Oleh: Mohd Nasir Awang
BAGAI diduga sedari awal, beberapa hakikat berkaitan
himpunan menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Sabtu (1
Ogos) lalu akhirnya menjadi kenyataan. Pertama, perhimpunan itu tetap diadakan
bagai dirancang kendati pun pelbagai kepayahan dihadapi penganjur dan para
pendukungnya.
Meski pun banyak laporan menyebut jumlah hadirin
menjayakan demonstrasi itu tidak mencecah angka 100 ribu disasarkan, kebanyakan
pengulas yang waras dan rasional tidak menolak ia jumlah yang agak besar.
Paling penting kesemua mereka bukan tenaga kerahan yang
diupah dan diangkut. Ia bukan macam kaedah yang lazim digunapakai parti
pemerintah untuk meramaikan sesuatu perhimpunan diadakannya.
Kita percaya sekalian yang hadir ke ibu negara Sabtu lalu
atas kerelaan dan komitmen sendiri dengan belanja dan ikhtiar masing-masing. Dakwaan
seorang menteri kononnya ada peserta perhimpunan itu mengaku diupah untuk hadir
harus diterima sebagai usaha demoralisasi terhadap penganjuran demonstrasi itu.
Jangkaan kedua yang turut menjadi kenyataan ialah
tindakan keras pihak polis bagi menggagalkan perhimpunan petang itu. Sekatan jalan
raya dan tangkapan terhadap mereka yang disyaki mahu menyertai perhimpunan dibuat
sejak pagi.
Kerahan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke lokasi
perhimpunan, bedilan bom asap dan siraman air “hujan” dari lori merah juga
fenomena yang sudah diduga.
Andaian ketiga ialah peranan media arus perdana
merasionalkan pendirian dan mempertahankan tindakan kerajaan dalam isu itu. Pemikiran
pembaca malah telah diterjah lebih awal dengan persepsi sangat negatif terhadap
hasrat membantah ISA.
Pihak penganjur dan pendukung demonstrasi diremehkan dari
segenap perspektif, mereka dilabel tidak mempedulikan keselamatan negara,
membelakangkan ajaran agama dan tanggungjawab sosial.
Paling digemariuhkan ialah apa yang didakwa kerugian
ekonomi. Kononnya para pengusaha pusat beli-belah, peniaga dan pemandu teksi di
sekitar ibukota mengalami kerugian besar apabila operasi masing-masing
tergendala Sabtu lalu.
Seorang menteri menganggarkan kerugian keseluruhan hingga
ke RM200 juta. Ada menteri lain pula mendakwa peristiwa itu menghambat para pelabur
dan pelancong dari negara ini.
Akhbar-akhbar bagaikan saling berlumba memuatkan reaksi
negatif pelbagai pihak. Keghairahan media memanipulasi peristiwa itu bagaimana
pun saya kira agak melampau apabila ia menyeretnya kepada perbahasan berbau
perkauman. Mula-mula dimuatkan fakta yang mendakwa 95 peratus demonstran adalah
Melayu.
Kemudian, akta itu dimanipulasi dari perspektif
kemelayuan sempit. Beberapa pemimpin ternama Umno lantas menyimpulkan kononnya
Melayu yang berdemonstrasi tempohari sanggup diperalat untuk memperjuangkan
pembebasan beberapa pemimpin bukan Melayu yang kini ditahan di bawah akta kejam
itu.
Tidak sukar dimengertikan hasrat mereka memainkan sentimen
perkauman itu. Satu persepsi cuba dibentuk, bahawa hanya jika sesuatu itu
dibuat Umno, barulah ia bertujuan menjulang martabat Melayu. Sebaliknya apa jua
yang dibuat parti-parti lawannya ditohmah sebagai merendahkan martabat bangsa.
Bagaimana pun saya kira suatu yang agak tidak beretika
bagi media memilih untuk menggodek sentimen kaum bagi mencapai maksud tersebut.
Ia malah percubaan sangat bahaya dan berpotensi mendedahkan kita kepada pertikaian
lebih buruk.
Harus dinyatakan betapa saya amat tidak selesa
membicarakan isu-isu perkauman sebegini. Selain ia bertentangan dengan prinsip
dan ajaran Islam, ia juga cenderung mengongkong dan menyempitkan minda.
Pun begitu, tercabar oleh keghairahan beberapa kalangan
memanipulasi isu demonstrasi dengan sentimen kaum, saya kira wajar dikaitkan
juga pandangan prejudis mereka itu dengan beberapa hakikat lain dalam negara.
Maksud saya, andai diterima dakwaan pemimpin Umno bahawa
95 peratus demonstran Melayu Sabtu lalu adalah alat kaum lain, semata-mata kerana
apa yang mereka perjuangkan itu memanfaatkan segelintir mangsa ISA bukan Melayu,
maka bagaimana halnya dengan perkhidmatan pasukan keselamatan negara yang juga
hampir sepenuhnya dianggotai orang Melayu?
Agak kerap dimaklumkan betapa tahap penyertaan bukan
Melayu sama ada dalam pasukan polis mahu pun tentera amat mendukacitakan. Sedangkan
tugas kedua-dua pasukan keselamatan itu adalah untuk mempertahankan negara dan
menjamin keselamatan semua rakyat, termasuk bukan Melayu.
Jika diikutkan logik dan hujah perkauman sempit pemimpin Umno
dalam kes demonstrasi tadi, maka apakah tidak boleh kita katakan bahawa semua
Melayu dalam pasukan keselamatan negara juga menjadi alat menjaga keselamatan
kaum lain? Tentu sekali tidak wajar, bahkan amat menghinakan jika kita
beranggapan demikian, bukan?
Bagaimana pula dengan sikap Umno menyerahkan beberapa kerusi
bermajoriti Melayu kepada rakan-rakan bukan Melayu di setiap kali pilihan raya?
Apakah para pemimpin dan ahli Umno di Parlimen Gerik, misalnya, bersedia
menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya alat kepada Gerakan dalam pilihan
raya lalu?
Melayu Umno bekerja keras, bertungkus-lumus, siang-malam,
pagi petang hanya untuk memastikan kemenangan seorang pemimpin bukan Melayu. Saya
tidak mahu kata mereka pencacai parti bukan Melayu itu, tetapi hakikat tetap
hakikat. Di mana ego ketuanan Melayu Umno sehingga memungkinkan kerusi dengan lebih
70 peratus pengundi Melayu itu diserahkan kepada bukan Melayu?
Sebab itu telah saya nyatakan tadi, keghairahan media dan
pemimpin Umno melabelkan perjuangan majoriti Melayu membantah ISA sebagai alat
kaum lain sebenarnya boleh mendedahkan kita kepada penafsiran lain yang lebih
buruk, termasuk yang menenyeh batang hidung Umno sendiri.
Sepatutnya sebagai pejuang Melayu, jika pun Umno mahu
meremehkan parti lawan dalam sesuatu isu, jangan sampai cara dan hujah
digunakannya membawa kesan menghina martabat bangsa Melayu sendiri!
(Artikel ini
disiarkan tabloid dwi-mingguan Siasah, edisi 18-24 Syaaban 1430/9-15 Ogos 2009
di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment