Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
MUNGKIN ada benarnya dakwaan sesetengah pihak bahawa
antara faktor utama kekalahan mengejutkan bagi PAS di Terengganu dalam Pilihan
Raya Umum 2004 lalu adalah wang ehsan. Rakyat Terengganu dikatakan memenangkan
Barisan Nasional (BN) bukan semata-mata di atas alasan kerana parti itu lebih
baik daripada PAS, tetapi lebih didorong sebab termakan budi dan tergilakan
taburan wang tersebut.
Sebab itu ada tanggapan mengatakan rakyat Terengganu
mudah kalah dengan wang atau ‘pitih’. Sehinggakan ada yang berani bertegas, “selagi
mana BN mampu menaburkan berbagai pemberian atas nama Dana Khas Kerajaan
Persekutuan, maka selagi itulah payah bagi PAS merampas semula pemerintahan
negeri itu”.
Rakyat Terengganu dikatakan semakin kukuh menyokong BN.
Ia bukan kerana mereka suka kepada parti itu atau berkenan kepada tabiat pemimpinnya
yang suka bergaduh dan sering terlibat dengan segala macam penyelewengan dan
salah guna kuasa.
Sokongan palsu rakyat kepada BN adalah kerana jiwa mereka
terpaut dan obses dengan wang ehsan. Otak mereka sudah dipahat dengan
kepercayaan, “jika mahu wang ehsan, undilah BN”.
Kini musim BN menabur ‘pitih’ itu tiba lagi. Di sana-sini
serata Terengganu bagaikan tidak ada topik lain lebih menarik dibicarakan
selain pembahagian wang ehsan. Kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan
puluhan juta untuk agihan tahun ini.
Sehinggakan ada yang berkelahi, bertegang leher dan
bermasam muka kerana dinafikan hak untuk mendapat borang dana. Tarikh tutup
penyerahan borang sehingga 15 Julai menyebabkan pihak yang belum menerimanya
bertambah kecoh.
Rakyat Terengganu diistilahkan sedang “mabuk pitih”
sekarang. Mereka mabuk dengan serbaneka huluran dan pemberian. Wang seolah-olahnya
tidak menjadi masalah buat BN.
Kesungguhan BN memperalatkan kekuatan kewangannya untuk
menambat hati rakyat mengesahkan bahawa parti itu juga beriman dengan
kepercayaan tadi. Bahawa selagi mana ia mampu menabur wang ehsan, maka selagi itulah
PAS tidak akan menang di Terengganu.
BN menjamu rakyat sehingga termakan budi dan tidak nampak
lagi soal baik-buruk, melainkan nilaian kebendaan. Rakyat sudah kena pukau. Mereka
sedia menyokong mana juga pihak yang boleh memberikan mereka kebendaan.
BN benar-benar memanipulasi kelebihan kewangan yang ada
padanya. Bagi menarik perhatian rakyat terhadap apa juga aktiviti atau tindakan
kerajaan, insentif dan ganjaran lumayan disediakan.
Hal itu terserlah lagi minggu lalu apabila kerajaan
negeri mengumumkan ganjaran agak lumayan bagi mana-mana pihak yang berjaya
menangkap ikan naga di Tasik Kenyir. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada 2
Julai, menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemancing yang berjaya menangkap
ikan naga atau nama saintifiknya Arapaima
Gigas.
Menurutnya, tawaran itu dibuat kerana kerajaan negeri
khuatir kehadiran ikan naga akan menyebabkan spesis ikan kecil di tasik itu
pupus. Ikan naga adalah spesis ikan pemangsa berasal dari Amazon. Arapaima Gigas boleh membesar sehingga
4.5 meter panjang dan mencapai berat sehingga 200 kilogram.
Pengumuman itu telah menarik kaki pancing ke Tasik Kenyir.
Memang bukan salah mereka berlumba-lumba mendapatkan ganjaran sebesar itu. Apatah
lagi dalam keadaan sekarang rakyat dibiasakan dengan habuan dan berbagai
bantuan kebendaan.
Namun tawaran itu menimbulkan perbahasan lain, terutama
oleh kalangan rakyat yang menilainya sebagai keputusan tidak teliti tanpa
mengambilkira keberkesanannya dan implikasi kewangan.
Pertama, Ahmad sendiri mengakui belum mengenalpasti
berapakah jumlah ikan naga yang ada dalam Tasik Kenyir. Ia mungkin hanya
seekor, mungkin juga beberapa ekor. Jumlah ganjaran RM10,000 adalah untuk
seekor. Maka bagaimana jika jumlah tertangkap nanti 10 ekor? Tentu ganjaran
perlu dibayar kerajaan negeri juga 10 kali ganda, bukan?
Kedua, apakah ada jaminan atau keyakinan kukuh masalah
itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan? Kebenaran memancing itu bermula
awal Julai sehingga 15 Ogos. Bagaimana jika ikan naga tidak tertangkap dalam
tempoh tersebut?
Ketiga, dengan jumlah ganjaran RM10,000 untuk seekor itu,
mengapa tidak difikirkan kaedah lain lebih berkesan? Kerajaan telah ada agensi
dan jabatan berkaitan perkara ini. Antara yang kini telah dilibatkan mengawasi
akvititi memancing ikan naga itu ialah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)
dan Jabatan Perikanan negeri.
Jika di atas hasrat menangkap ikan tersebut, mengapa
perlu dilibatkan kaki pancing dengan umpan ganjaran? Tidak bolehkah kakitangan
jabatan dan agensi berkenaan dikerahkan untuk tujuan itu tanpa perlu ditawarkan
ganjaran sebegitu lumayan?
Keempat, kerajaan boleh mendapatkan bantuan kepakaran dan
teknologi terkini dari Jabatan Perikanan dalam mengesan kehadiran ikan besar
itu. Ia boleh memanfaatkan kemahiran dan pengalaman ratusan nelayan laut dalam
yang ada di negeri tersebut.
Ia boleh mengguna pakai teknologi eco-sounder atau global
positioning signal (GPS) dalam mengesan tempat persembunyian atau di mana
ikan tersebut berada. Kerjanya lebih mudah dan berkesan.
Cara yang dipilih BN kini secara tidak langsung memberikan
isyarat salah mengenai kemampuan kerajaan menyelesaikan masalah. Ia menggambarkan
seolah-olah kita tidak ada pakar dan sudah tidak ada kaedah lain selain mengajak
rakyat sama-sama memenuhi Tasik Kenyir dengan janji ganjaran lumayan.
Ataukah BN sengaja nak tunjuk duit banyak dan boleh buat
tawaran ganjaran seberapa banyak yang dia suka?
Sebenarnya ia satu lagi kes membuktikan BN tidak tahu
menggunakan kaedah paling sesuai dan berkesan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam istilah yang sering disebut orang, ini boleh menjadi bukti BN Terengganu
memang sebuah “kerajaan cap ayam”!
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 12-18 Julai 2009 dengan tajuk “Tangkap ikan
naga, BN tunjuk ada wang atau tak tahu teknik?”)
No comments:
Post a Comment