Sunday, November 9, 2008

Melayu jangan jadi penghalang dakwah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SAYA adalah antara, entah berapa ramai, rakyat Malaysia yang sangat bergembira dengan idea pembinaan sebuah masjid khusus untuk komuniti Cina Muslim di negara ini. Tanpa mengira cetusan idea itu bermula di mana, bila dan oleh siapa, bagi saya cadangan penubuhannya adalah suatu yang sangat wajar diberikan perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab mengenainya.

Rasional saya sangat mudah, setiap komuniti memerlukan pusat pertemuan dan rujukan yang boleh dijadikan simbol kewujudan mereka. Sama ada ia untuk aktiviti atau tempat tuju bagi sesuatu aduan dan keperluan, pusat seumpama itu sangat signifikan dalam konteks komuniti masing-masing.

Lebih-lebih lagi bagi komuniti Cina Muslim di negara ini yang bukan sahaja minoriti dari segi jumlah mereka, malah sering dibatasi ruang dan peluang mendalami Islam yang baru mereka anuti secara sepatutnya. Sudah tentu kewujudan tempat mengadu yang dikendalikan kalangan mereka sendiri amat mereka harapkan.

Sebab itu saya sangat gembira apabila seorang rakan di Kota Bharu memaklumkan pada Julai lalu tentang pembinaan sebuah masjid seumpama itu di Rantau Panjang, Kelantan. Katanya, pembinaan masjid dikenali ‘Masjid Berbagai Budaya’ atau ‘Masjid Beijing’ itu sudah hampir siap.

Saya sendiri belum berkesempatan melihat masjid tersebut dari dekat. Bagaimana pun menurut rakan tadi, yang saya temui semula beberapa hari lalu, masjid itu telah pun digunakan bermula Ramadhan lalu. Katanya, seorang imam dari China didatangkan khas untuk mengimami solat tarawih di situ.

Menariknya, kata beliau, rekabentuk masjid itu menggunakan sebahagian besar senibina Cina sebagai terasnya. Disebabkan persepsi salah di kalangan masyarakat negara ini bahawa setiap yang beridentiti Cina itu ada kaitan dengan agama Buddha, maka ada pelawat yang menyalah anggap masjid itu sebuah tokong Buddha.

Meski pun agak sedih, saya tidak begitu terperanjat dengan salah anggap sedemikian. Bagi saya ia sebenarnya lahir akibat fahaman silap yang sekian lama ditanam dalam pemikiran masyarakat negara ini kononnya Islam di Malaysia mestilah beridentitikan Melayu sahaja.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kewujudan Masjid Cina di Rantau Panjang itu turut diberikan nilaian negatif kalangan tertentu. Ada yang mengkritik rekabentuknya sebagai suatu kecelaruan senibina yang menyimpang dari tradisi. Kononnya ia meminggirkan akar umbi tradisi Melayu yang berkait rapat dengan Islam di negara ini. Ia dianggap terasing dari seni bina setempat, yakni di tengah-tengah persekitaran masyarakat Melayu tradisional.

Itu baru disentuh soal senibina luarannya. Belum lagi ditimbulkan soal penggunaan bahasa selain Melayu sebagai pengantar, sama ada dalam kuliah mahu pun khutbah di situ. Sebab itu saya kira agak kena pada masanya apabila akhir Oktober lalu, Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, mencadangkam agar kerajaan membina sebuah masjid khusus untuk Cina Muslim di pusat bandar Kuala Lumpur.

Yang saya katakan kena pada masanya ialah kerana beliau turut mencadangkan segala aktiviti di masjid tersebut, termasuk kuliah dan khutbah Jumaat menggunakan bahasa Mandarin. Zuklifli percaya pendekatan itu akan dapat menarik masyarakat Cina yang menjadi penghuni majoriti di tengah kota raya mendekati Islam serta akhirnya memeluk agama suci ini.

Sudah saya tegaskan di awal tadi bahawa saya memang sangat bersetuju dengan pembinaan masjid sebegitu. Tambah menggembirakan saya ialah apabila Zulkifli dengan berani “mengusik” isu penggunaan bahasa yang bagi sesetengah kalangan sangat sensitif.

Bagai diduga, memang ada pihak mempertikaikannya. Kononnya penggunaan bahasa Mandarin membelakangkan bahasa kebangsaan. Bagi mereka apa perlunya menggunakan bahasa lain sedangkan sepatutnya bahasa Malaysia itu difahami setiap warga negara ini.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin bagaimana pun memberikan pandangan berbeza. Beliau antara yang bersetuju dengan cadangan pembinaan masjid itu. Baginya usaha itu akan membantu golongan Muslim bukan Melayu mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.

Katanya, pengurusan masjid yang dikendalikan golongan tersebut sendiri lebih memahami masalah yang dihadapi komuniti Cina Muslim. Dalam isu bahasa pula, beliau berpendapat pengembangan agama Islam menjadi lebih mudah melalui penggunaan bahasa yang mudah mereka fahami.

Pendirian serupa turut disuarakan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma). Naib Presidennya, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kewujudan Masjid Cina akan dapat mengubah fahaman sempit dan persepsi salah kebanyakan rakyat Malaysia bahawa agama Islam hanya milik orang Melayu, atau hanya boleh dikembangkan menggunakan bahasa Melayu.

Bagi saya, itulah sebenarnya punca utama kegagalan dakwah Islam kepada kaum bukan Melayu. Kita terlalu dikongkong oleh persepsi salah tentang konsep keagungan bangsa, sehingga menyanjung dan mengangkat identiti Melayu mengatasi kepentingan lain, termasuk kepentingan agama.

Sayang kita kepada bangsa dan bahasa kekadang tidak bertempat. Sehinggakan disebabkan terlalu mengagungkan identiti Melayu, kita dilihat rela membelakangkan keberkesanan dakwah dan pemahaman Islam di kalangan kaum lain.

Para pemimpin kita, terutama para penguasa pentadbiran agama sepatutnya belajar dari sikap dan strategi para penyebar agama selain Islam. Mereka sehabis ikhtiar menggunakan bahasa Melayu dan apa juga kesempatan yang boleh mereka pergunakan dari sebarang indentiti Melayu untuk mempengaruhi masyarakat kita ke arah agama mereka. Bukankah untuk tujuan itulah penjajah Inggeris mengupah Munsyi Abdullah untuk menterjemahkan kitab agama mereka ke dalam bahasa Melayu?

Sudah sampai masanya fahaman salah bahawa Islam di Malaysia mestilah beridentitikan Melayu perlu dihapuskan. Sayang kita kepada bangsa jangan sampai menjadi penghalang kepada usaha dakwah Islam.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, 9-15 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment