Sunday, November 9, 2008

Sikap berat sebelah penguasa, media warnai isu politik negara


“Replika tersebut dijadikan isu kerana saya pembangkang”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MEMANG tepat apa yang diluahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bahawa wujud layanan dan tanggapan berbeza media dan para penguasa negara ini terhadap apa jua isu tatkala membabitkan Barisan Nasional (BN) berbanding isu sama melibatkan parti-parti pembangkang.

Layanan sangat berbeza antara kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai ‘penghapusan’ Dasar Ekonomi Baru (DEB) pertengahan bulan lalu berbanding kecaman hebat diterima Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas isu sama, Mac lalu memperjelaskan lagi hakikat yang beliau maksudkan itu.

Awal bulan lalu, para aktivis Pakatan Rakyat (PR) beserta penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Caves telah membina replika gambar Anwar sebagai menzahirkan sokongan dan sanjungan mereka kepada Ketua Pembangkang itu.

Pembinaan potret gergasi setinggi 12.2 meter itu bagaimana pun tidak disenangi pihak tertentu, terutama kalangan pemimpin dan pendukung parti lawan. Media dikuasai mereka menjadikannya isu sehingga tergamak mengaitkannya dengan unsur pemujaan dan amalan tidak sihat.

“Replika tersebut dijadikan isu kerana saya pembangkang, yang mana perkara sama dianggap tidak mengapa jika melibatkan pemimpin negara seperti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak”, kata Anwar, sebagaimana dipetik akhbar harian, 9 Oktober lalu.

Kenyataan balas beliau itu memang tidak sukar dirasionalkan, memandangkan binaan yang disebut sebagai replika itu sebenarnya hanyalah gambar dan bukannya patung. Apatah lagi rakyat negara ini boleh menjadi saksi betapa sebegitu banyak gambar gergasi kedua-dua pemimpin disebutkan Anwar itu didirikan di serata negara, terutama di saat kempen pilihan raya umum memuncak, Mac lalu.

Ada juga potret mereka berdua yang dijadikan tirai gergasi dan dipasangkan menutupi bangunan tertentu di ibukota. Di sebilangan tempat lagi, potret para pemimpin BN negeri turut dijadikan poster gergasi dan dipacakkan di tepi jalan. Bahkan, sudah sekian lama potret besar memuatkan wajah lima perdana menteri dijadikan hiasan pelbagai tempat di serata negara. Mengapa pula kewujudan ‘replika’ itu tidak pernah dibantah atau dikaitkan dengan unsur pemujaan?

“Yang haram semua kena saya. Tapi kalau gambar Abdullah boleh pula, halal. Kalau gambar (saya) pun tidak boleh dan perlu diturunkan, gambar Abdullah pun kena turunlah”, tempelak Anwar lagi.

Sebenarya isu replika Anwar itu hanyalah satu bukti kecil betapa tidak seimbang dan berat sebelahnya persepsi umum, terutama penguasa politik dan media negara, dalam memanipulasi sesuatu perkara berkaitan pembangkang. Apa jua yang dilakukan atau melibatkan pembangkang dinilai dan digambarkan secara negatif dan prejudis.

Sebaliknya, jika perkara sama dilakukan atau membabitkan BN akan dianggap betul dan baik. Contoh-contoh bagi menjelaskan sikap dan persepsi berat sebelah ini terlalu banyak. Antaranya ialah berkaitan isu penurunan harga runcit minyak di pasaran tempatan.

Umum mengetahui bahawa apabila para pemimpin PR menegaskan komitmen menurunkan harga minyak sekiranya diberi peluang memerintah negara, bertalu-talu kecaman dan kritikan dilontarkan terhadap mereka.

Tidak cukup dengan para pemimpin BN, para penganalisis ekonomi dan sebilangan tokoh akademik turut diseret bagi mengulas secara negatif dan pesimis hasrat pakatan pembangkang itu.

Setelah terbukti analisa dan jangkaan ekonomi dibuat pembangkang itu menepati realiti, kini para pemimpin BN berlumba-lumba pula mencari seribu satu alasan untuk mewajarkan langkah menurunkan harga bahan bakar itu.

Sikap serupa turut terserlah dalam isu lompat parti sepertimana yang hangat diperkatakan Mac lalu. Memandangkan selama ini perbuatan melompat parti kebanyakannya hanya berlaku sehala, iaitu daripada parti pembangkang kepada BN, maka perkara itu tidak begitu menjadi isu.

Sebagai pihak yang mendapat untung dengan tindakan wakil rakyat pembangkang melompat parti, BN menentang keras suara dan usaha pembangkang untuk menghalang tindakan itu. Bahkan, apabila kerajaan Kelantan diterajui PAS meluluskan undang-undang anti-lompat pada awal 90-an dulu, ia dibantah dan dibatalkan BN menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Persepsi BN mengenai kewajaran undnag-undang itu bagaimana pun segera berubah selepas pilihan raya lalu. Hebat diura-urakan betapa sebilangan wakil rakyat BN pula yang akan beralih menyertai parti-parti PR.

Lalu ada di kalangan menteri Kabinet sendiri mencadangkan agar undang-undang anti-lompat digubal. Bagai diduga, kini giliran para pemimpin BN pula yang melontarkan berbagai rasional bagi mewajarkan undang-undang yang pernah mereka cemuh itu diwujudkan.

Sikap berat sebelah mereka terserlah lagi dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta yang membolehkan kerajaan menahan tanpa bicara mana-mana individu yang dirasakannya boleh menggugat kepentingan pemerintah itu telah sekian lama dianggap zalim oleh pihak pembangkang. Mereka menuntut agar ISA dihapuskan.

Tuntutan itu bukan sahaja tidak pernah dilayan kerajaan BN, malah perjuangan untuknya dianggap tidak munasabah dan mengenepikan keselamatan negara. Namun, persepsi dan pendirian itu telah berubah sama sekali kebelakangan ini.

Para pemimpin parti-parti komponen BN sendiri antara yang paling lantang menyuarakan agar kerajaan melakukan sesuatu terhadap penggunaan ISA. Berbagai rasional yang dulunya hanya disuarakan pembangkang kini turut diluahkan kerabat BN sendiri.

Terbaru ialah isu penghapusan unsur DEB, sebagaimana dinyatakan Najib pada 24 Oktober lalu. Ketika diwawancara dalam program Bloomberg Voices terbitan Bloomberg TV, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelbagai unsur DEB boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Amat memeranjatkan, kenyataan sebegitu terbuka oleh pemimpin yang bakal mengambil alih teraju negara tidak pula diberikan reaksi panas oleh para pejuang Melayu, terutama pemimpin Umno sendiri. Sedangkan reaksi sebaliknya mereka zahirkan secara jelas Mac lalu apabila Guan Eng membayangkan untuk membebaskan kerajaannya daripada unsur-unsur negatif dalam DEB yang disifatkannya sebagai punca kepada kronisme, rasuah dan ketidakcekapan.

Diberitakan lebih 2,000 orang Melayu di Pulau Pinang, terutama para pemimpin Umno berdemonstrasi membantah kenyataan ketua menteri mereka itu. Kini, mengapa mereka tidak menunjukkan pendirian serupa terhadap timbalan presiden parti mereka sendiri?

Itulah gambaran sikap berat sebelah khalayak politik dan media negara dalam memanipulasi isu-isu bagi memburukkan pembangkang dan menjaga imej BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 9-15 November 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment