satu lagi kes pelik sebegitu didedahkan media. Sebuah akhbar Inggeris, Selasa (30 Jun) lalu memetik ulasan Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz mengenai kejadian “sejadah terapung” yang dikatakan berlaku di dalam Masjid Kristal.

Menurut laporan itu, seorang wanita dari Seremban yang menziarahi masjid tersebut awal Jun terserempak dengan fenomena pelik itu. Beliau dikatakan sempat merakamkan kejadian itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Penyebaran cerita itu dikatakan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat berdekatan. Aizi Saidi bagaimana pun mengaitkan kejadian itu dengan sikap tidak ambil berat rakyat negeri Terengganu dengan tuntutan menunaikan solat berjamaah.

“Tidak perlu panik. Kejadian itu adalah ingatan kepada umat Islam agar tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat berjamaah,” ujar imam itu.

Belia malah mengakui fenomena masjid kosong semakin menjadi lumrah di Terengganu. Katanya, negeri itu mempunyai masjid yang sangat banyak, tetapi jumlah jemaah yang memakmurkannya amat mendukacitakan.

“Sebilangan masjid kita malah kekurangan ahli jemaah walau pun ketika solat Jumaat,” akhbar itu memetik pengakuan beliau.

Pengakuan terbuka dan terus-terang itu bagaimana pun bukan suatu yang mengejutkan. Hakikat amat menyedih dan mengecewakan itu bukan cerita baru. Cerita masjid-masjid di Terengganu kosong dan lengang kedengaran sejak berdekad dulu.

Hanya buat beberapa tahun di zaman pemerintahan PAS, fenomena itu diperbaiki. Sebahagian besar masjid milik kerajaan kelihatan “basah” dan makmur. Jumlah anggota qaryah yang menghadiri masjid meningkat mendadak di serata negeri. Kemakmurannya ditambah dengan siri kuliah dan tazkirah yang silih berganti.

Perkembangan positif dan membanggakan itu bagaimana pun susut dan pupus ekoran tindakan politik oleh Barisan Nasional (BN) yang mengambilalih pemerintahan pada 2004.

Ia dimulakan dengan pemansuhan semua Jawatankuasa Masjid Mukim (JMM) dilantik oleh kerajaan PAS. BN menggantikannya dengan kumpulan manusia yang sealiran dengan fahaman politiknya.

Malangnya, keghairahan BN membalas dendam kepada penyokong parti lawan di peringkat kampung gagal mengambilkira keperluan menjaga kemakmuran masjid. Orang yang BN lantik sebagai Ahli JMM sebahagian besarnya bukan dari jenis manusia yang “dekat” dengan masjid.

Hati mereka tidak pernah terpaut dengan rumah Allah. Jauh sekali untuk diharapkan menjadi pemakmur tempat ibadat itu. Satu-satunya kelayakan diambilkira ialah pendirian dan kecenderungan politik mereka yang memihak BN.

Akhirnya berlakulah fenomena masjid-masjid yang kosong dan kontang. Jumlah ahli qaryah yang berjamaah merosot mendadak. Bilangan majlis ilmu juga tidak lagi sekerap sebelumnya. Sebahagian besar tenaga pengajar dan ustaz terlibat memberikan kuliah dan tazkirah tidak lagi diberikan ruang meneruskan usaha dakwah dan pegajaran agama.

Turut terlibat dalam rombakan politik itu ialah sebilangan imam dan bilal yang dilantik oleh kerajaan PAS. Mereka dipecat dengan berbagai pendekatan dan dalih. Sebahagian kes itu langsung tidak mengambilkira keperluan tenaga mereka di masjid setempat. Bahkan ada kes di mana kekosongan akibat pemecatan mereka itu gagal diisi BN hingga kini.

Perkembangan merugikan umat Islam ini mendapat perhatian Tuanku Sultan Terengganu. Baginda pernah menegur kerajaan negeri (BN) yang gagal menangani masalah kekurangan imam dan bilal yang sangat serius di serata negeri.

Malangnya, teguran Tuanku itu bagaikan singgah ke telinga pemimpin yang ‘pekak badak’. Sehinggakan fenomena itu bukan sahaja berlaku di masjid mukim, malah turut melanda masjid kerajaan dan masjid daerah.

BN lebih rela membiarkan jawatan imam kekal kosong daripada mengisinya dengan orang yang condong kepada pembangkang. Meski pun berkelayakan dan menepati syarat bacaan serta syakhsiah Islam, ia tidak cukup baik selagi tidak menzahirkan sokongan dan kecenderungan yang jelas kepada BN. Oleh kerana syarat merit politik terlalu diambilkira, maka calon menepati kriteria itu amat sukar ditemui.

Masjid-masjid kekal kosong dan lengang. Imam Besar Terengganu telah menyifatkan kejadian “sejadah terapung” tadi sebagai peringatan Tuhan agar umat Islam negeri itu memperbetulkan keadaan itu dan kembali memakmurkan masjid-masjid.

Punca utama tiada kemakmuran itu ialah tindakan politik rakus oleh BN. Maka bagi memperbetulkan keadaan yang merugikan Islam ini, jalan terbaik bagi rakyat Terengganu ialah dengan mengembalikan semula pemerintahan kepada orang yang dekat hati dan amalan mereka dengan masjid!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 5-11 Julai 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment