“Kelantan pelopor perbelanjaan berhemah”
Oleh: Anuwa Jamalullail
ADA dua telahan yang dapat dibuat apabila seorang wakil rakyat
Barisan Nasional (BN) di Kelantan menggesa kerajaan negeri itu mencontohi
langkah penjimatan yang dilakukan Kerajaan Pusat dalam menguruskan
perbelanjaannya. Andaian pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu jahil
tentang fakta sejarah yang mencatatkan Kelantan sebagai model pemerintahan
berjimat cermat. Amalan itu telah menjadi dasar kerajaan Kelantan sejak hampir
dua dekad lalu.
Kedua, Adun berkenaan sebenarnya memang maklum tentang hakikat
itu. Namun, sentimen politik kepartian yang melampau menyebabkan beliau tidak
bersedia mengakui bahawa langkah penjimatan oleh Kerajaan Pusat kebelakangan
ini sebenarnya mengambil contoh apa yang telah dilakukan Kelantan sejak 1990
lalu.
Apa pun hakikat sebenar yang menyelubungi benak fikir
Adun BN itu, kedua-dua andaian tadi menyebabkan isu dibangkitkan beliau itu
menjadi suatu yang ofensif terhadap partinya sendiri. Di masa sama, ia turut
meletakkan kerajaan Kelantan dalam suasana ‘menang-menang’.
Ketika membahaskan titah ucapan
Sultan Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, 21
Oktober lalu, Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menggesa kerajaan Kelantan
melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaannya untuk sektor tertentu menerusi
Belanjawan 2009 yang ketika itu masih belum dibentangkan kerajaan negeri.
Beliau selaku Ketua Pembangkang
dalam DUN Kelantan berkata, kerajaan negeri wajar mencontohi langkah
seumpamanya yang telah dilakukan Kerajaan Pusat, terutama dengan mengurangkan
pelaksanaan projek berimpak besar.
“Saya cadangkan kerajaan negeri
membuat penjimatan tertentu memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak
menentu ketika ini. Kerajaan Pusat juga sudah mengambil langkah berjimat bagi
memastikan dalam akaun negara ada beberapa bilion ringgit sebagai persediaan”,
katanya.
Tanpa menafikan kenyataan itu
bermaksud memberikan pandangan membina kepada kerajaan negeri, kita juga tidak
dapat menolak kemungkinan ia diselubungi persepsi politik pengucapnya. Sentimen
dan persepsi kurafat kononnya hanya BN yang mampu mentadbir negara dengan baik
dan sempurna seringkali mempengaruhi hujah dan pandangan para pemimpin parti
itu.
Dalam kes ini, ada kemungkinan
Adun Kok Lanas bermaksud mengatakan para pemimpin PAS Kelantan tidak tahu
mengurustadbir kewangan dan merancang perbelanjaan negeri. Sebab itu beliau
mencadangkan agar mereka mencontohi apa yang dibuat Kerajaan Pusat.
Jika itu yang menjadi hasrat
wakil rakyat BN itu, ternyata beliau cuba menafikan amalan jimat cermat yang
telah sekian lama dijadikan dasar pemerintahan PAS di Kelantan. Menurut satu
risalah diterbitkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1999,
kesungguhan para pemimpin kerajaan negeri itu memperkenalkan beberapa langkah
penjimatan seawal pemerintahannya telah berjaya menyelamatkan harta dan
kewangan kerajaan.
Antara langkah tersebut ialah
memotong elaun tetap Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sebanyak 10
peratus kepada Perbendaharaan Negeri.
Kelantan juga menjadi kerajaan
pertama di negara ini yang menghapuskan amalan pemberian cenderamata semasa
lawatan rasmi pemimpin kerajaan ke jabatan-jabatan atau agensi kerajaan. Langkah
itu bukan sahaja positif untuk penjimatan wang kerajaan, malah turut
mengelakkan wujudnya sebarang unsur sogokan atau dorongan negatif.
Langkah penjimatan turut
memaksa kerajaan tidak mengubahsuai atau memperbaharui perabot rumah dan hiasan
dalaman kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 (catatan ini sehingga 1999).
Dalam banyak hal, Menteri Besar
Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah menjadikan dirinya
sendiri sebagai orang paling wajar dicontohi dalam kempen berjimat cermat ini. Beliau
tidak menggunakan peruntukan untuk Juadah Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa
yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun.
Menteri Besar juga tidak
mendiami kediaman rasmi di JKR 10, sebaliknya terus tinggal di rumah asalnya di
Pulau Melaka. Ia menjimatkan berbagai perbelanjaan mengurustadbir kediaman
rasmi, sekaligus menyelamatkan kewangan kerajaan.
Difahamkan, Menteri Besar juga
menolak pembayaran “sewa rumah” oleh kerajaan sebagai ‘gantirugi’ kerana tidak
menduduki JKR 10. Peruntukan itu sahaja pun sudah mencapai puluhan ribu
setahun.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri
pernah menyebutkan bahawa hasrat utama beliau mengambil kesemua tindakan
disebutkan tadi ialah agar para pemimpin dan pengikutnya dapat mencontohinya
dalam menjalani kehidupan yang sederhana.
Di atas hasrat itu juga elaun
tetap Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
(Exco), Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Speaker) dan semua Adun PAS turut
dipotong sebanyak 20 peratus kepada parti (Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan).
Meski pun hasil potongan itu tidak menyumbang kepada kewangan negeri, ia akan ‘memaksa’
setiap wakil rakyat parti itu agar bersederhana dalam perbelanjaan masing-masing.
Sesuatu yang dijadikan model kebiasaannya
memiliki ciri-ciri yang mahu dicontohi. Dalam hal ini, tidak semestinya setiap
langkah diambil kerajaan Kelantan itu dituruti satu persatu oleh kerajaan lain.
Namun, apa yang pasti tindakan
yang pada awal pelaksanaannya dulu menjadi bahan cemuhan dan sindiran para
pemimpin BN, kini ternyata turut dilaksanakan Kerajaan Pusat dan negeri-negeri
di bawah BN sendiri. Langkah jimat-cermat yang telah dirintis kerajaan Kelantan
18 tahun lalu kini terbukti satu amalan sangat baik bagi pengurusan kewangan
kerajaan.
Sebab itu tidak mengejutkan
apabila keempat-empat negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) Mac lalu
telah mencapai kata sepakat untuk menjadikan Kelantan sebagai model dan ikutan
mereka. Para pemimpin negeri Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang dengan
rendah diri dan lapang dada menganggap pengalaman luas Tuan Guru Nik Abdul Aziz
dalam menerajui satu-satunya negeri diperintah pembangkang selama 18 tahun
sebagai aset sangat berguna untuk mereka sama-sama manfaatkan.
Kita tidak tahu apa kualiti
yang mahu dicontohi mereka dari Mursyidul Am PAS itu. Namun, jika perkembangan
ekonomi negara dan dunia dijadikan isu, maka amalan berjimat cermat dalam
perbelanjaan kerajaan adalah dasar paling baik dijadikan ikutan.
Tiada pihak dapat menafikan
bahawa Kelantan telah mempelopori pemerintahan berjimat cermat sebaik
diperintah PAS pada 1990 lalu. Di atas hakikat itu, gesaan Adun Kok Lanas agar Kelantan
mencontohi Kerajaan Pusat dalam langkah berjimat cermat boleh diibaratkan
sebagai mahu “mengajar itik berenang”.
(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 2-8 November 2008
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment