MEMANG benar kata orang bahawa seseorang yang sedang
marah atau kecewa lebih mudah berterus-terang dan mendedahkan kebenaran
berbanding mereka yang dalam keadaan tenang dan selesa. Apa yang diluahkan Datuk
Rosol Wahid ekoran kegagalannya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Umno
Bahagian Hulu Terengganu minggu lalu mungkin tidak lari dari hakikat itu.
Dalam pemilihan pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian
itu Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil itu tewas mengejut kepada
pencabarnya yang juga Adun Telemong, Rozi Mamat.
Kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat bekas anggota
Exco negeri itu selepas sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan Setiausaha Badan
Perhubungan Umno Negeri Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu, Mac lalu.
Meski pun mengatakan tiada rasa dendam atau tidak berpuas
hati di atas keputusan dibuat perwakilan yang menolaknya, Rosol di masa sama
mendakwa mesyuarat tersebut dicemari
amalan politik wang.
Beliau dipetik sebuah akhbar tempatan, Selasa (27
Oktober) lalu sebagai mengatakan, ada beberapa perwakilan memaklumkan kepadanya
bahawa sesetengah perwakilan dibayar antara RM300 hingga RM1,000 untuk
memberikan undi kepada calon-calon tertentu bagi memastikan kemenangan individu
terbabit.
Pengakuan terbuka Rosol itu mendorong kepada beberapa
kesimpulan. Pertama, politik wang memang penyakit yang sudah membarah dalam
Umno. Ia bukan lagi sekadar mainan kata lawan politik Umno, malah diakui
kalangan pendukung parti itu sendiri.
Suratan atau kebetulan, selang beberapa helaian selepas
laporan tersebut, akhbar sama turut memuatkan wawancara eksklusif dengan bekas
Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau turut menyentuh amalan politik
wang dalam parti itu. Katanya, sekiranya Umno tidak dapat mengikis tabiat
“makan suap” ini, ia akan kalah dalam pilihan raya akan datang.
“Kita nampak sekarang ini banyak orang Umno yang apabila
kita bagi duit, barulah mereka akan sokong kita. Jika demikian orang akan lihat
orang Umno ini sebagai orang yang tidak mempunyai amanah, terlibat dengan rasuah
secara besar-besaran dan mereka pastinya akan memandang jelek terhadap Umno”,
katanya.
Kedua, perakuan Rosol membenarkan dakwaan pelbagai pihak
selama ini bahawa amalan politik wang Umno tidak terhenti setakat sesama dalaman
parti itu sahaja. Perhatikan kata-kata Rosol mengenai hakikat itu.
“Jangan pula sanggup berhabis wang hanya ketika pemilihan
(Umno) semata-mata untuk memastikan mereka mendapat jawatan dan kedudukan,
tetapi apabila tiba pilihan raya, mereka tidak bekerja, tidak sanggup
berhabis”, katanya.
Memahami kenyataannya itu merujuk kepada amalan “politik
wang”, maka perkataan “berhabis” itu jelas bermaksud Umno juga sanggup membelanjakan
wang dengan cara sama untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya. Jika itu yang
dapat difahami, apakah ia bukan perbuatan merasuah dan membeli undi?
Bukankah itu yang selama ini disuarakan parti-parti
pembangkang? Bahkan Rosol sendiri antara pemimpin Umno/Barisan Nasonal (BN)
paling selesa menempelak para pemimpin pembangkang sebagai bohong dan sengaja
mereka-reka cerita tatkala mereka menyuarakan dakwaan bahawa wujudnya amalan
membeli undi oleh BN semasa pilihan raya sebelum ini. Sekarang apa perasaan
Rosol terhadap dakwaan tersebut?
Ahh!! Mungkin ada yang menyergah, “mana buktinya? Jika
benar BN membeli undi, sila dakwa di mahkamah pilihan raya, sila bawakan saksi.
Kita bicarakan secara adil.”
Itulah yang selalu dicabar para pemimpin BN. Itulah juga
kesimpulan ketiga, iaitu Rosol turut mengakui dakwaan itu sukar dibuktikan.
Meski pun merasakan dirinya menjadi mangsa pembelian undi, beliau tidak mampu
berbuat apa-apa kerana kekurangan bukti.
Punca utama ialah apabila perwakilan Umno yang terlibat dengan
perkara berkenaan enggan membuat laporan rasmi kerana bimbang kedudukan
masing-masing.
“Jika benar mereka (perwakilan) sayangkan Umno dan
Barisan Nasional, saya harap supaya satu laporan rasmi dibuat sama ada kepada
Umno negeri mahu pun Badan Pencegah Rasuah (BPR)”, ujarnya.
Sepertimana yang sering disebut, banyak dakwaan oleh
pembangkang tentang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh para
pemimpin BN, termasuk semasa berlangsungnya pilihan raya, gagal dibuktikan. Ia
bukan kerana perkara tersebut semata-mata rekaan dan andaian parti pembangkang,
tetapi kerana tiada pihak yang bersedia tampil menjadi saksi.
Apabila alasan sedemikian diberikan, pihak pembangkang ditertawa
dan dipersendakan. Mereka dilabelkan sebagai sengaja mereka cerita dan hanya
tahu melemparkan tuduhan untuk memburukkan BN, tetapi gagal membuktikannya.
Allah Taala mentakdirkan kini situasi yang selama ini
dihadapi pembangkang terkena batang hidung Rosol sendiri. Beliau bukan sahaja
mendakwa dikalahkan dengan politik wang, malah dakwaannya itu diselar rakan
partinya sendiri.
Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Zubir Embong,
menyifatkan kenyataan Rosol itu hanya cuba menutup kelemahan sendiri berikutan
kekalahannya. Beliau malah menyelar Rosol yang dianggapnya bertindak secara “melampau
dan amat bahaya” kepada partinya.
“Orang yang kalah, cara paling mudah sembunyikannya
adalah menuduh orang lain bermain politik wang. Datuk Rosol di pihak yang
kalah... kenapa selepas keputusan baru dia berbunyi?”, tempelak Zubir.
Dalam keadaan kini, rasanya ada baiknya bagi para
pemimpin Umno yang kalah dalam pertandingan mana-mana jawatan parti tidak
mendedahkan tentang politik wang dalam parti itu. Kita bimbang jika mereka
terus mendedahkannya setelah mereka menjadi mangsa, nanti akan ada rakyat yang
akan menyergah kepada mereka, “selama ini aku cakap, engkau kata aku tipu.
Padan muka!”
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 2-8 November 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment