Oleh: Nuwa Aitawa
Berlatarbelakangkan banjaran berkabus sepanjang pagi,
perkampungan Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain (MTTMB) di kaki bukit
bukau sederet dengan Bukit Bintang dan Gunung Tebu di Besut, Terengganu,
kelihatan bagaikan sebuah penempatan terasing. Di tengah-tengah antara kebun
getah, kelapa sawit dan lereng bukit di Kampung Pasir Tawar, Mukim Jabi itu,
berceratuk lebih 100 buah rumah dan pondok. Sebahagiannya tidak berpenghuni dan
ada yang masih dalam pembinaan.
Keindahan persekitaran semulajadi yang damai hening itu
disyahdukan lagi dengan sebuah masjid tiga tingkat yang tersergam indah di
tengah-tengah perkampungan. Menaranya yang memuncak tinggi melepasi pucuk
durian dan petai dapat dilihat dari kejauhan.
Pun begitu, kesepian yang menyelubungi perkampungan itu
pada sebahagian besar waktu siang dan malamnya bagai menggambarkan kesayuan
perasaan lebih 60 penghuninya. Mengenepikan kemewahan hidup, mereka rela
‘terpisah’ dari dunia luar semata-mata bagi mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu
Islam.
Keazaman itulah yang telah memungkinkan sekumpulan
individu merealisasikan hasrat menubuhkan perkampungan Islam di situ. Ma’ahad
Matlail Badrain ditubuhkan pada 1987 sebagai sebuah perkampungan pondok. Kumpulan
pengasas utamanya diketuai Haji Abdul Latif Mohamad, Haji Zahari Mohamad dan
Allahyarham Mir Mohamad Mohd Shah. Terdapat 113 lot perumahan dan kedai di
perkampungan itu. Kini hanya 60 lot dihuni.
“Dulu memang ramai (penghuni). Pelajar pondok pun ramai
di sini, sekitar 70 ke 80 orang.
Sekarang pondok dah mati. Tapi kuliah agama untuk penduduk masih ada. Kita
ambil keputusan alih kepada sekolah tahfiz”, ujar Haji Abdullah Hamzah.
Abdullah, 48, adalah Bendahari MTTMB. Pesara kerajaan itu
adalah juga salah seorang pengasas MTTMB dan menetap di perkampungan itu sedari
ia dibuka.
Menghurai lanjut mengenai kelas tahfiz dikendalikan
pihaknya, Abdullah mengakui halangan utama kepada kemajuan pusat berkenaan
ialah kewangan yang sangat kritikal. Menurutnya, MTTMB tidak ada sumber
pendapatan tetap yang mencukupi.
“Tapi mahu tidak mahu kita kena belanja sekitar RM4,000
sebulan, untuk pengurusan dan elaun guru-guru. Alhamdulillah, setakat ini masih
mampu ditampung. Segalanya dari sumbangan peribadi tertentu dan orang awam”,
katanya.
Menurutnya, buat masa ini sudah dua kali pengambilan
pelajar untuk kelas tahfiz dibuat. Jumlah pelajar kini 18 orang. Mereka
disantuni enam tenaga pengajar yang bukan sahaja berilmu dan berkebolehan,
malah terbukti mempunyai kegigihan dan komitmen tinggi dalam menjayakan
pengajian tersebut.
Menerangkan lebih lanjut mengenai syarat kemasukan
pelajar tahfiz, Abdullah berkata, syarat utama ialah tamat Darjah Enam serta
tahu membaca jawi dan al-Quran. Yuran dikenakan hanya RM150 sebulan termasuk
penginapan dan makan-minum.
“Kita tak mampu nak bina kelas khusus untuk mereka. Semua
kelas hafazan kita buat di masjid.
Alhamdulillah, walau pun dengan serba daif, pelajar kita sangat
bersemangat. Bahkan sudah ada yang menghafaz lebih enam juzuk setakat ini”,
sambung Abdullah lagi.
Menyentuh mengenai masjid yang sudah hampir 80 peratus
siap itu, Abdullah menganggarkan nilaian kos yang telah dibelanjakan melebihi
RM1.5 juta. Semua kos itu, katanya, ditampung menerusi sumbangan masyarakat
sejak lebih 20 tahun lalu, terutama melalui penganjuran majlis jamuan nasi
sambil menderma yang diadakan saban tahun.
“Duit hasil derma jamuan itu kita tak usik. Ia sepenuhnya
untuk masjid. Untuk Ma’ahad Tahfiz kita cari sumber lain”, Abdullah
menjelaskan.
Amat malang dan tidak adil rasanya, bukan? Tatkala
rakan-rakan sebaya mereka di sekolah elit dan premier yang mengejar ilmu
keduniaan di luar sana dihujani kemewahan dan pelbagai saraan, para pelajar
yang bertungkus lumus menghafaz al-Quran di MTTMB ini dibiarkan dalam serba
kedaifan dan kesempitan.
Sebab itu Abdullah merayu sumbangan orang ramai. Beliau
meyakinkan, masyarakat tidak perlu bimbang untuk menghulurkan sumbangan kepada
MTTMB kerana ia sebuah organisasi yang sah di sisi undang-undang negara.
“Kita adalah pertubuhan sah yang berdaftar dengan ROS
(Pendaftar Pertubuhan) dan diiktiraf sebagai sebuah NGO Islam oleh pelbagai
pihak termasuk YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) dan JAKIM ( Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia)”, katanya.
Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh
menyalurkannya terus kepada akaun Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain di
Bank Islam. Nombor akaunnya 13-035-01-002355-6.
Abdullah pula boleh dihubungi menerusi talian 013-9803517.
Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa pentadbir MTTMB
yang ditemui, Wan Ismail Wan Kadir, turut melahirkan harapan sangat tinggi
kepada sokongan masyarakat luar, bukan sahaja dalam bentuk kewangan, bahkan
moral. Baginya tidak ada makna masjid yang tersergam itu apabila masyarakat
tidak datang memakmurkannya.
“Bagi saya modal adalah satu hal. Apa yang sangat kami
harap ialah sokongan moral masyarakat sekeliling. Sekurang-kurangnya marilah mendengar
(kuliah). Apatah lagi di sinilah satu-satunya tempat diadakan kuliah Jumaat di
sekitar Dun Jabi ini khususnya. Bila ada gotong-royong atau apa-apa aktiviti
Matlail Badrain ni, pakat mari tolonglah”, rayu Wan Ismail.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘Jambatan
Ilmu’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment