Oleh: MOHD NASIR AWANG
UMNO dan Barisan Nasional (BN) kecewa lagi dalam usahanya
memecahbelahkan kepaduan pakatan pembangkang. Kegagalannya memanipulasi
percanggahan antara para pemimpin PAS dan DAP berhubung isu penjualan arak di
Selangor baru-baru ini membantutkan serakah politiknya merampas semula kerajaan
negeri itu dari Pakatan Rakyat (PR).
Bukan itu saja, campurtangan berlebihan dan reaksi
mengada-ngada beberapa khalayak Umno dalam mengeruhkan isu berkenaan kembali
memakan diri parti itu. Umno yang memiliki rekod sangat panjang menerajui
kerajaan Selangor mungkin mahu membakulkan kemelut penjualan arak itu ke atas
kerajaan kini.
Namun siapa akan menolak jika dikatakan masalah itu
sebenarnya telah wujud sebelum ini dan gagal ditangani kerajaan pimpinan Umno? Maka
apabila Umno memperbesarkan isu itu, bukankah ia sebenarnya membuka pekung dan
tokak tinggalannya sendiri?
PAS Selangor pada 4 Ogos menuntut kerajaan negeri menilai
semula jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan
Penyelidikan yang disandang seorang Adun DAP. Ia ekoran tindakan Exco berkenaan
dalam beberapa kes yang dilihat campurtangan sehingga menggagalkan tindakan pihak
berkuasa tempatan melakukan operasi menghalang arak dijual kepada orang Islam,
terutama di kawasan bermajoriti penduduk Islam.
Isu itu dimanipulasi sepenuhnya oleh Umno/BN bagi
mengeruhkan keadaan. Usaha itu seakan membungakan hasil apabila bantahan PAS
bukan sahaja ditolak mentah DAP, malah turut tidak diraikan Menteri Besar
Selangor dari Parti Keadilan Ralyat (PKR).
Perkembangan itu bagaikan 'pucuk dicita ulam mendatang' buat
para pemimpin Umno. Mereka mengambil kesempatan melanyak dan cuba mengapikan
kekecewaan PAS atas isu itu. PAS dilabelkan terpinggir apabila suaranya tidak
diendahkan rakan-rakan dalam PR. Parti itu didakwa sudah tidak dominan dan
wajar mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan pemerintah negeri itu.
Namun, bagai yang sering disebut, manusia merancang dan
Allah Taala juga merancang. Pertikaian itu akhirnya menemui penyelesaian yang
dapat diterima kesemua pihak, terutama PAS dan DAP. Sebaliknya, Umno sekali
lagi terpukul apabila kelantangannya membantah penjualan arak tidak konsisten
dengan tindakannya di beberapa negeri diterajuinya.
Beberapa pemimpin tertentu yang bercakap tentang PAS
terpinggir dan tidak dominan itu turut ditimpa bahananya. Ada hikmat sangat
besar Allah Taala memilih orang-orang bernama Datuk Seri Mohd Ali Rustam dari
Melaka, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Ketua Pemuda Umno) dan Datuk Rosol Wahid
(Terengganu) dari ribuan pemimpin Umno. Tiga pemimpin inilah paling awal
mendakwa PAS sudah terpinggir dan tidak dominan, seraya menggesa parti itu
keluar PR.
Pengalaman politik ketiga-tiga mereka dalam parti dan
kerajaan memudahkan PAS ‘memulangkan paku buah keras’. Tidak sukar dibuktikan
ketiga-tiga mereka sebenarnya jauh lebih terpinggir berbanding apa dialami PAS.
Pemimpin Melaka itu dipencilkan partinya ekoran isu politik
wang pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno. Daripada berjawatan Naib
Presiden, kini dia tiada apa-apa jawatan penting lagi di peringkat nasional.
Seorang lagi, walau pun menang Ketua Pemuda Umno, tetapi
dipinggirkan dalam senarai Kabinet. Sedangkan timbalannya dapat juga merasa
menjadi timbalan menteri.
Yang di Terengganu itu pula sebelum ini menjadi anggota
Exco negeri dan Setiausaha Umno negeri. Kini dia bukan sahaja tidak dilantik
semula mengisi dua jawatan penting itu, malah turut disingkirkan dari jawatan
timbalan ketua Umno bahagiannya.
Mereka bertiga sebenarnya yang terpinggir dalam parti
Umno dan kerajaan BN. Jika mereka begitu celupar meminta PAS keluar PAS atas
dakwaan terpinggir dan tidak dominan, maka yang lebih layak keluar Umno dan BN
ialah mereka sendiri.
Bukan sahaja mereka bertiga, malah penyakit terpinggir
dan tidak dihargai turut menghinggapi sebilangan pemimpin lain dalam Umno. Nasib
serupa turut kita dengar diluahkan para pemimpin parti-parti komponen BN.
Tahun lalu ada suara-suara lantang dari wakil-wakil
rakyat BN Malaysia Timur. Mereka mendakwa negeri mereka terpinggir dan tersisih
dari arus pembangunan negara. Mereka merasa seolah-olah masih menumpang di
sebuah rumah besar kerajaan BN.
“Apa guna kalau duduk di banglo (BN) tapi sesetengah
orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas
saja”, ucap Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman di Dewan Rakyat, 7 Mei
2008.
Ucapan senada itu turut disuarakan beberapa Ahli Parlimen
BN dari kedua-dua negeri itu. Suara mereka dianggap mewakili kesemua parti
komponen BN di Sabah dan Sarawak.
Ketika memuncaknya isu perkauman ekoran ucapan seorang
ketua Umno bahagian di Pulau Pinang, September tahun lalu, Presiden Gerakan,
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan Umno terlalu dominan dan seakan
meminggirkan pandangan dan kepentingan parti-parti lain dalam BN.
Gerakan mengugut meninggalkan BN sekiranya Umno tidak mengubah
sikap dalam menerajui gabungan itu. Pemuda MCA juga mendesak partinya mengkaji semula
kedudukan dalam BN sekiranya Umno terus dengan sikap terlalu mendominasi segala
perkara.
Akibat hilang kepercayaan terhadap Umno, khususnya Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Parti Maju
Sabah (SAPP) mengisytiharkan keluar daripada BN, 17 September 2008.
Beberapa kes disebutkan itu hanyalah sebilangan contoh
pertikaian dalaman BN. Jadi jika pemimpin Umno menyeru PAS yang didakwa
terpinggir dan tidak dominan mengkaji semula kedudukannya dalam PR, maka seruan
itu juga layak ditujukan kepada semua parti komponen BN selain Umno.
Hanya Umno yang dominan dan tidak terpinggir dalam BN. Maka
hanya Umno layak terus kekal dalam gabungan itu.
Elok sangat jika semua parti
komponen lain menarik diri dari BN, biar gabungan itu mati kering. Akhirnya Umno
yang asalnya tulang belakang BN akan jadi tulang kering!
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 23-29 Ogos 2009 di kolum ‘perspektif’ dnegan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment