“Meruntuhkan ketuanan kulit putih”
Oleh: Anuwa Jamalullail
TANGGAL 5 November lalu, Barack Hussein Obama disahkan
menang dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS). Calon parti Demokrat
itu memperolehi 338 undi perwakilan negeri, jauh melebihi jumlah 270 undi
diperlukan mana-mana calon untuk memenangi pilihan raya berkenaan. Lawannya
dari parti Republikan, John Mc Cain, hanya mengutip 156 undi.
Dengan kemenangan itu, Obama akan dilantik secara rasmi
sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari depan. Apa yang membezakan detik
ditunggu-tunggu seluruh dunia itu dengan upacara serupa sebelum ini ialah
sejarah tersendiri yang bakal dicatatnya.
Obama akan dinobatkan sebagai Presiden kulit hitam
pertama dalam sejarah negara kuasa besar dunia itu. Ia sekaligus menjadi bukti
perubahan sangat positif dalam sikap rakyat AS terhadap isu perkauman yang
membelenggu negara itu sejak berabad lamanya.
Berbekalkan tema kempen ke arah perubahan ‘Change, We Need’, Obama dilihat telah
berjaya merubah sentimen perkauman sedari awal kemunculannya di peringkat
pemilihan parti lagi. Keupayaannya menewaskan bekas Wanita Pertama, Hillary Rodham
Clinton dalam saingan menjadi calon Demokrat beberapa bulan lalu adalah isyarat
awal bahawa perubahan yang dilaungkannya akan menjadi kenyataan.
Di saat itu pun rakyat AS telah menzahirkan anjakan
pemikiran, memandangkan sebelum itu belum pernah seorang tokoh berkulit hitam
memenangi pemilihan peringkat parti. Pencapaian terbaik tokoh kulit hitam
sebelum ini ialah oleh pejuang hak asasi, Jesse Jackson, yang hampir memenangi
pemilihan peringkat parti Demokrat lebih sedekad lalu.
Populariti Obama kini disamakan dengan mendiang John F.
Kennedy, pemimpin Demokrat yang sangat disayangi rakyat negara itu. Kennedy
bagaimana pun tidak sempat menghabiskan tempoh perkhidmatannya apabila ditembak
mati ketika mengadakan lawatan ke Texas, pada 1963.
Kini rakyat AS menggelarkan Obama “The Black John F.
Kennedy” (Kennedy Berkulit Hitam), sebagai menggambarkan penghargaan dan
pengiktirafan sangat tinggi terhadap imej dan kewibawaannya memimpin negara
itu.
Tahap popularitinya dapat diukur dengan mudah berdasarkan
jumlah undi majoriti 182 yang lebih besar daripada undi diperolehi McCain. Undi
itu sendiri menggambarkan bahawa tokoh dari kaum minoriti AS itu telah berjaya
menambat kepercayaan daripada lebih dua pertiga perwakilan negeri-negeri.
Sebab itu, meski pun pada zahirnya pertembungan
Obama-McCain adalah antara Demokrat dan Republikan, banyak pihak menilai ia
lebih daripada itu. Kemenangan Obama membawa bersama pelbagai kejayaan lain.
Paling dikatakan ialah perjuangan menuntut hak asasi dan keadilan untuk warga
kulit hitam AS.
Kemuncak perjuangan itu ialah menerusi pergerakan
diketuai Dr Martin Luther King III pada tahun 60-an dulu. Dalam susur-galur
perjuangan itu, tidak sedikit nyawa warga kulit hitam menjadi korban sentimen
kebencian melampau orang kulit putih. Ramai lagi yang menjadi mangsa penindasan
mereka, sama ada secara emosi mahu pun fizikal. Manakala sikap diskriminasi dan
penafian hak terhadap kulit hitam dalam pelbagai sektor kehidupan adalah
lumrah, terutama di negeri-negeri Selatan AS.
Mengulas kemenangan Obama itu, Menteri Besar Kelantan,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap ia sebagai bukti persepsi yang wujud
selama ini bahawa orang kulit putih lebih hebat dan lebih mulia daripada kulit
hitam adalah dongeng semata-mata. Apatah lagi perkara itu berlaku di negara
Barat sendiri, di mana mereka amat mengagung-agungkan ‘ketuanan kulit putih’.
“Kita mahu masyarakat (dunia) mengubah tanggapan
(kononnya) orang kulit putih mempunyai kelebihan berbanding orang kulit hitam
dan pemilihan Obama (sebagai Presiden AS) adalah perkembangan baru kepada dunia”,
katanya, sebagaimana disiarkan akhbar harian, 6 November lalu.
Sememangnya sejarah dicatatkan Obama itu suatu
perkembangan baru kepada dunia. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia suatu yang
dianggap sangat mustahil sebelum ini. Yang dikatakan mustahilnya bukan kerana
Demokrat tidak pernah mengalahkan Republikan, tetapi mustahil bagi seorang
berkulit hitam dipilih menjadi ketua negara bermajoritikan kulit putih. Apatah lagi
negara berkenaan terkenal sangat mengambil berat soal perbezaan warna kulit dan
keturunan.
Apa yang berlaku itu seakan membenarkan kata-kata yang
sering kita dengar bahawa tidak ada yang mustahil dalam politik. Seringkali
dikatakan orang bahawa dalam politik ini kawan boleh menjadi lawan, lawan boleh
bertukar menjadi kawan dalam sekelip mata.
Jika kejayaan Obama meruntuhkan ‘ketuanan kulit putih’
itu disifatkan sebagai fenomena golongan minoriti mengepalai puak majoriti,
maka ia suatu yang sangat menarik untuk direnungkan. Apatah lagi di negara kita
juga, suatu yang dianggap mustahil sebelum ini sudah acapkali berlaku.
Contohnya ialah prinsip umum yang sering disebut bahawa
parti yang mendapat kerusi majoriti atau terbanyak dalam mana-mana pilihanraya
umum dianggap paling layak mengetuai sesebuah kerajaan yang baru dibentuk.
Namun keadaan tidak semestinya berlaku menepati prinsip
tersebut. Kita sudah ada beberapa contoh di mana dalam keadaan tertentu ada
parti dengan jumlah kerusi lebih kecil dipilih menjadi ketua memimpin sebuah kerajaan
bersama parti-parti dengan jumlah kerusi lebih besar.
Kalau dikatakan pelantikan seorang wakil rakyat daripada
parti PAS menjadi Menteri Besar Perak Mac lalu adalah contoh terkini, tindakan
seumpamanya sebenarnya sudah dimulakan Barisan Nasional (BN) sendiri lebih
sedekad lalu. Dalam percaturan politik merampas kembali Sabah daripada
kekuasaan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang pada
ketika itu sebuah parti di luar gabungan BN, parti pemerintah kerajaan
Pusat itu menawarkan sistem penggiliran kepada parti-parti komponennya
sekiranya berpeluang memerintah Sabah.
Lalu apabila hasrat itu dicapai menerusi manipulasi kuasa
dan “silap mata” politik BN, sistem penggiliran itu direalisasikan. Maka berlakulah
parti-parti kecil seumpama Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Maju Sabah
(SAPP) yang hanya memiliki beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri diberikan
peluang menjawat Ketua Menteri Sabah, meski pun ketika itu Umno sebagai tonggak
utama BN memiliki jumlah kerusi jauh lebih besar berbanding parti-parti lain.
Maka tidak menghairankan apabila PAS ditakdirkan
menerajui Perak, meski pun parti itu hanya ada enam kerusi, berbanding rakan-rakannya
dalam Pakatan Rakyat seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan tujuh kerusi
dan DAP, 18 kerusi.
Ertinya, ada pertimbangan lain yang lebih perlu
diutamakan selain prinsip lumrah bahawa parti dengan kerusi majoriti mesti
mengepalai kerajaan, termasuk di peringkat nasional. Kita telah buktikan tiada
yang mustahil dalam politik, sebagaimana Obama juga telah membuktikannya.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, 16-22 November 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment