Prasyarat ajak PAS bersatu demi bangsa, agama
Oleh: Anuwa Jamalullail
PELBAGAI pihak menilai kesediaan Dewan Muslimat PAS Pusat
(DMPP) memenuhi jemputan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil,
untuk mengadakan perbincangan mengenai kepentingan wanita Islam baru-baru ini
suatu petanda positif ke arah kerjasama dan perpaduan lebih mantap antara
kedua-dua sayap parti Melayu terbesar itu.
Meski pun Shahrizat bertindak di atas sifatnya sebagai
Pengerusi Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dan
bukannya atas jawatan parti, kedudukannya dalam politik negara tidak boleh
diketepikan. Apatah lagi tanggungjawabnya menerajui Senada itu ada hubungkait
dengan jawatannya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana
Menteri.
Sebab itu kerjasama Senada dengan DMPP yang termeterai
pada 14 November lalu dianggap satu lagi detik bersejarah dalam hubungan antara
PAS dan Umno. Ia antara lain membuktikan bahawa Islam boleh menjadi titik
penyatuan kepada semua pihak dalam segenap aspek kehidupan, walau pun
melibatkan latar belakang politik yang berbeza.
“Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan
menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam. Kita akan wujudkan pelbagai
program yang melibatkan badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan
kedudukan wanita Islam”, kata Shahrizat.
Bagi Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Salleh, kehadiran beliau
dan rombongan ke pejabat Shahrizat di Putrajaya hari itu semata-mata bagi
memenuhi tanggungjawab dan tuntutan terhadap Islam.
“Muslimat PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dan
melaksanakan kerja kebajikan bersama siapa sahaja. Kita boleh bersama tanpa
sebarang halangan”, katanya.
Apa yang dilakukan kepimpinan DMPP itu
sebetulnya adalah contoh keterbukaan PAS dalam mengenepikan agenda politik parti
dan mengutamakan kepentingan bangsa dan agama. Sebelum ini sudah ada ketika
tertentu di mana para pemimpin PAS berkongsi pentas atau meja dengan musuh politik
mereka demi menyempurnakan sesuatu agenda bersama.
Kita tentu tidak lupa detik bersejarah bilamana Presiden
PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang berkongsi pentas dengan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad
dan para pemimpin Umno lain dalam menyatakan kebersamaan umat Islam di Malaysia
dengan perjuangan rakyat Palestin.
Di atas pertimbangan kepentingan umat Islam dan bangsa
Melayu juga beberapa pemimpin PAS memenuhi undangan pemimpin Umno untuk
bertukar pandangan mengenai pembentukan kerajaan beberapa negeri sebaik selesai
pilihan raya umum, Mac lalu.
Pertemuan secara rahsia itu kemudiannya menjadi bahan
pergeseran dan pertikaian pendapat sesama pemimpin PAS sehingga nyaris-nyaris
merobek kebulatan perpaduan dalam parti itu.
Apa pun reaksi dan impak dari episod itu terhadap
kedua-dua parti, tidak ada pihak wajar menafikan bahawa pertemuan dan
perbincangan itu sendiri membuktikan kesediaan dan keterbukaan PAS mendengar
apa jua permasalahan dan perancangan dikemukakan musuh utamanya.
Keterbukaan dan jiwa besar ditunjukkan para pemimpin PAS
itu juga terserlah dalam meraikan bekas pemimpin Umno. Dalam sejarahnya, PAS menjadi
parti paling mudah menyediakan pentas untuk mereka yang kecewa atau tersingkir
daripada parti itu. Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan puluhan lagi pemimpin yang suatu ketika menjuarai serangan terhadap
PAS, adalah antara yang pernah diberikan layanan istimewa di pentas PAS.
Pun begitu, sikap terbuka dan apologetik PAS itu tidak
seharusnya diambil kesempatan oleh pihak lain untuk memperbudak atau
memperalatkannya. Sebagaimana disebutkan Presiden PAS beberapa bulan lalu, “orang
PAS bukannya bodoh”. Keterbukaan mereka ada batas dan syaratnya.
Sebab itu apabila ada pihak mengesyorkan agar PAS-Umno
kembali bersatu demi bangsa dan agama, ia suatu yang perlu ditangani penuh
hati-hati. Sebagai parti yang berkuasa dalam pemerintahan negara, tanggungjawab
Umno membuktikan keikhlasannya menjayakan hasrat itu lebih berat berbanding
PAS.
Sebabnya, jika dikatakan antara punca utama perpecahan
bangsa Melayu ialah kerana diskriminasi dan penyisihan politik, maka mangsa
utama perlakuan itu ialah orang-orang PAS. Pemangsa mereka pula sudah tentu
para pemimpin Umno.
Pelu diakui bahawa perpecahan bangsa Melayu
adalah manifestasi rasa ‘keterasingan’ sekelompok Melayu ekoran amalan
diskriminasi dan penindasan politik oleh Melayu yang berkuasa ke atas Melayu
yang tidak berkuasa. Hal inilah yang bertanggungjawab secara langsung
menyebabkan perpecahan PAS-Umno sejak sekian lama.
Di antara negeri tumpuan kes-kes perpecahan sebegitu
ialah negeri yang menjadi pangkalan kekuatan PAS, terutama di Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Perlis. Sebagai pangkalan perpecahan, pada adatnya orang-orang PAS di
negeri-negeri tersebut lebih memahami apa yang telah mereka lalui.
Sebab itu apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk
Wan Farid Wan Salleh, dua minggu lalu menggesa rakyat tanpa mengira fahaman
politik melupakan persengketaan dan mengutamakan perpaduan bangsa Melayu dan
Islam, ia suatu yang tidak semudah diucap.
Banyak premis yang seeloknya diperbetulkan terlebih
dahulu seandainya kita berhasrat melihat perpecahan PAS-Umno diubati. Apatah
lagi sebagai salah seorang pemimpin utama Umno di Terengganu, Wan Farid tidak
perlu pergi jauh untuk melihat kemusnahan bangsa dan keretakan agama yang
berlaku ekoran polisi pemerintahan partinya.
Lantaran itu, Umno yang menerajui negeri itu
perlu membuktikan keikhlasan dengan melakukan ‘taubat nasuha’. Mereka perlu
berikrar pada diri sendiri tidak akan mengulangi kezaliman yang telah lalu
antara sesama bangsa dan agama. Serentak itu mereka perlu berusaha mengikis
kepahitan dialami orang-orang PAS akibat polisi berat sebelah dan pilih kasih
yang Umno amalkan selama ini.
Senarai kezaliman pemerintahan Umno terhadap orang-orang
PAS di Terengganu agak panjang. Antaranya ialah pemecatan puluhan imam dan
bilal tanpa sebab syarie, perampasan puluhan ribu lot tanah yang telah
dianugerahkan oleh PAS kepada rakyat, penafian berbagai bantuan kebajikan,
input pertanian dan perkakasan nelayan, karenah mendapatkan rumah murah,
pembiayaan pendidikan anak-anak dan jawatan perkhidmatan awam serta pelbagai
lagi.
Semua penindasan ini berlaku apabila Umno mengutamakan
merit politik mengatasi keadilan dan kemanusiaan. Kini, atas nama kepentingan
bangsa dan agama, bersediakah Umno menebus kembali kedurjanaannya itu? Jika itu
tidak dapat diperbetulkan, jangan letak harapan tinggi terhadap perpaduan
PAS-Umno!
(Artikel ini
disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 30 November-6 Disember 2008 dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment