Sunday, August 2, 2009

Salah guna e-Book - BN tak belajar kesilapan lepas


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

ADA sekurang-kurangnya dua isu menarik yang berhubungkait dengan pemerintahan Barisan Nasional (BN) Terengganu dibangkitkan media cetak minggu lalu. Selain isu penyalah gunaan buku elektronik (e-Book) oleh sekumpulan pelajar di negeri itu, isu jeti Merang yang menjadi “gajah putih” turut disebut semula.

Bermula tahun ini, kerajaan Terengganu melaksanakan penggunaan komputer mini atau e-Book kepada murid-murid Tahun Lima. Kemudahan itu dibekalkan kepada mereka sebagai ganti buku teks. Selain memperlihatkan langkah ke hadapan dalam aplikasi teknologi pengajaran dan pembelajaran (P&P), pelaksanaan program itu juga dikaitkan dengan penambahan peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.

Bagaimana pun keghairahan kerajaan negeri menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian itu bertukar aib apabila tersebarnya berita sekumpulan murid di sebuah sekolah di Gong Badak, utara Kuala Terengganu memuat turun video dan gambar lucah pada e-Book yang dibekalkan kepada mereka.

Akhbar harian pada Sabtu (25 Julai) lalu mendedahkan guru yang memeriksa e-Book kira-kira 12 murid di sekolah berkenaan menemui rakaman video dan gambar yang tidak sepatutnya menjadi tontotan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, mungkin menjadi orang paling tidak selesa apabila terpaksa mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau bagaimana pun tetap mempertahankan pelaksanaan program yang didakwanya lebih banyak memberi manfaat kepada rakyat itu. Selasa (28 Julai) lalu, Ahmad Razif sekali lagi menempelak pihak-pihak yang mempertikaikan langkah kerajaan negeri melaksanakan penggunaan e-Book.

“Rancangan penggunaan e-Book sejak dari mula menerima tafsiran salah dan pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk menyatakan ia membazir. Sepatutnya semua pihak perlu memberi sokongan kerana perkara ini tidak mudah dibuat selain memberikan faedah yang besar”, katanya.

Namun, dengan berlakunya kes di Gong Badak itu, elok juga ditanyakan siapakah sebenarnya yang membuat “tafsiran salah”? Apakah rakyat menyalah tafsir program kerajaan ataukah BN sebenarnya yang salah tafsir pandangan rakyat?

Apatah lagi kes berkenaan mengundang kritikan pedas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sendiri. Dalam reaksinya terhadap kejadian memalukan itu, Rais malah menyarankan kerajaan negeri-negeri lain agar tidak mengambil langkah seperti kerajaan Terengganu dalam memberi kemudahan e-Book kepada murid sekolah.

Katanya, negara bakal berhadapan banyak cabaran seperti itu (pembabitan murid sekolah menonton video dan gambar lucah) sekiranya kerajaan membekalkan kemudahan untuk mereka menyalahgunakannya.

Ternyata kebimbangan menteri itu, itulah juga yang sebelum ini menjadi asas pertikaian masyarakat terhadap perancangan BN itu. Dalam keadaan aspek kawalan dan pengawasan di tahap yang masih belum mantap, segala macam cara penyalahgunaan mungkin berlaku ke atas kemudahan dibekalkan kerajan itu.

Sebab itu meski pun dianggap kes terpencil, terutama mengambilkira jumlah pelajar terlibat dengan kes penyalahgunaan tersebut, BN tidak sepatutnya mengenepikan begitu sahaja pandangan pihak lain. Kes yang berlaku di Gong Badak itu patut dijadikan bukti awal bahawa kebimbangan disuarakan masyarakat ada asasnya. Malah potensi untuk kes seumpama itu berulang tidak boleh diperkecilkan.

Isu utama di sini ialah ketidaksediaan BN mendengar dan mengambilkira pandangan kedua. Itulah tabiat BN yang sebelum ini sudah banyak menghasilkan kesilapan demi kesilapan.

Isu kedua dibangkit minggu lalu, iaitu kes jeti dan benteng pemecah ombak di Merang adalah satu lagi contoh. Rakyat tidak tahu entah apa yang mendorong Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengungkitkan kembali isu berkenaan.

Namun apa yang menarik ialah apabila pemimpin itu menyandarkan pendedahan itu atas hasrat menyeru agar kerajaan lebih mengutamakan pandangan pihak lain sebelum melakukan sesuatu projek pembangunan.

Ketika bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Jubli Emas Dun Terengganu, 26 Julai lalu, Tengku Putera menarik perhatian media kepada kes pembinaan jeti dan benteng itu yang sedari awal telah dibantah penduduk setempat. Pembinaannya bagaimana pun diteruskan juga oleh BN.

“Dalam tempoh tidak berapa lama, betul kata orang ramai, benteng pemecah ombak itu tidak boleh pakai (guna). Sekarang ini ia seperti berada di atas darat. Ini buktilah, bukan kata kerajaan gagal tetapi pendapat rakyat mustahak”, akui Tengku Putera.

Kata-kata beliau itu segera mengingatkan kita kepada kes runtuhan bumbung stadium, juga di Gong Badak, awal Jun lalu. Kita dimaklumkan sudah ada beberapa pihak mempertikaikan kaedah dan teknik pembinaannya.

Wakil rakyat PAS juga dilaporkan pernah menyuarakan kebimbangan mengenai struktur stadium itu di sidang Dun. Malangnya, BN tidak mengambil serius padangan itu. Akhirnya berlakulah apa yang berlaku dan seluruh negara menerima malu akibat kejadian itu.

Sama ada kes stadium runtuh, jeti dan pemecah ombak di Merang yang gagal berfungsi mahu pun yang terbaru kes e-Book disalahguna, kesemua kes tersebut bertitik-tolak daripada kesilapan yang sama. Punca utamanya ialah BN tidak bersedia mendengar dan mengambilkira pandangan kedua yang membantah pelaksanaan sesuatu program kerajaan.

Parti itu terlalu angkuh untuk belajar dari kesilapan lepas. Tabiat itu membuatnya terus mengulangi kesilapan demi kesilapan. Entah apa pula bahana menanti selepas ini?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, edisi 2-8 Ogos 2009 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment