Saturday, November 1, 2008

Tidak jemu meronda pastikan kebersihan jalan


Oleh: Nuwa Aitawa

AGAMA Islam amat menekankan soal kebersihan. Sebab itu Rasulullah saw menegaskan di dalam sebuah hadis bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Dalam ertikata lain, seseorang yang tidak mengutamakan aspek kebersihan dianggap tidak sempurna keimanannya terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Betapa utamanya aspek kebersihan di sisi Islam dapat dilihat apabila agama meletakkan di antara syarat sah melakukan beberapa ibadat ialah bersih dan suci daripada sebarang kotoran dan najis.  Kitab-kitab fiqah karangan ulama’ muktabar pula memuatkan bab yang khusus membicarakan secara panjang lebar mengenai pembersihan diri atau bersuci.

Sikap umat Islam sendiri terhadap aspek kebersihan bagaimana pun amat mengecewakan. Ia amat berlawanan dengan apa yang diajar agama mereka. Ternyata mereka terlalu memandang remeh atau mengambil mudah soal menjaga kebersihan. Apatah lagi membabitkan kebersihan di tempat-tempat awam.

Akibatnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar saban tahun bagi menjaga kebersihan, termasuk bagi pengurusan sampah sarap. Lebih mendukacitakan lagi, sebahagian peruntukan itu terpaksa dihabiskan semata-mata akibat sikap tidak bertanggungjawab anggota masyarakat yang gemar membuang sampah merata-rata.

“Tabiat (membuang sampah) ni saya rasa memang tak boleh habislah, banyak sedikit pun mesti ada (setiap hari),” ujar Ramlan bin Salleh.

Lelaki berusia 46 tahun ini adalah pekerja Syarikat Sulmaz Sdn. Bhd, berpejabat di Kuala Besut, Terengganu. Syarikat berkenaan adalah salah satu syarikat yang telah mendapat kontrak kebersihan daripada Majlis Daerah Besut (MDB). Difahamkan sejak beberapa tahun lalu, MDB telah menswastakan khidmat mengutip sampah dan menjaga kebersihan di sepanjang beberapa laluan utama di daerah itu.

Rutin harian Ramlan ialah mengutip sampah di sepanjang jalan antara Seberang Kastam hingga Kampung Mas Sekupang dan laluan utama Pengkalan Nyireh ke Bukit Keluang. Jarak keseluruhan bagi dua laluan terbabit adalah lapan kilometer.

Sejak lebih setahun lalu, kelibat Ramlan sudah menjadi pandangan biasa bagi pengguna jalan raya di laluan tersebut. Mereka tidak mengenali beliau secara peribadi, tetapi mereka tahu lelaki berkemeja-T berlengan panjang warna merah jambu itu sangat komited dengan tugasnya.

“Masa kerja saya mulai 8 pagi hingga 3 petang di bulan puasa ini. Kalau bulan-bulan biasa, 8 pagi sampai 5 petang,” cerita Ramlan mengenai waktu tugasannya. Kebetulan temubual ini dibuat di bulan Ramadhan lalu.

Berasal dari Kuala Selangor, Ramlan berhijrah ke Besut lebih empat tahun lalu. Isterinya, Norsyariza binti Daud, 38, adalah anak jati Kampung Air Tawar, tidak jauh dari tempat beliau bertugas itu. Hal itu memudahkan beliau pulang ke rumah pada waktu rehat, tanpa perlu memikirkan soal kos pengangkutan. Perbelanjaan untuk minum juga dapat dijimatkan apabila ia disediakan sendiri oleh isterinya di rumah.

“Waktu rehat pagi pukul 10 hingga 10.30, tengahari pukul 12.45 hingga 2.00. Macam orang kerja pejabat jugalah”, sambung Ramlan lagi, dalam nada ceria.

Cuma yang membezakan beliau dengan penjawat awam, jadual kerjanya adalah enam hari seminggu, kecuali Jumaat. Elaun bulanan beliau pula diperolehi berdasarkan jumlah hari bekerja, dengan kadar RM25 sehari. Meskipun ia tidak seberapa, Ramlan tetap bersyukur dengan rezeki halal yang diperolehinya itu.

“Kira alhamdulillah lah, kita cari rezeki yang halal. Jadi tak kira apa sajalah, janji halal”, ujar Ramlan apabila ditanya mengapa memilih kerja sedemikian.

Ditanya adakah pernah timbul perasaan malu memandangkan kerja dilakukannya itu menjadi perhatian pengguna jalan raya yang lalu-lalang, Ramlan dengan tegas menepis perasan itu.

“Bagi saya tak ada (rasa malu), tak penting bagi saya malu tu. Hati kita yang penting, kita buat yang halal. Nak tunjuk perkara malu, banyak lagi perkara yang memalukan”, katanya.

Beliau yang sudah kalih dengan tanggapan itu turut mengakui bahawa prasyarat utama memungkinkan beliau melakukan tugas tersebut ialah tidak ada rasa malu.

“Kerja saya ni tak perlukan kelulusan, cuma dia (syarikat) temuduga kita, ‘ada malu ke tak ada’, itu saja”, ujar Ramlan lagi.

Seperkara menarik, meskipun bekerja di bawah pengawasan paling minima dan hanya diawasi seorang penyelia yang sekali-sekala meninjau, Ramlan tidak pernah mengambil ringan amanah dan kepercayaan syarikat kepadanya itu.

Beliau menganggap sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan kiri-kanan jalan raya terbabit sentiasa bebas daripada sampah. Lebih penting lagi, itulah satu-satunya khidmat yang beliau mampu sumbangkan kepada masyarakat dan negara.

Terbukti tidak semua orang mampu melakukan kerja yang dilakukannya itu dengan perasaan bangga dan tabah. Masyarakat patut bersyukur kerana ada orang seperti Ramlan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 209, November 2008 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment