Oleh: MOHD NASIR AWANG
KEBELAKANGAN ini semacam ada kecenderungan di kalangan
bukan Melayu dan bukan Islam tampil lebih berani mengusik sensitiviti khalayak
majoriti negara ini. Kita semakin kerap dihidangkan dengan insiden dan kes yang
boleh ditafsirkan sebagai pencabulan terhadap hak Melayu dan penghinaan terhadap
kesucian agama Islam.
Dua minggu lalu ada NGO bukan Islam mengadakan
demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perlakuan
perempuan yang menyerupai lelaki atau “pengkid”.
Beberapa bulan lalu, Majlis Peguam yang diterajui bukan Islam menganjurkan
forum yang dianggap berat sebelah terhadap Islam.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri Pulau Pinang
yang dikuasai parti bukan Melayu meneruskan hasrat memasang papan tanda
menggunakan bahasa selain Melayu di beberapa jalan utama sekitar bandar
Georgetown. Hasrat yang sebelum ini mendapat bantahan meluas pelbagai pihak,
terutama para pemimpin Umno yang menjadi pembangkang di negeri itu, dikatakan
turut disokong parti rakan karib Umno sendiri, iaitu Gerakan.
Keghairahan anggota Exco bukan Melayu di Selangor mengutamakan
projek ladang babi mega turut mengusik sensitiviti masyarakat Melayu/Islam,
termasuk aktivis dan pendukung parti rakan komponen Pakatan Rakyat yang
berkongsi memerintah negeri itu.
Bantahan persatuan pemaju perumahan di Kedah terhadap
keputusan kerajaan negeri menaikkan kuota pemilikan rumah untuk bumiputera juga
tidak dapat dipisahkan daripada penafsiran yang mengeruhkan sentimen perkauman.
Saya tidak berhasrat menambah kekusutan dalam polemik tidak
sihat ini. Sebagai orang Melayu beragama Islam, saya kira dalam situasi kini
adalah lebih sayugia kita memandang ke arah umat kita sendiri sebelum menuding
jari ke arah orang lain.
Ada sekurang-kurangnya dua faktor utama mendorong kalangan
bukan Melayu dan bukan Islam sebegitu berani dan lantang mempersenda serta mempertikaikan
hak kita sebagai khalayak majoriti. Saya menyifatkan kedua-dua faktor tersebut
sebagai unsur kelemahan bangsa Melayu dan umat Islam yang sepatutnya menguasai
dan menerajui segenap aspek kehidupan di negara ini.
Kelemahan kita yang pertama ialah dalam kuasa politik. Fenomena
ini agak ketara dirasai seusai pilihan raya ke-12, Mac lalu.
Izinkan saya memetik lafaz biduan tanahair, Ramli Sarip,
dalam dendangannya yang mengumpamakan hidup di dunia ini bagai satu perlumbaan.
Katanya, “yang kalah kan tenggelam di
bawa arus sengsara, yang menang pula menjadi raja”.
Orang Putih pula menyebut, “the winner takes it all”. Kedua-dua bait ini membawa maksud
serupa, iaitu pihak yang menang akan memiliki kekuasaan melaksanakan apa jua
yang mereka rencanakan. Itulah realiti politik yang kita hadapi kini.
“Bila kita
(orang Melayu) sudah kuat, baru kita boleh katakan kita ‘Tuan’. Tapi kalau kita
tidak kuat, orang tidak akan hormat dan tidak akan beri penghormatan itu pada
orang Melayu”, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dalam
sidang media di Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Peribumi Dalam Perlembagaan
Negara, di Kuala Lumpur, 16 November lalu.
Dalam ucaptamanya sebelum itu, calon Naib Presiden Umno
itu mengakui punca orang Melayu dicemuh dan dipersenda pihak lain ialah apabila
kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh dan perkasa.
Kelemahan kita yang kedua ialah dalam penghayatan dan
amalan, sama ada terhadap hukum dan ajaran Islam atau beberapa aspek
keistimewaan Melayu. Jangan lupa betapa sikap dan perlakuan orang Melayu/Islam
sendiri bagaikan mengajar orang bukan Melayu/Islam untuk tidak sensitif dengan
pantang larang kita.
Bukankah sebelum ini para pemimpin Melayu sendiri yang
ghairah mempersoalkan ketinggian hukum Islam? Sehingga ada pemimpin parti
pemerintah negara menyifatkan usaha mendaulatkan hukum Islam ibarat memusing
jarum jam ke belakang? Biadab dan melampau, bukan?
Bukankah orang Melayu sendiri juga yang mempersenda
ulama? Ingat lagi nasib seorang mufti yang menyokong tindakan anak buahnya
menahan wanita Islam yang menyertai pertandingan ratu cantik suatu ketika dulu?
Saudara, jangan fikir kaum bukan Melayu/Islam tidak
mengikuti dan mengamati episod-episod ini. Kita sendiri sebenarnya mengajar
mereka untuk tidak hormat kepada agama kita.
“Jika orang
Islam sendiri tidak dapat menerimanya (larangan Allah), orang Islam sendiri
tidak mahu guna Islam, (sebaliknya) guna kebangsaan, sebab itulah mereka yang
bukan Islam berani (membantah fatwa Islam)”, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Isnin
lalu.
Beliau mengulas tindakan dua NGO bukan Islam mengadakan
demonstrasi di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi membantah keputusan Majlis
Fatwa Kebangsaan mengharamkan “pengkid”,
baru-baru ini. Meski pun menegaskan mereka tidak berhak mencampuri urusan umat
Islam, Tuan Guru turut yakin NGO bukan Islam itu tidak akan bersikap seperti “kaduk naik junjung” sekiranya kerajaan
dan umat Islam sendiri berpegang dengan ajaran Islam.
Kelemahan turut terserlah dalam beberapa isu berkaitan Melayu,
terutama membabitkan penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Jangan dinafikan bahawa Umno sendiri sebagai tonggak kerajaan turut
bertanggungjawab menodai dan meruntuhkan martabat bahasa Melayu.
Antaranya apabila kerajaan membenarkan penggunaan bahasa
Inggeris sebagai pengantar di institusi pengajian tinggi. Kerajaan juga tidak
mengendahkan bantahan dan pandangan kedua pelbagai kalangan mengenai Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Justeru, apabila ada kerajaan negeri dikuasai bukan Melayu
bertegas mendaulatkan bahasa ibunda mereka, apa lagi yang boleh dipertahankan?
Orang Melayu/Islam perlu ambil kesempatan kini untuk bermuhasabah
diri. Jangan hanya salahkan orang lain, lihatlah kelemahan diri sendiri!
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 23-29 November 2008 di kolum ‘Perspektif’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment