Sunday, October 26, 2008

Manfaat dan keperluan Piala Monsun tetap dipertikai


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

TIDAK syak lagi orang paling gembira dan lega dengan pengesahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai ketelusan pengurusan Piala Monsun ialah Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. Tidak keterlaluan jika dikatakan selama ini bekas anggota Exco kerajaan Terengganu itu adalah orang yang paling tidak senang duduk apabila penganjuran kejohanan tahunan itu dipertikaikan pelbagai pihak, sama ada oleh parti lawan mahu pun kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri.

T-Best Events Sdn Bhd adalah syarikat yang diberikan hak mutlak oleh kerajaan Terengganu bagi menganjurkan kejohanan perahu layar bertaraf antarabangsa itu. Piala Monsun dilangsungkan sejak 2005 di Pulau Duyong, berhampiran muara Sungai Terengganu.

Kontroversi penganjurannya bermula apabila difahamkan beberapa perkara utama berkaitannya diputuskan mesyuarat Exco kerajaan negeri. Sedangkan anugerah hak penganjurannya diberikan kepada sebuah syarikat yang dipengerusikan salah seorang ahli majlis mesyuarat berkenaan sendiri.

Pemahaman itu mendorong wujudnya persepsi umum bahawa telah wujud percanggahan kepentingan (conflict of interest) dalam mesyuarat Exco negeri berkaitan perkara itu, terutama mengambilkira kehadiran anggota Exco berkenaan.

Pertikaian mengenai kejohanan itu diburukkan lagi dengan pembangunan drastik dan extravaganza (terlampau) yang berlaku ke atas Pulau Duyong, semata-mata bagi memenuhi keperluan penganjuran Piala Monsun. Belanja dikeluarkan kerajaan bagi tujuan itu mencecah ratusan juta ringgit.

Keengganan dan dolak-dalih pihak kerajaan negeri untuk mendedahkan angka sebenar perbelanjaan dihabiskan untuk kejohanan itu menyebabkan rakyat semakin mencurigai pengurusannya. Pertikaian mengenainya bukan setakat menjadi bahan perbahasan di kedai kopi atau pentas ceramah politik, malah turut menjadi isu pertikaman lidah antara wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam beberapa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu sebelum ini.

Di masa sama, kesan alam sekitar akibat pembangunan tidak teliti di Pulau Duyong turut memberi kesan negatif terhadap kegiatan ekonomi penduduk beberapa pulau dan daratan sekeliling. Keadaan itu dibuktikan bukan sekadar dakwaan tidak berasas oleh pihak pembangkang, malah diakui sendiri oleh dua Adun BN kawasan terbabit ketika itu, iaitu Adun Bukit Tunggal, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Adun Seberang Takir, Mohd Shapian Ali.

Segala pertikaian dan perasaan tidak puas hati rakyat mengenai perkara itu bukan sahaja menyenakkan kepala para pemimpin negeri, khususnya Wan Hisham, malah turut dikaitkan sebagai antara faktor kekalahan BN di Dun Bukit Tunggal dalam pilihan raya umum, Mac lalu.

Sebab itu apabila minggu lalu Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mengesahkan bahawa penganjuran kejohanan Piala Monsun tidak mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan, ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi BN, terutama para pembesar negeri yang terlibat secara langsung dengan pengurusan kejohanan itu.

Menurut Ahmad Said, keputusan tersebut disahkan setelah beberapa kali semakan dan penelitian dibuat terhadap kertas siasatan kes berkenaan.

“Kita dapati tiada wujud kesalahan atau jenayah rasuah mengenai kejohanan kapal layar Piala Monsun di Terengganu selepas melakukan beberapa kali semakan. Bagi BPR memang sudah jelas tidak ada apa-apa”, katanya, sebagaimana disiarkan akhbar, 17 Oktober lalu.

Bagai diduga, orang pertama memberikan reaksi terhadap kenyataan Ahmad Said ini ialah Wan Hisham sendiri. Beliau malah mengambil kesempatan itu untuk membidas pihak-pihak yang dianggap selama ini mempolitikkannya.

“Saya berharap pihak pembangkang tidak lagi menjadikan isu Piala Monsun sebagai bahan kempen mereka, selain tidak lagi meminta kerajaan memberi penjelasan dalam sidang Dewan Undngan Negeri (Dun) kerana segalanya sudah terjawab”, katanya.

Ternyata Wan Hisham telah sengaja memesongkan fakta mengenai pertikaian yang timbul selama ini apabila sekadar menyalahkan pembangkang. Rakyat Terengganu tentu tidak mudah lupa betapa rungutan mengenai perkara itu bukan sahaja disuarakan dua bekas Adun BN tadi, bahkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri.

Dalam kenyataannya pada 25 Julai lalu, Ahmad secara terbuka meminta BPR menyiasat pelaksanaan beberapa projek mega di Terengganu, termasuk Piala Monsun yang dikhuatirinya ada unsur penyelewengan. Bukankah penyiasatan BPR itu dilakukan ekoran teguran dan pelawaan oleh Ahmad itu?

Apatah lagi moral utama dalam isu Piala Monsun, selain dakwaan wujud unsur rasuah dan penyelewengan pengurusan, ialah pembaziran dan kesan negatif penganjurannya ke atas pulau warisan ulama itu. Penganjuran kejohanan yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu diakui pelbagai pihak amat tidak sepadan dengan manfaat diperolehi rakyat, terutama penduduk Pulau Duyong sendiri.

Jangan dilupakan juga betapa nama Pulau Duyong adalah sangat besar ertinya bagi negeri Terengganu, terutama dalam sejarah perkembangan ilmu Islam beberapa dekad lalu. Di situlah tapak pusat pengajian diterajui Sheikh Duyong yang bukan sahaja popular di kalangan rakyat Terengganu dan Malaysia, bahkan menjadi tumpuan para pelajar dari serata rantau Asia Tenggara untuk menuntut ilmu agama.

Malangnya, imej positif itu sudah tidak kedengaran lagi. Meski pun sejak beberapa tahun lalu Pulau Duyong kembali menjadi kunjungan pelbagai pihak dari serata dunia, ia bukan lagi untuk Islam, sebaliknya untuk sukan dan hiburan.

Justeru, meski pun BPR mengesahkan kejohanan itu bebas daripada sebarang unsur rasuah atau penyelewengan, ia masih tidak dapat membebaskan Piala Monsun daripada pertikaian moral, terutama manfaat ekonomi dan kesan sosialnya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 26 Oktober-1 November 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment