Oleh: Mohd Nasir
Awang
Secara saintifik
sudah ada pengkaji menemui bukti kukuh bahawa amalan solat dapat menjadi terapi
menyembuhkan penyakit yang diidapi seseorang.
Akhbar harian
pada 6 Ogos lalu memuatkan laporan mengenai penemuan saintifik bahawa masalah
mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas
boleh diatasi dengan menunaikan solat.
Khabar yang
membanggakan umat Islam itu dibuktikan melalui kajian saintifik seorang pakar
kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Professor Madya Dr Fatimah
Ibrahim. Menurutnya, selepas sebulan menjalani terapi solat yang diperkenalkan
olehnya, dua lelaki menghidap masalah mati pucuk berjaya menunjukkan
perkembangan positif.
Katanya, melalui
terapi itu seseorang lelaki yang memiliki masalah berkenaan perlu menunaikan
solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak
tiga kali seminggu. Mengambil kira gabungan amalan solat-solat fardhu dan sunat
yang disyariatkan Islam, keperluan itu tidak sukar dipenuhi.
“Sebagai contoh
seorang pesakit boleh menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas
menunaikan solat Zohor untuk tujuan terapi itu,” jelasnya.
Dr Fatimah berkata
demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Sains Solat
Peringkat Kebangsaan 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad
Badawi. Seminar anjuran UM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu
diadakan di ibu negara, 5 Ogos lalu.
Difahamkan kajian
itu adalah sebahagian daripada projek penyelidikan saintifik universiti
berkenaan mengenai kesan biologikal solat kepada tubuh badan manusia. Antara
kajian lain di bawah projek itu adalah kesan positif solat kepada ketenangan
minda, kesihatan jantung dan masalah sakit pinggang.
Kajian tersebut telah
mengesahkan bahawa setiap pergerakan dalam solat merangsang otot lantai pelvik.
“Memang pakar perubatan
mencadangkan lelaki mati pucuk melakukan senaman otot lantai pelvik, tetapi
dengan bersolat otot berkenaan dapat diregangkan secara automatik,” akui Dr
Fatimah lagi.
Menurutnya, dua
pesakit yang dimaksudkan telah berjaya mengurangkan tahap mati pucuk selepas
menjalani terapi solat selama sebulan dengan menunjukkan sedikit reaksi ketegangan
zakar.
Tidak syak lagi
penemuan saintifik ini adalah sesuatu yang membanggakan umat Islam. Tepat
sepertimana disebutkan Dr Fatimah, “ini menunjukkan solat bukan sahaja ibadah
wajib tetapi merawat fizikal dan minda”.
Kesan positif
ajaran dan amal ibadat dalam Islam terhadap manusia memang sudah dijangkakan.
Sebagai umat Islam kita diyakinkan menerusi sebegitu banyak firman Allah dan
sabda Junjungan Muhammad s.a.w. yang menegaskan kelebihan dan manfaat setiap
ibadat yang kita laksanakan.
Antaranya ialah
firman Allah Ta’ala yang mengaitkan zikrullah sebagai terapi menenang dan
mententeramkan hati (baca Surah ar-Ra’d 13:28). Di antara ibadat yang disarati
zikrullah adalah solat. Maka secara logiknya, seseorang yang menyempurnakan
solatnya akan memperolehi suatu tahap ketenangan hati.
Malangnya, tidak
semua yang mengamalkan ibadat rukun Islam itu berupaya mendapat hasil seperti
disebutkan. Sebegitu ramai yang bersolat, tetapi dalam kehidupan seharian
mereka gagal mempamerkan tindakan sebagai seorang yang mempunyai hati yang
tenang dan tenteram.
Sama lah juga
dengan janji Allah di dalam al-Quran bahawa solat itu mampu mencegah perbuatan
yang keji dan mungkar (baca Surah al-Ankabut 29:45). Tidak payah kita buktikan
hakikat betapa sebegitu ramai umat Islam yang bersolat tetapi masih kekal
melakukan kemungkaran dan kekejian.
Maka apakah boleh
kita simpulkan bahawa Allah Ta’ala telah tersilap dalam memberikan janji-janji
itu?
Maha Suci Allah
Yang Maha Sempurna. Dia tidak bersifat dengan apa jua sifat kekurangan atau
kesilapan. Itulah kepercayaan yang bertunjang kukuh dalam setiap diri bernama
Muslim.
Kita juga diajar
bahawa Allah Ta’ala tidak akan sesekali memungkiri janjiNya. Apa yang
dijanjikannya pasti akan berlaku, termasuk soal solat sebagai pencegah mungkar
dan keji. Tentu ada kesilapan kita yang mengamalkan ibadat itu yang menyebabkan
ia gagal menghasilkan apa yang dijanjikan Tuhan itu.
Sering ditekankan
bahawa keberkesanan sesuatu terapi atau kaedah perubatan bergantung kepada
sejauh mana pesakit benar-benar mematuhi kaedah atau arahan diberikan. Contohnya,
ketepatan masa dan lain-lain syarat pengambilan ubat. Sedikit sahaja kesilapan,
termasuk melanggar pantang larangnya, akan menyebabkan keberkesanan ubat itu
terhapus. Itu contoh paling mudah.
Begitu juga
dengan solat. Meski pun tidak diperincikan terapi solat dikendalikan Dr Fatimah
tadi secara langkah demi langkah, kita percaya kejayaannya itu ada hubungkait
sangat rapat dengan penghayatan sepenuhnya pesakit berkenaan terhadap setiap
pergerakan dan tuntutan dalam solat.
Justeru,
andaikata solat dikerjakan tidak mampu memberikan ketenangan hati atau gagal
menghalang seseorang dari terus melakukan kekejian dan kemungkaran, jangan
mudah mempersalahkan janji Allah.
Yakinilah bahawa solat
yang dilakukan mengikut piawaian pergerakan setiap anggota dengan betul dan
bertepatan dengan tertib diajarkan agama mampu memberi kesan bioperubatan yang
menakjubkan. Jika itu tidak berlaku, ia menunjukkan solat kita masih belum
sempurna dalam ertikata disabdakan Rasulullah s.a.w., “bersolatlah kamu
sepertimana kamu melihat aku bersolat”.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, September 2009 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment