Oleh: MOHD NASIR AWANG
DALAM beberapa minggu kebelakangan ini banyak berbangkit
isu yang ada hubungkait dengan layanan terhadap warga asing di negara kita. Mula-mula
timbul isu penderaan terhadap pembantu rumah. Ada kes majikan tempatan
dilaporkan gagal memberikan layanan sewajarnya kepada amah dari negara jiran,
terutama Indonesia.
Beberapa kes penganiayaan yang melangkaui batas
kemanusiaan didedahkan media. Sebagai retaliasi, pihak kerajaan Indonesia
menggantung penghantaran pembantu rumah dari negara itu ke negara ini untuk dua
tahun mendatang.
Sukar dinafikan memang berlaku kes penganiayaan terhadap
amah-amah warga asing itu. Sama ada ia kes terpencil atau tidak, itu bukan
soalnya. Penganiayaan tetap tidak boleh diterima walau sekecil mana pun
jumlahnya.
Pun begitu, kita percaya jumlah mereka yang tidak didera,
malah dilayan seperti anggota keluarga sendiri, jauh lebih besar berbanding
yang menjadi mangsa dera majikan.
Pekerja asing di negara kita menikmati berbagai keistimewaan.
Kesenangan hidup mereka di sini sangat jauh berbeza berbanding di negara mereka
sendiri.
Di antara keistimewaan itu ialah layanan perubatan tanpa
mengikat mereka dengan syarat jaminan kewangan. Kemuharan hati negara kita
menyediakan khidmat kesihatan dan rawatan kepada mereka akhirnya meninggalkan
masalah lain pula.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin mendedahkan tunggakan bil warga asing di hospital kerajaan
mencecah RM3 juta hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Kita ada masalah dengan warga asing meninggalkan banyak
hutang di hospital kerajaan. Kita memandang serius dan mengambil langkah
mengatasi masalah ini kerana ia merugikan kerajaan,” katanya.
Ambillah apa pun langkah yang patut, Datuk! Kalau terhadap
rakyat sendiri kerajaan tergamak mengambil bermacam-macam tindakan untuk
mengutip hutang, jangan pula layan warga asing terlalu istimewa sehingga mereka
terlepas begitu sahaja.
Kebetulan pula minggu lalu juga sidang Dewan Rakyat turut
dihangatkan isu layanan tersangat istimewa oleh kerajaan kepada seorang bangsa
asing. Kerajaan memaklumkan melantik bekas Pengurus Pasukan Formula Satu (F1) Ferrari,
Datuk Seri Jead Todt sebagai Duta Pelancongan Malaysia untuk tempoh dua tahun
bermula Mei lalu.
Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dalam mempersoalkan
pelantikan itu mendakwa Todt diperuntukkan hampir RM1 juta untuk menyempurnakan
tugasnya. Ia termasuk RM593,400 sebagai perbelanjaan promosi dan RM388,000 lagi
sebagai bayaran mengunjungi negara ini.
Dalam reaksinya, Menteri Pelancongan dilaporkan berkata,
wang RM1 juta yang diperuntukkan kepada Todt itu “tak boleh buat apa-apa hari
ini”.
Ertinya, menteri itu mengakui peruntukan itu wujud. Beliau
malah menganggap keistimewaan diterima Todt itu sangat kecil untuk tugasan
diberikan kepadanya.
Cerita superstar Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) didakwa
menghina Nabi Muhammad saw juga mendapat tempat dalam media minggu lalu. Ia ekoran
laporan sebuah majalah yang memetik kata-kata pelakon itu yang menyifatkan
Junjungan Besar saw sebagai seorang tokoh tidak berpengaruh sepanjang sejarah
dunia.
Kenyataan itu menggemparkan India dan beberapa pihak
bertindak membuat laporan polis terhadap SRK. Beliau menafikannya dan mendakwa
majalah tersebut tersalah petik kenyataannya.
Apa kaitan isu ini dengan negara kita? SRK bukan warga negara
ini. Lagi pun cerita individu Islam mengeluarkan kenyataan menghina Nabi dan
ajaran Islam bukan baru. Jangan dikatakan di India, dalam negara kita sendiri pun
ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penulis dan pemimpin politik yang bernama Islam
melakukan perkara hina itu. Jadi mengapa kecoh tentang SRK nun di benua India
sana?
Sebabnya, SRK adalah satu lagi kes warga asing yang mendapat
keistimewaan di negara kita apabila kerajaan Melaka menganugerahkannya gelaran “Datuk”.
Hanya semata-mata atas alasan SRK pernah mengadakan penggambaran salah satu
filemnya di negeri itu, beliau dinobatkan sebagai berjasa besar kepada Melaka. Usaha
itu dianggap mempromosi negeri yang sudah berkurun terkenal di mata dunia itu.
Barangkali pada fikiran Ketua Menteri Melaka, kalau tidak
kerana filem SRK yang satu itu, maka orang Portugis, Belanda dan Inggeris tidak
akan kenal Melaka, ya?
Kini, jika betul SRK menghina Nabi saw, kerajaan negeri
itu patut meminta maaf kepada umat Islam di negara ini kerana tersalah memberikan
penghargaan istimewa kepada seorang yang sanggup menghina agama.
Beberapa isu disebutkan tadi adalah contoh kemurahan hati
negara ini. Kita bukan setakat membenarkan warga asing mencari makan dan
mengaut kemewahan hidup di sini, malah kita berbelanja sekian banyak memastikan
keselesaan mereka selama berada di bumi bertuah ini.
Dalam kes tertentu, kita menghulurkan keistimewaan kepada
warga asing jauh lebih baik dari apa yang kita tawar dan hulurkan kepada rakyat
kita sendiri.
Perlakuan itu seakan menepati kara orang-orang tua kita, “kera
di hutan disusukan, anak di rumah dibiar mati kelaparan”. Yalah, apa tidaknya
jika warga asing dipastikan mendapat segala macam keistimewaan disebutkan itu?
Perlu diingat perumpamaan itu bukan orang-orang tua kita
reka untuk saja-saja. Kita pula jangan sekadar seronok mengulang sebutnya. Ia sebenarnya
kritikan sosial yang menjelaskan rasa menyampah orang-orang tua kita terhadap
tabiat buruk dalam masyarakat.
Nenek moyang kita sebenarnya mengutuk tabiat orang yang
ada kuasa dan kemampuan dalam hidup, tetapi bangang dan tidak tahu meletakkan
keutamaan dalam memanfaatkan kelebihan itu. Mereka ini mengutamakan pihak yang
tidak ada kena-mengena dengan suku-sakat keluarga, sedangkan anak-beranak
sendiri yang lebih memerlukan pembelaan diabaikan.
Ambillah iktibar dari kata orang-orang tua kita itu. Jangan
terus jadi bangang. Tanyalah diri, sampai bila kita mahu meneruskan tabiat “menyusu
kera di hutan” itu?
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 12-18 Rejab 1430/5-11 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment