ACAP benar kita disumbati cerita-cerita tidak enak
mengenai kekurangan adab di kalangan penguasa masjid di negara kita ini. Meski
pun kes-kes sebegitu agak terpencil, sebagai institusi yang menjadi syiar
terpenting agama, apa yang berlaku di masjid secara langsung akan dikaitkan
dengan imej Islam.
Masjid adalah tempat suci. Ia ada tatatertib dan adab
yang mesti dipatuhi. Sebab itu orang yang mengunjunginya dianggap kalangan
beradab dan bertertib. Justeru, amat sukar diterima sekiranya ketidaksopanan
berlaku di kawasan Rumah Allah itu.
Malangnya, tidak sedikit berlaku keadaan sebegitu. Pengalaman
beberapa pihak pernah dipaparkan media. Malah penulis sendiri mengalami kes
serupa.
Kita pernah diceritakan pengalaman pahir seorang
pendakwah terkenal berbangsa Cina.
Diceritakan sewaktu beliau baru memeluk Islam dan berkelana ke serata
negara, tidak semua masjid yang disinggahinya menyantuni beliau bagai diharapnya.
Sebagai saudara baru beliau berhasrat mendampingi
masyarakat yang telah lama mengamalkan ajaran agama. Beliau mahu mendalami
Islam dan mendekatkan diri kepada Allah. Selayaknya beliau disantuni sebaik
mungkin, bukan sahaja dengan tunjuk ajar tentang ilmu dan ibadat, malah segala
kebutuhan duniawinya. Bukankah di sisi Islam golongan muallaf ini diberikan
keistimewaan sebagai penerima zakat?
Keislaman ustaz ini mendapat bantahan keras keluarga. Beliau
dipulaukan dan tidak ada tempat bergantung harap melainkan masyarakat Islam. Malangnya,
kebiadaban beberapa kerat penguasa masjid yang disinggahinya memberikan mesej
salah tentang Islam. Beliau bukan sahaja tidak diberikan tunjuk ajar dan
bantuan selayaknya, malah turut dihalau daripada menumpang di masjid.
Syukur saudara baru ini ada kesedaran sangat tinggi
sewaktu memilih Islam. Kesabarannya jitu dan daya fikirnya luas. Beliau tidak
merajuk atau menyimpulkan perlakuan tidak sopan beberapa bedebah itu dengan
agama barunya ini. Bayangkan apa berlaku sekiranya beliau berpaling semula ke
agama asalnya ekoran perlakuan tanpa budi bahasa beberapa individu tadi?
Di sebuah masjid di tengah ibukota, ada cerita serupa
menimpa seorang ibu yang mendukung anak kecil. Beliau yang berhasrat menumpang
berehat sekadar sepuluh limabelas minit sambil menunggu suami menunaikan solat,
dihalau dengan nada menyakitkan telinga oleh seorang jemaah wanita. Berdasarkan
pameran kuasanya, wanita itu dipercayai di kalangan ahli masjid berkenaan, sama
ada ahli jawatankuasa atau jemaah tetap di situ.
Itulah masalah dengan penguasa masjid kita. Mereka ini
sering ada satu sikap seolah-olah masjid itu mak-bapak mereka yang punya, bukan
lagi rumah milik Allah yang terbuka untuk seluruh umat Islam. Lalu apa-apa
perkara sekali pun yang berlaku di kawasan masjid itu hendaklah dalam
pengetahuan, dengan keizinan dan menepati pendirian beberapa individu yang
menguasainya. Apakah ketetapan sebegitu ada dalam Islam?
Penulis sendiri ada dua pengalaman tidak enak berhubung
ketidaksopanan penguasa masjid ini. Kes
pertama berlaku di akhir 80-an dulu di Johor Bahru. Kami berenam singgah di
sebuah masjid di kawasan perumahan berdekatan Kempas. Tiga rakan merebahkan
badan sebaik menapak anjung masjid. Penulis dan seorang rakan lain menerpa ke
arah paip air, membasuh muka dan membasahkan rambut. Seorang lagi melangkah ke
arah tandas.
Ada seorang memerhatikan kami sedari mula van kami
memasuki pagar masjid. Besar kemungkinan beliau adalah pegawai masjid, kerana
dia berdiri di depan pintu salah satu unit kuarters masjid tersebut.
Selesai membasuh muka, belum sempat rakan yang berada
dalam tandas tadi keluar, orang tadi berjalan ke arah meter paip air. Tahu apa
dia buat? Dia menutup paip air masuk sambil menjeling ke arah kami. Beliau
sengaja berbuat demikian bagi memberitahu kami agar jangan menggunakan air
disediakan. Kehadiran kami tidak dialu-alukan.
Nasib baik rakan yang ke tandas tadi hanya membuang air
kecil dan dapat beristinja dengan air yang sudah bertakung dalam baldi. Bayangkan
bagaimana mahu disucikan diri beliau sekiranya air besar yang dibuangnya?
Kes kedua berlaku di Kedah pada awal 90-an lalu. Kira-kira jam 4 pagi, kami singgah berehat di
sebuah masjid dalam perjalanan ke Pokok Sena. Pintu pagarnya tertutup tetapi
tidak berkunci. Lalu kami membawa masuk
kereta merapati masjid.
Sementara menantikan Subuh, kami terlena. Lena kami
bagaimana pun dikejutkan dengan sergahan seseorang. Beliau membebel ke arah
kami kerana membawa masuk kereta ke dalam kawasan masjid.
“Tak nampak ke orang dah tutup pintu pagar, tanda tak
bagi bawa masuk kereta la tu!”, katanya memecah keheningan Subuh itu.
Allah Ya Karim! Bayangkan bagaimana geram dan kesalnya
perasaan kami yang sangat letih dan mengantuk ketika itu. Sedikitpun tidak
dapat kami rasionalkan hujah ‘bodoh’ diberikan bilal berkenaan.
Tidak syak lagi, sebagai institusi yang melambangkan
Islam, apa yang dilakukan kalangan penguasa masjid perlu ditertibkan. Orang
mungkin tidak begitu kisah jika herdikan dan sergahan kedengaran di pasar atau
jalanan, tetapi ia sangat mendukacitakan sekiranya perkara sama berlaku di
masjid.
Disebabkan masih terdapat kalangan jawatankuasa masjid
seluruh negara yang tidak tahu adab sopan dan tutur kata bersesuaian dalam
menyantuni pengunjung tempat suci itu, apa kata pihak berkuasa mengenai hal
ehwal masjid mengadakan kursus khas untuk mereka ini.
Ajarkan mereka budi bahasa dan latih mereka menggunakan
pertimbangan akal terutama berhadapan orang berkelana, bukannya bertindak atau
bercakap mengikut runtunan nafsu semata.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 209, November 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment