Oleh: MOHD NASIR AWANG
TENTU sekali ada hikmah sangat besar mengapa Allah Taala
mentakdirkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, begitu berani
menyimpulkan bahawa Umno kini sedang menuju kehancurannya. Yang dirasakan ada
hikmahnya ialah apabila ungkapan senada itu turut disuarakan beberapa pemimpin
politik lain, sama ada daripada PAS mahu pun Umno sendiri.
Bercakap kepada beberapa wartawan selepas merasmikan
Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 di Chendering, Kuala Terengganu,
Jumaat lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan Umno kini memburu
kehancurannya sendiri. Dengan masalah rasuah yang tidak berkesudahan serta
pemilihan partinya di pelbagai peringkat yang dibayangi amalan politik wang dan
perpecahan, Umno memang dinilainya menuju ke arah itu.
Kesimpulan itu saling tak tumpah dengan apa yang
ditegaskan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, kira-kira dua minggu sebelumnya.
Akhbar Siasah, 12 Oktober lalu ada
menyiarkan keyakinan Ahli Parlimen Pokok Sena itu bahawa Umno sudah tidak dapat
diselamatkan.
“Macam mana hendak diselamatkan? Bukan kehancuran yang
memburu Umno. Perkembangan hari ini seolah-olah memperlihatkan kepada kita
bahawa Umno sendiri yang memburu kehancuran”, tegasnya.
Mahfuz dipetik berkata demikian sebagai mengulas
kesediaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan laluan kepada
timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih jawatan Presiden Umno.
Abdullah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan partinya,
Mac depan.
Bagi Mahfuz, tidak kira siapa pun yang akan menggantikan
Abdullah sebagai peneraju Umno, parti itu tetap memburu kehancuran.
Tidak perlu diselindungkan lagi betapa kehancuran Umno
telah menjadi antara ratib paling membakar semangat para pendukung PAS sejak
dulu. Di atas pelbagai hujah dan rasional yang menepati hukum syarak dan
pertimbangan politik, saya berkeyakinan mereka ada sebab sangat munasabah untuk
kepingin melihat kehancuran parti zalim itu.
Saya masih ingat ketika mula berjinak dengan program PAS
di awal 80-an dulu, para penceramah parti itu sering mengakhiri syarahan mereka
dengan bacaan doa. Di antara doa paling masyhur ialah yang memohon Allah Taala
memecah-belahkan musuh-musuh Islam.
Tidak keterlaluan jika saya katakan tatkala kalimah “wa farriq jam’ahum” (dan
pecah-belahkanlah kumpulan mereka) dibacakan, suara hadirin mengaminkannya
semakin meninggi. Saya yang tumpang mendengar ini pun tiba-tiba meremang bulu
roma dibuatnya. Tambah seram sejuk apabila kalimah “Allahu Akbar” dilaungkan serentak oleh ratusan atau ribuan yang
hadir.
Menariknya, selain kalimah mengagungkan Tuhan itu, ada
juga di kalangan para pendukung PAS yang mencuri perhatian hadirin dengan
laungan “hancur Umno!” Ketika itu
saya sempat mengenali seorang tua dipanggil Pak Din yang berasal dari Perak.
Menurut rakan-rakan, beliau menetap di Kampung Kerinci, pinggir Kuala Lumpur.
Beliau dianggap orang paling istiqomah dalam mempopularkan kalimah “hancur Umno”
sehingga diberi gelaran Pak Din ‘Hancur’.
Apa yang dapat saya pastikan, hasratnya melihat hancurnya
Umno bukan menjadi impian Pak Din seorang. Buktinya, meski pun beliau telah
lama meninggalkan kita semua, kalimah keramat dipopularkannya sejak lebih dua
dekad lalu itu masih diulangsebut orang. Itu menandakan impian beliau itu
dikongsi sama ratusan ribu, mungkin kini jutaan insan lain di seluruh negara.
Mungkin ada yang beranggapan agak tidak wajar dan kurang
sopan bagi mana-mana parti mendoakan kehancuran pihak lawan, walau seburuk mana
pun hubungan antara kedua mereka. Apatah lagi di kalangan kita ini ada manusia
yang lebih mengutamakan kesopanan terhadap sesama manusia berbanding kepatuhan
terhadap hukum dan peraturan ditetapkan Tuhan.
Apa pun perbahasan mengenai kewajaran perkara itu,
keadaan melanda Umno kini kelihatannya menghampiri apa yang diimpikan
Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ itu. Jika Salahuddin dan Mahfuz dianggap sekadar
memanjangkan suara dan impian Allahyarham, bagaimana pula jika hakikat itu
turut diakui para pemimpin Barisan Nasional dan Umno sendiri?
Pernah ada pemimpin Umno sebelum ini yang menyifatkan
keadaan perpecahan dan politiking dalaman parti itu kini sebagai “paling buruk dalam sejarah”. Ada pula
yang menyatakan bahawa Umno kini sedang dilanda “malapetaka”. Usah disebut tentang desakan bertalu-talu agar parti
itu berubah dan memperbaiki diri bagi mengelakkan kemusnahan dan kehancurannya.
Kebetulan atau tidak, Isnin lalu, giliran Ahli Majlis Tertinggi
Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula mengulang sebut amaran sama. Selepas
mengejutkan negara dengan cadangan agar jawatan tertinggi partinya
dipertandingkan secara tender, Rais mengesyorkan pula agar peranan Badan
Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat kes politik wang dalam Umno diperluaskan.
Barangkali beliau sedar pandangan itu sukar diterima
pakai banyak pihak dalam partinya. Kekecewaan beliau di atas hakikat itu
mendorong Rais meramalkan kehancuran ke atas Umno.
“Umno harus melangkah ke setapak lagi supaya lebih matang.
Jika tidak, saya berani meramalkan parti ini akan menuju ke arah kehancuran”,
akhbar harian memetik amarannya.
Ya, bagaikan ada kesepakatan bahawa Umno kini menuju
kehancuran. Bak kata Mahfuz, “kalau
kehancuran yang memburu Umno, mungkin parti itu boleh melarikan diri, tetapi
masalahnya kita nampak Umno sendiri yang memburu kehancuran”.
Menilai pendirian Salahuddin dan Mahfuz serta ramalan
Rais itu, maka yang bertanggungjawab menghancurkan Umno bukannya pihak lain,
tetapi Umno sendiri. Makanya, bolehlah kita simpulkan bahawa Umno jugalah yang
akhirnya merealisasikan impian Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ lebih dua dekad
ini.
Jika itu yang akhirnya ditakdirkan Allah Taala, maka
tentunya ia juga ada hikmah yang besar di sebaliknya.
Sekalung Al-Fatihah buat Allahyarham Pak Din ‘Hancur’
atas impiannya.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 2-8 November 2008 di kolum ‘Perspektif’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment