Wednesday, July 1, 2009

Pak Teh “jual suara” mencari sesuap nasi


Oleh: Nuwa Aitawa
 
“Senyumku tak seghairah, gerak gayaku tidak selincah. Mataku tak seayu, kicau burung pun tak semerdu...”

Begitulah sayu sendunya bait-bait awal sebuah lagu puitis dendangan Freddie Fernandez bertajuk “Namun Ku Punya Hati”.

Lagu yang popular sekitar tiga dekad lalu itu dianggap luahan hati golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Ia kerap dijadikan lagu tema, sama ada untuk filem dan drama mengisahkan kehidupan mereka atau beberapa majlis dan acara melibatkan golongan kurang bernasib baik itu.

Bukan semata-mata di atas dasar apresiasi seninya, jika diamati bait-bait ungkapan di dalam lagu itu, ia sebenarnya begitu berterus-terang mengenai nasib menimpa golongan OKU. Ia turut mencoretkan persepsi negatif  masyarakat terhadap mereka yang tidak sewajarnya berlaku.

Sebab itu “Namun Ku Punya Hati” turut mengingatkan setiap kita betapa nasib malang mereka itu bukan sesuatu yang mereka kehendaki.

“Tidak ku pinta lahir ke dunia, tidak ku duga cacat begini.  Bukan ku minta kasih dan manja, bukan ku rayu bantu simpati”, sambung lagu itu lagi.

Negara kita sendiri mungkin sedikit ketinggalan dalam meraikan dan menghargai kehadiran golongan OKU, berbanding negara-negara maju. Bagaimana pun, persepsi negatif dan sikap memandang rendah kepada golongan ini sudah semakin diperbetulkan.

Sewaktu “Namun Ku Punya Hati” didendangkan dulu, golongan ini dikenali sebagai “orang cacat”. Apabila kita semakin sedar dan prihatin tentang nasib mereka, diperkenalkan pula istilah yang dirasakan lebih adil dan sedap didengar, iaitu “Orang Kurang Upaya (OKU)”.

Kini, setelah berlalu beberapa masa, istilah itu juga dirasakan masih belum menggambarkan mereka yang sebenarnya. Kedengaran kebelakangan ini cadangan agar mereka dikenali pula dengan “Orang Kelainan Upaya”.

Singkatannya juga OKU, tetapi membawa konotasi yang sama sekali berbeza. Meski pun cacat fizikalnya, mereka sebenarnya bukan kurang upaya. Mereka ada kelainan upaya dan keistimewaan tertentu sama ada setanding atau mengatasi insan lain yang sempurna fizikal.

Istilah dalam makna itu agak bertepatan bagi menggambarkan keistimewaan dimiliki sebilangan OKU yang kita kenali. Salah seorang yang menepati kriteria yang dimaksudkan ialah Abdul Latif Jusoh, seorang yang cacat penglihatan dan “kudung” pergelangan tangan kirinya.

Meski pun cacat, pemuda berusia 28 tahun ini memang benar-benar memiliki “kelainan upaya” (meminjam istilah dicadangkan tadi) yang tidak pun dimiliki sebahagian insan sempurna. Allah Ta’ala menganugerahkannya suara yang sangat merdu.

Abdul Latif yang buta sejak lahir merupakan anak ketiga daripada enam beradik dari keluarga petani, berasal dari Kampung Pohon Tar, Gerai, Besut, Terengganu.

“Semasa saya umur setahun, rumah saya terbakar. Masa itulah tangan saya kena api...jadi gini”, cerita Abdul Latif, seraya menunjukkan tangan kirinya yang seakan kudung dan tidak lagi mempunyai jari.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “Pak Teh”, kini menetap bersama ibunya, Aminah Dollah di perkampungan Pondok Matlail Badrain, Jabi. Bapanya, Jusoh Yaakub telah lama meninggal dunia.

Pak Teh pernah dihantar keluarganya belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur selama lima tahun, antara 1996 hingga 2000. Di sana beliau didedahkan dengan kaedah pembacaan Braille, termasuk pembelajaran al-Quran.

Kemerduan suaranya memikat pihak sekolahnya memilih Abdul Latif menyertai pertandingan azan. Beliau pernah dinobatkan juara pertandingan itu peringkat zon di Wilayah Persekutuan.  Keistimewaan itu terus dimanfaatkannya kini dengan tugas sebagai muazzin di masjid berhampiran dengan rumahnya.

Malangnya, di sebalik kecacatan fizikalnya yang begitu ketara, Pak Teh amat kecewa apabila sehingga kini belum mampu mengundang simpati pihak berwajib. Tiada sebarang bantuan kewangan diterimanya daripada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan, sama ada negeri atau Pusat.

“Ayah dah lama mati. Mak pula selalu sakit. Hidup semata-mata atas tanggungan dua abang dan adik yang jadi tentera. Bantuan kerajaan tak pernah dapat”, keluh Pak Teh.

Menurutnya, hanya sekali pihak kerajaan Terengganu menghulurkan bantuan zakat, iaitu pada tahun 2003 lalu. Apabila kerajaan negeri bertukar tangan pada 2004, bantuan itu tidak diteruskan.

Ditanya apakah pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pak Teh mengambil masa agak lama untuk menjawab. Beliau kelihatan menahan sebak bercampur kecewa.

“Jangan katakan bantuan hak bulan-bulan (JKM), duit ehsan (Dana Khas Kerajaan Persekutuan) setahun sekali pun tak berbau”, ujarnya kesal.

Pak Teh membangkitkan soal pilih kasih berdasarkan politik. Katanya, agak tidak logik jika pemimpin tempatan (Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) yang bertanggungjawab mengemukakan nama orang yang layak menerima bantuan kerajaan tidak tahu mengenai kecacatan dan kemiskinannya.

“Demo ni (JKKK) pilih kasih, ambil (nama) orang-orang yang dia nak beri saja”, ceritanya lagi.

“Syukur alhamdulillah suara tak cacat, dapatlah kita (saya) “jual suara”, cari rezeki (minta sedekah)”, luah Pak Teh seraya tersenyum diiringi ketawa kecil.

Menurutnya, beliau terpaksa meminta bantuan rakan untuk membawanya ke Bandar Jertih dan Pekan Kuala Besut pada hari-hari tertentu bilamana ada pasar minggu. Di sana Pak Teh memanfaatkan suara merdu anugerah Allah untuk mengalunkan irama nasyid, selawat dan zikrullah bagi menarik perhatian orang awam yang lalu-lalang.

Duit hasil sumbangan orang ramai itulah yang memungkinkan beliau menampung keperluan harian, termasuk menyara ibu dan seorang adiknya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Julai 2009 di ruangan “meniti hidup” dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment