Saturday, August 1, 2009

Kes Mohan ‘wake up call’ pemantapan akidah saudara baru


Oleh: Mohd Nasir Awang

Alhamdulillah, tiada kalimah paling mudah diucapkan dan sebenarnya paling berharga untuk mengiringi jenazah pengarah seni bebas, Mohd Azari Shah Mohan Abdullah ke persemadian terakhirnya.

Apatah lagi kematian saudara baru itu pada 25 Mei lalu bukan disusuli pengurusan segera pengebumiannya sepertimana dituntut Islam. Ia tertangguh selama sebelas hari ekoran kekeliruan status agama si mati sehingga mengundang tuntutan antara keluarganya dengan pihak berkuasa agama Islam negeri.

Mohd Azari Shah atau nama asalnya Mohan Singh a/l Janto Singh, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Apartment Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Keluarganya menuntut jenazah Mohd Azari untuk ditanam mengikut upacara agama Sikh.  Namun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dan Pengarah Hospital Sungai Buloh membuat keputusan menyimpan jenazah itu dan merujuk persoalan mengenai status agama sebenar lelaki itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Mais bertindak segera memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam pada hari kematian Mohd Azari untuk mendapat pengesahan status keislamannya.

Hanya pada 6 Julai Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam mengesahkan Mohan Singh sudah memeluk Islam dan membenarkan jenazahnya dikebumikan secara Islam.

Menurut fakta didedahkan, Mohd Azari telah memeluk Islam pada 11 Ogos 1992 di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, tanpa pengetahuan keluarganya. Carian yang dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimana pun mendapati Mohd Azari tidak pernah membuat permohonan pindaan status agama di dalam kad pengenalannya selepas itu.

Pegawai Mais yang membuat siasatan ke rumahnya menemui beberapa fakta yang boleh mengaitkannya dengan agama Islam. Allahyarham antara lain dikatakan menulis sekeping nota mengingatkan diri tentang beberapa ajaran Islam.

Nota 10 perkara dalam Bahasa Inggeris itu bertajuk ‘Exercise to read everyday in the morning’.  Ia dilekatkan pada pintu masuk ke biliknya.

Ia antara lain mengingatkannya kepada Allah, belajar cara bersolat, mencari jalan ke masjid dan berdoa sebelum makan.

Antaranya, perkara nombor 6 berbunyi, “To learn to pray.  Find a way to the mosque.  Might get the answer there.”

Perkara nombor 7 ialah, “Remember Allah because Allah loves everyone.  He forgives and loves.  Allah will accept me.”

Perkara ke-8 pula, “Must say prayers before eating”.

Kunjungan ke rumahnya disertai anggota keluarga dan peguam keluarga Mohd Azari itu juga menjumpai al-Quran dan muqaddam serta buku Asas Fardhu Ain. Tasbih dan kain pelikat turut ditemui.

Namun tidak semua fakta berkaitan kehidupannya selepas memeluk Islam boleh dibanggakan.  Dia didapati pernah berkahwin dengan wanita Iban beragama Kristian pada 12 September 1997 dan dikurniakan seorang anak sebelum berpisah.

Rumah didiaminya bersama rakan berbangsa Cina itu pula turut mempunyai patung, simbol dan gambar dewa yang dikaitkan dengan agama Hindu serta colok.

Seorang saksi kes perbicaraan itu mengakui terkejut apabila pada pertemuan mereka dua hari sebelum kematiannya, Mohd Azari membeli empat tin minuman keras yang diminumnya di dalam kereta atas alasan tertekan.

Ampun Tuhan, tujuan penulis memperkatakan beberapa fakta tidak enak berkaitan Allahyarham ini bukan semata-mata untuk mengungkit keburukan hidupnya. Jauh sekali bermaksud mempertikaikan pegangan agamanya.

Tidak syak lagi sebagai umat Islam kita diajar untuk menyebut kebaikan-kebaikan orang yang telah mati.  Kita juga dituntut mendoakan segala yang baik untuk rohnya. Justeru, penulis tidak bermaksud menyanggahi tuntutan itu.

Sepertimana disebut di awal tadi, keputusan mahkamah yang berpihak kepada Islam adalah suatu yang paling berharga. Lagi pun, mati dalam keadaan Islam adalah bertepatan dengan hasrat Allah Ta’ala (Baca Al-Baqarah 2:132 dan Ali Imran 3:102).

Namun, apa yang lebih penting dari sekadar meraikan ‘kemenangan’ kes tersebut ialah untuk kita yang masih hidup mengambil iktibar daripadanya. Sebagai saudara Islam kita wajar merenung diri dan menanyakan beberapa persoalan yang menyentap imej dan maruah agama dalam kes Mohd Azari ini.

Antaranya, apakah negara kita tidak ada pihak bertanggungjawab dalam membimbing dan memastikan perjalanan hidup saudara baru agar bertepatan dengan ajaran agama?

Mengapa dibiarkan seorang saudara baru seolah-olah terus hidup mengikut cara sendiri, sehinggakan soal sepenting penukaran status agama pada kad pengenalan pun tidak diambil berat?

Perkahwinannya dengan pasangan bukan beragama Islam juga suatu yang serius. Betul, ia tidak menjadikan seseorang Islam itu terkeluar dari agama. Bagaimana pun, ia bukanlah pilihan terbaik, terutama bagi seorang saudara baru yang mahu memantapkan akidah dan amalan agama barunya. Apakah tidak ada mana-mana pihak memahamkan Allahyarham tentang letak duduk perkara itu?

Pertikaian itu boleh kita panjangkan, termasuk perbuatannya meminum minuman keras. Boleh dipersoalkan juga mengapa beliau memilih tinggal serumah dengan rakan bukan Islam. Itu bukan jalan terbaik seorang saudara baru memperteguhkan kepercayaan dan amalan Islam, walau pun ia bukan larangan mutlak.

Ringkasnya, kes Mohd Azari ini mendedahkan betapa rapuh dan lemahnya program pemantapan akidah dan tarbiyah Islam di kalangan saudara baru. Secara jujur, penulis sendiri tidak pasti siapa yang paling wajar dipersalahkan atas kealpaan ini.

Namun sebagai iktibar, kita sayugia menjadikan kes tersebut sebagai satu ‘wake up call’ ke arah memperbetulkan kepincangan dan memperbaiki kelemahan yang amat merugikan umat ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Ogos 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment