Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
“DUA puluh ribu (RM20 ribu)? Sikit tu. Dua Datuk baru ni
(RM) 3 juta, dak? Umno biasalah rasuah-rasuah ni. Dua puluh ribu jadi apa?”
Itulah antara ungkapan sinis yang kedengaran di
medan-medan sembang di Terengganu pada hari Isnin (3 Ogos) lalu. Tajuk utama
ynag menguasai bual bicara rakyat hari itu ialah kes rasuah terbaru membabitkan
seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri itu.
Kebanyakan akhbar pada hari itu melaporkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang Adun BN di Kemaman.
Pemimpin itu disyaki telah menerima wang suapan RM20,000 bagi membolehkan
sebuah syarikat mendapat projek lanskap di Kuala Lumpur.
Ketika ditahan, Adun berkenaan dilaporkan ditemui bersama
wang tunai berjumlah RM5,000 yang disyaki baru diterimanya. Beliau dipercayai
telah menerima RM15,000 dari syarikat terbabit sebelum itu.
Bayaran-bayaran tersebut adalah sebahagian daripada
habuan antara 10 hingga 13 peratus yang diminta Adun berkenaan daripada projek
bernilai RM2 juta yang diperolehi syarikat tersebut.
Memang sukar dinafikan apa yang diperkatakan di medan
sembang itu. Umno memang sudah disebatikan dengan rasuah. Lalu jika pun timbul
cerita para pemimpinnya terbabit dengan amalan jijik itu, ia bukan lagi suatu
yang mengejutkan.
Bagaimana pun, kes penahanan Adun dari Kemaman ini tetap
menjadi bahan percakapan rakyat. Apatah lagi baru tidak sampai dua bulan lalu dua
bekas pemimpin kanan Umno Terengganu ditahan SPRM. Seorang Ahli Dewan Negara
dan seorang bekas ahli parlimen disyaki terlibat dalam kes rasuah projek
pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di ibu negara.
Mereka yang ketika kejadian pada 1999 lalu, menjadi ahli
lembaga pengarah syarikat kontraktor utama MRR2 dikatakan menerima wang
berjumlah RM3 juta kononnya untuk mengisi dana Umno.
Ekoran kejadian 10 Jun lalu itu para pemimpin tertinggi
Umno semakin lantang memerangi gejala merosakkan itu. Segenap peringkat Umno
bercakap mengutuk amalan rasuah. Mereka yang disyaki terlibat dalam kes-kes
sebegitu tidak diberikan keutamaan mengisi jawatan penting parti.
Lalu rakyat, khususnya di Terengganu, menyangka tidak
akan ada lagi kes-kes rasuah membabitkan para pemimpin parti kerajaan itu.
Justeru, apabila kes terbaru melibatkan Adun BN ini tersiar,
ia bagai mengisyaratkan betapa segala usaha membasmi amalan tersebut selama ini
masih gagal. Para pemimpin Umno nampaknya tidak terkesan langsung dengan laungan
dan serangan para pemimpin atasan mereka sendiri dalam hal tersebut.
Rekod penglibatan para pemimpin Umno Terengganu dengan
isu rasuah agak menonjol. Tidak usah kita mengundur terlalu jauh ke belakang.
Apa yang timbul sepanjang pemerintahan BN sejak lima tahun lalu pun sudah cukup
banyak diperkatakan rakyat.
Contohnya, Pengarah SPRM Terengganu pada hujung November
2007 (ketika itu masih dipanggil BPR) pernah mendedahkan pihaknya sedang
menyiapkan kertas siasatan kes rasuah terhadap 70 individu di negeri itu,
termasuk pemimpin politik terkenal.
Di masa sama juga kedengaran rakyat Terengganu bercakap
tentang seorang anggota Exco yang dipertikaikan pembinaan “mahligai”nya. Kos
pembinaan banglo mewah itu dikatakan tidak munasabah dengan pendapatan beliau.
Lalu ada yang mengaitkan kemewahan beliau itu dengan “kesan
sampingan” dari projek pembangunan Bandar Baru Kijal, di Kemaman. Cakap-cakap
rakyat mendakwa beliau mendapat habuan istimewa dari beberapa pakej projek
tersebut.
Seorang anggota Exco lain ketika itu dipersoalkan
pembabitannya dalam satu acara berprestij anjuran kerajaan negeri beserta
segala perbelanjaan besar berkaitannya. Sebagai Exco, beliau terlibat memutuskan
dasar penganjuran acara itu. Sedangkan acara itu dilaksanakan oleh syarikat
yang dipengerusikannya sendiri.
Ada Adun BN yang mempamerkan gaya hidup terlalu mewah. Meski
pun beliau mendakwa memang sudah lama kaya, pembabitannya dalam urusan
pembalakan sewaktu menerajui sebuah anak syarikat kerjaaan negeri menimbulkan
syak di atas kemungkinan salah guna kuasa.
Cakap-cakap itu bagaimana pun hilang begitu saja. Rakyat juga
tidak dimaklumkan sama ada siasatan dibuat pihak bertanggungjawab terhadap
kes-kes yang disebutkan tadi.
Namun apa yang pasti, kesemua pemimpin yang dimaksudkan
itu masih bebas berpolitik, termasuk dua Datuk dalam kes MRR2 itu, hakikat itu
menyuburkan tanggapan bahawa gejala rasuah tidak akan dapat dihapuskan selagi
mana Umno masih menguasai tampuk pemerintahan.
Sepertimana diakui beberapa pemimpin parti itu sendiri,
gejala rasuah sudah menjadi barah utama dalam batang tubuh Umno. Bekas Presiden
Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengulas perkara ini. Katanya, “jika yang
menang adalah orang yang menghulur rasuah, maka Umno akan dipimpin oleh
perasuah, dan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah
selepas Pilihan Raya Umum ke-13 jika BN menang. Dan pemimpin jenis ini akan
sauk duit kerajaan dan duit siapa sahaja yang berurusan dengan kerajaan”.
Turut mengulas gejala rasuah sebagai barah yang
memusnahkan Umno ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
“Saya fikir Umno tahu apakah ubat yang menyembuhkan
penyakit parti itu, tetapi mereka tidak mampu lakukan. Ubatnya adalah dengan
memotong atau membuang segala barah penyakit yang hidup dalam batang tubuh Umno”.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 9-15 Ogos 2009)
No comments:
Post a Comment