Oleh: Mohd Nasir Awang
KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan pelaksanaan program
Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI)
wajar dialu-alukan. Meski pun ada pihak mempertikaikan penangguhan
penguatkuasaannya pada 2012, bagi saya alasan diberikan kerajaan bagi
mengelakkan kesan mengejut terhadap pelajar boleh dirasionalkan.
Pengumuman pemansuhan itu dibuat Menteri Pelajaran, Tan
Sri Muhyiddin Yassin, 8 Julai lalu. Katanya, kedua-dua mata pelajaran teras itu
akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda
masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.
Menurutnya, keputusan itu dibuat Kabinet setelah
memperinci hasil kajian dan pemantauan PPSMI. Didapati hanya sebahagian kecil
guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pelaksanaan dasar itu.
Kajian universiti tempatan juga mendapati tahap
penguasaan bahasa Inggeris murid-murid masih rendah. Laporan Trends In International Mathematics and
Science Study (TIMSS) 2007 oleh Boston College, Amerika Syarikat pula
menunjukkan kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam dua mata
pelajaran berkenaan.
Sepertimana dimaklumi pelaksanaan PPSMI sudah dibantah
pelbagai pihak, termasuk persatuan ibu bapa dan guru, persatuan pendidikan dan
pejuang bahasa, selain para pemimpin politik sedari awal pelaksanaannya pada
2003.
Bantahan mereka itu berpusat kepada dua isu, iaitu
akademik dan bahasa. Sebilangan pembantah beralaskan kebimbangan atas tahap
pemahaman dan penerimaan pelajar dalam dua mata pelajaran itu, sepertimana
dibuktikan kajian TIMSS 2007 tadi. Sebahagian lain pula mengasaskan bantahan
atas peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar
ilmu.
Maafkan saya sekiranya tersilap menanggapi isu ini. Namun
saya menilai keputusan Kabinet minggu lalu lebih cenderung menangani
kebimbangan pertama itu sahaja. Pada saya alasan dijelaskan Muhyiddin tidak
begitu mengaitkan keputusan kerajaan itu dengan usaha memartabatkan bahasa
Melayu.
Sebab itu tidak salah jika ada pihak menyimpulkan
pemansuhan PPSMI tidak boleh dianggap bukti kerajaan prihatin terhadap
perjuangan bahasa. Alasan utama pemansuhan itu hanya berkisar soal akademik
pelajar. Yang diraikan kerajaan ialah tahap prestasi pelajar dalam dua mata
pelajaran tersebut, bukannya perjuangan memartabatkan bahasa.
Sebab itu amat tidak wajar sekiranya ada pejuang bahasa
sudah berpuas hati dengan pengumuman itu, lalu menganggap pemansuhan PPSMI
penamat perjuangan mereka. Menghentikan program itu sebenarnya sekadar
mengembalikan status quo sebelum
pelaksanaannya enam tahun lalu.
Harus kita tanyakan apakah nasib dan martabat bahasa
Melayu sudah cukup baik sebelum PPSMI? Akuilah tanpa isu itu pun nasib bahasa
kita sudah di tahap tidak sepatutnya.
Kita hanya dberi keyakinan palsu dengan peruntukan
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Kita dilunakkan
dengan seruan bermusim untuk mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam semua
urusan rasmi dan majlis rasmi. Namun realitinya tidak ke mana.
Perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan perlu lebih
menyeluruh. Ia memerlukan komitmen semua pihak. Kita sudah ada Dasar Bahasa
Kebangsaan, beberapa akta berkaitannya dan sebilangan institusi bagi
menegakkannya. Namun dasar sahaja tidak menjamin kesempurnaan pelaksanaannya
jika tiada pematuhan oleh masyarakat.
Perlu diakui juga keberkesanan usaha ini adalah menerusi
kuasa pemerintahan. Tugas utama membasmi penodaan bahasa terletak di tangan
pemimpin politik, terutama parti pemerintah. Dalam kes negara kita, ia tentu
sekali merujuk kepada Umno.
Mahu tidak mahu parti itu perlu akui kemelut melanda isu
bahasa Melayu selama ini sebagai bukti kegagalannya memartabatkan jiwa
bangsanya sendiri. Saya tidak bermaksud mengungkitkan nama Umno itu sendiri,
walau pun ada pandangan yang meminta Umno terlebih dahulu memelayukan namanya
sebelum bercakap soal memperjuangkan bahasa Melayu.
Yalah, nama Umno itu kan akronim ungkapan orang putih – United Malays National Organisation. Lalu
ada yang sinikal, bagaimana diharapkan parti itu memartabatkan bahasa Melayu,
sedangkan namanya sendiri pun tidak Melayu?
Namun, bagi saya itu kesilapan generasi lalu. Agak tidak
adil membebankan Umno kini dengan perkara itu. Lagi pun bukan senang bagi
khalayak Umno untuk gantikan nama yang sudah bersebati dengan mereka itu.
Apa yang lebih wajar dibuktikan Umno ialah kesungguhan
parti itu memartabatkan bahasa Melayu. Segala kesilapannya mesti diperbetulkan.
Perbahasan mengenai kesilapan Umno itu pernah disiarkan Siasah suatu ketika lalu. Antaranya sepertimana
dibicarakan sarjana bahasa Prof. Dr. Awang Sariyan.
Katanya, “semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat
kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara
apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan,
termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan
nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct,
parcel dan boulevard).”
Tidak syak lagi kritikan itu ditujukan kepada pemerintah.
Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman
pula menegur wewenangan mencipta dan menggunapakai istilah yang menyalahi
tatabahasa Melayu.
Kita boleh menyenaraikan puluhan lagi contoh pencabulan
dan pencemaran bahasa, terutama oleh kerajaan sendiri. Mahu tidak mahu beban
memperbetulkan kepincangan itu adalah pada parti pemerintah. Hal ini
mengingatkan saya kepada penegasan seorang peserta Dialog Bahasa 2007 di
Seremban, dua tahun lalu.
Katanya, “oleh kerana orang politik telah memusnahkan
dasar (bahasa) ini, maka orang politik juga sepatutnya membetulkannya. Mungkin kita
tiada pilihan melainkan berpaling ke arah lain (pembangkang), yang boleh
membantu kita menegakkan semula kedaulatan bahasa, sastera dan budaya Melayu.”
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Rejab-3 Syaaban 1430/19-25 Julai 2009 di
kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment