Oleh: MOHD NASIR AWANG
BAGAI diduga lebih awal, PAS tidak menghadapi masalah
besar mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Pulau
Pinang. Dalam pilihan raya kecil Selasa (25 Ogos) lalu, calon PAS, Mohd Salleh
Man berjaya mengenepikan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman
dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh memperolehi 9,618 undi manakala
Rohaizat mendapat 5,067 undi.
Kemenangan itu membawa erti sangat besar buat PAS. Ia bukan
sekadar atas nama mengekalkan kerusi milik parti itu sejak 1999, malah menjadi
menyambung talian hayat PAS di Pulau Pinang.
Dun Permatang Pasir adalah satu-satunya kerusi yang mampu
dimenangi parti itu dalam klimaks kemaraan parti-parti pembangkang menumpaskan
BN tahun lalu. Selaku kerusi tunggal PAS, Permatang Pasir adalah lambang survival politiknya dari sudut
penguasaan kerusi di negeri dikuasai DAP itu.
Kejayaan itu juga menjadi penebus moral politik PAS yang
terhakis teruk akibat prestasi mengaibkan parti itu di Manek Urai, Kelantan,
bulan lalu. Meski pun masih mengekalkan kemenangan, majoriti sangat tipis 65
undi diraihnya bukan suatu yang membanggakan. Apatah lagi gerakerja PAS dalam
pilihan raya itu turut dilatari berbagai perlakuan dan sikap yang dipertikaikan
kalangan sesama ahli dan pendukung parti itu sendiri.
Harus diakui Manek Urai memberikan kemenangan moral sangat
tinggi kepada BN, terutama mengambilkira status parti itu selaku pembangkang di
negeri dikuasai PAS selama 19 tahun itu. Moral politik itu dijaja dan dijadikan
perangsang utama BN di Permatang Pasir.
Dalam konteks itu, kemenangan PAS Selasa lalu bakal
menamatkan keghairahan BN memanfaatkan momentum kemaraan memberangsangkan parti
itu di Manek Urai tempohari. Barangkali selepas ini para pemimpin BN tidak akan
lagi menjadikan Manek Urai sebagai bukti pemulihan kepercayaan rakyat
terhadapnya.
Sememangnya BN mengharapkan sesuatu sangat positif
baginya di Permatang Pasir. Ia tahu hanya keajaiban seumpama tsunami pilitik
2004 lalu yang memungkinkan BN merampas kerusi itu dari PAS. Menyedari hakikat
itu para pemimpinnya tidak begitu ghairah meletakkan sasaran memenanginya, tetapi
sekadar menyatakan komitmen memberikan tentangan sengit terhadap PAS.
Sebarang kejayaan BN menghakis pengaruh pembangkang di situ
akan dianggap kejayaan besar. Paling utama ia akan dilihat mencemarkan moral
politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Permatang Pasir adalah
salah satu di antara Dun dalam Permatang Pauh, kubu politik Anwar.
Justeru, apa yang dipertaruhkan Selasa lalu bukan sahaja survival dan moral politik PAS. Ia sebenarnya
turut mempertaruhkan moral Anwar secara khusus dan Pakatan Rakyat yang memerintah
negeri itu secara amnya.
Malangnya kejayaan diharapkan BN itu tidak menjelma
Selasa lalu. Ia sekadar mampu mengurangkan undi diraih PAS sekaligus menurunkan
jumlah undi majoriti kemenangan. Namun itu tidak boleh dianggap satu kejayaan
BN, memandangkan undi dipungut calonnya juga merosot. Punca sebenar ialah kemerosotan
jumlah pemilih yang keluar mengundi.
Dalam pilihan raya umum Mac 2008, calon PAS, Allahyarham (Datuk)
Mohd Hamdan Abdul Rahman menewaskan calon BN, Mohd Shahar Shuib dengan majoriti
5,433. Calon PAS itu memperolehi 11,004 undi berbanding calon BN yang memungut
5,571.
Ketika itu jumlah keluar mengundi adalah 16,803 atau
82.57 peratus daripada 20,350 pemilih berdaftar. Selasa lalu, jumlah pemilih
yang melaksanakan tanggungjawab hanya 14,768 atau 73.1 peratus daripada 20,290
pemilih berdaftar.
Banyak faktor boleh dikaitkan dengan kemerosotan itu. Ia mungkin
ada kena-mengena dengan bulan puasa, faktor pengundian di hari bekerja atau
pengundi yang tinggal di luar kawasan tidak pulang. Faktor keyakinan pengundi
PAS atas kemampuan parti itu mengalahkan BN juga satu kemungkinan.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku
Pengerusi BN menyatakan akan meneliti faktor-faktor kekalahan partinya, dua
pemimpin utama parti itu tanpa tangguh meletakkan kesalahan kepada pengundi
Permatang Pasir.
“Pengundi di kawasan ini tidak mempunyai keinginan untuk
membangunkan Permatang Pasir seperti ditawarkan BN”, ulas Timbalan Presiden
Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sekaligus menyalahkan sikap pengundi
yang dianggapnya tidak mahukan perubahan.
Turut mengecam pengundi ialah Naib Presiden merangkap
Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kelalahan BN
baginya membuktikan penduduk di situ enggan menerima tawaran BN menjadikan
kawasan mereka ‘anak emas’.
“Orang Permatang Pasir mahu tetap begitu keadaannya. Mereka
tidak perlukan perubahan dan pembangunan, maka kita kena terima”, ujarnya
sinis.
Nada kecewa dua pemimpin utama BN itu adalah isyarat
jelas hakisan moral politik menimpa parti itu. Ia bukan sahaja gagal
memperbaiki rekod kekalahan memalukan di tangan Pakatan Rakyat dalam siri
pilihan raya kecil sebelum ini, malah turut terpukul apabila taktik dan
strateginya yang tidak bermoral akhirnya ditolak pengundi.
Selain janji menjadikan Permatang Pasir sebagai ‘anak
emas’ yang dilatari lagu-lagu pilu kemunduran dan kemiskinan, kempen BN turut
dipalitkan beberapa kes yang dianggap strategi politik tidak bermoral. Antaranya,
penahanan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan di hari penamaan calon
dan pengisytiharan Adun Lunas keluar parti.
BN juga berhadapan isu moral sedari awal apabila
menamakan seorang yang dipertikaikan integritinya sebagai calon. Selain isu
firma guamannya yang diakui Majlis Peguam mempunyai rekod pecah amanah, Rohaizat
juga dikaitkan dengan pembohongan dalam kes kahwin dua.
Kelemahan peribadi calonnya meletakkan BN dalam keadaan “memikul
biawak hidup” sejak awal kempen. Ia mengulangi kesilapan serupa di Kuala
Terengganu, Januari lalu apabila terpaksa menghabiskan banyak masa “membersihkan”
peribadi calonnya, sekaligus menumpulkan serangan terhadap musuh.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, 30 Ogos-5 September 2009 di ruangan ‘Perspektif’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment