Sunday, July 19, 2009

Cerita pelajar berkarate, Ulul Albab dan pemantapan BI


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

CERITA kebobrokan akhlak dan perlakuan pelajar Terengganu sekali lagi menjadi isu nasional minggu lalu. Setelah bulan lalu tersiarnya cerita sekumpulan pelajar lelaki menyerang seorang guru di rumahnya dan merosakkan harta-bendanya akibat masalah disiplin di sekolah, cerita yang tersebar minggu lalu pula lebih mengaibkan.

Ia melibatkan pergaduhan fizikal sekumpulan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah Dungun. Kejadian dikatakan berlaku bulan lalu. Pergaduhan itu bagaimana pun hanya mendapat perhatian umum apabila rakaman aksi mereka disebarkan menerusi internet dan telefon bimbit.

Ia memaparkan aksi “ala-karate” tiga pelajar perempuan yang bertindak menampar, menumbuk muka dan menyepak seorang pelajar perempuan di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya.

Pihak sekolah yang bertindak atas maklumat yang disebarkan itu mendapati tiga pelajar yang membelasah itu dari Tingkatan Dua, manakala mangsa belasahan itu dari Tingkatan Satu. Aksi pergaduhan mereka dirakam rakan menggunakan kamera telefon bimbit.

Isnin lalu, pihak sekolah terbabit menggantung keempat-empat pelajar tersebut. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika mengulas penggantungan mereka berkata selain tiga suspek, pelajar yang menjadi mangsa belasahan itu turut digantung selepas siasatan mendapati dia turut menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan pergaduhan tu.

Alimuddin bagaimana pun menganggap kejadian terbabit sebagai kes terpencil. Sepanjang tahun ini, katanya, hanya dua kes seumpama itu dilaporkan, termasuk kes di Sarawak sebelum ini.

Itu adalah tanggapan yang mungkin menggambarkan pendirian kementerian. Bagaimana pun bagi anggota masyarakat awam pula, khususnya di Terengganu, kes pergaduhan pelajar dalam aksi memalukan sebegitu tidak boleh lagi dianggap terpencil.

Keseriusan sesuatu permasalahan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan besar atau kecil bilangan kes yang berlaku. Apa yang lebih utama diambilkira dan dibimbangkan ialah kesan terhadap keseluruhan imej dan prestasi pendidikan negara. Lebih penting lagi, apakah langkah sewajarnya telah dan akan diambil bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang?

Perlu diingat bahawa kes pergaduhan pelajar dalam aksi mengaibkan sebegitu bukanlah yang pertama seumpamanya, sama ada di peringkat nasional mahu pun di Terengganu sendiri.

Kita masih ingat lebih setahun lalu sudah tersebar rakaman aksi yang tidak banyak bezanya. Ia juga memaparkan pergaduhan sekumpulan pelajar perempuan, antara mereka masih dalam pakaian seragam sekolah.

Aksi gusti mereka juga “ala-karate”. Imej beberapa pelajar lelaki yang menjadi penonton dan tukang sorak turut terpapar. Siasatan mendapati kejadian berlaku di Sekolah Menengah Sultan Omar, juga di daerah Dungun.

Jika pergaduhan betina-betina itu “ala-karate”, apa yang berlaku melibatkan sekumpulan pelajar lelaki di Sekolah Menengah Belara, Kuala Terengganu sebelumnya pula disifatkan “ala-Samurai”. Pergaduhan mereka di padang sekolah berkenaan melibatkan libasan parang dan pedang.

Gambar-gambar aksi mereka beserta keadaan masing-masing selepas kejadian dalam keadaan berlumuran darah dengan baju dan seluar yang koyak rabak tersebar dan menjadi tatapan umum.

Sepertimana kes minggu lalu itu, kes pergaduhan berdarah itu juga dianggap terpencil. Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu malah tidak malu menafikan kejadian yang meruntuhkan imej pendidikan negara itu. Beliau menganggap cerita itu rekaan media, sedangkan kejadian tersebut dibuktikan dengan tersiarnya gambar-gambar mangsa terbabit.

Sebab itu masyarakat sukar menerima pendirian pihak berkuasa yang sering menganggap sesuatu kes sebagai terpencil. Terbukti setakat ini pendirian itu tidak membantu kita membendung gejala merosakkan generasi muda sebegitu.

Apatah lagi kes-kes disebutkan di atas berlaku di Terengganu, negeri yang telah menobatkan usaha melahirkan generasi Ulul Albab. Sebagai tambahan kepada ko-kurikulum pendidikan sedia ada, kerajaan negeri menokok beberapa nilai positif bagi mencapai hasrat murni itu.

Terengganu juga pernah dinobatkan sebagai negeri contoh dalam kejayaan pelajarnya untuk beberapa tahun sebelum ini. Bahkan, papan tanda “Contohi pelajar Terengganu” masih teguh terpasang di beberapa simpang jalan di serata negeri itu.

Gambar pada papan tanda itu ialah keratan akhbar yang melaporkan kejayaan seorang pelajar Terengganu menjadi pelajar terbaik seluruh negara untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun tersebut. Pelajar dari sebuah sekolah rendah di Besut itu sedang menerima anugerah dari Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran ketika itu.

Papan tanda itu dipacak kerajaan negeri kerana berbangga dengan kejayaan para pelajarnya. Bagaimana pun, dengan tersebarnya berbagai kes kebobrokan pelajar negeri itu, apakah papan tanda yang menyeru rakyat mencontohi pelajar Terengganu itu masih relevan?

Memang bukan semua pelajar berperangai buruk di sekolah. Tetapi kalau di Besut ada pelajar yang beranak dalam kelas, di Kuala Terengganu ada yang ditangkap cuba membakar kereta guru dan ada juga membedil sekolah dengan mercun, maka cerita kebaikan dan kejayaan mereka akan tenggelam begitu sahaja.

Setakat ini program Ulul Albab belum menampakkan hasil membanggakan. Masalah 51,000 murid darjah dua hingga enam di Terengganu tidak tahu bersembahyang, sepertimana pernah didedahkan seorang pegawai pelajaran daerah, juga belum selesai.

Tiba-tiba datang pula Kementerian Pelajaran dengan perancangan mempertingkatkan masa pembelajaran Bahasa Inggeris (BI). Agaknya itulah penyelesaian terbaik masalah kebobrokan pelajar kita, ya?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 19-25 Julai 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment