Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
RAMAI menyangka Dauk Rosol Wahid sudah jatuh terduduk terkena
“libasan maut” Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib minggu lalu. Namun,
sepertimana kebiasaannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil yang terkenal
lantang itu tidak mudah mengaku kalah.
Dia tampil menyambung polemik antara kedua mereka dengan
hujah dan tanggapan tersendiri. Bagaimana pun, apa yang lebih menarik ialah
hujah dan lontaran dibuat Rosol itu. Walau pun secara zahirnya ia ditujukan
kepada PAS, hujah itu juga seolah-olah mempunyai maksud lebih dalam dan turut
ditujukan kepada pihak lain yang berseteru dengannya.
Kejadian berbalas kenyataan antara Rosol dan Ketua Dewan
Ulama PAS Pusat itu berpunca dari kenyataan pemimpin Umno itu yang ikut
memberikan komennya berkenaan perkembangan pertikaian isu arak di Selangor.
PAS Selangor pada 4 Ogos lalu menuntut kerajaan negeri
mengambil tindakan tegas menilai semula jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang disandang seorang Adun DAP. Ia
ekoran tindakan Exco berkenaan dalam beberapa kes yang dilihat campurtangan sehingga
menggagalkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu melakukan
operasi menghalang arak dijual kepada orang Islam, terutama di kawasan bermajoriti
penduduk Islam.
Isu itu menjadi hangat apabila ia membabitkan hubungan
silang parti di dalam Pakatan Rakyat (Pakatan). Bantahan PAS bukan sahaja
ditolak mentah DAP, malah parti itu mendesak pula pemimpin PAS Selangor dihadapkan
kepada jawatankuasa disiplin atas dakwaan mencemarkan hubungan sesama anggota
Pakatan.
Tuntutan PAS turut tidak diraikan Menteri Besar Selangor
dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau sebaliknya menganggap apa yang
dibangkitkan PAS itu bukan isu. Sebagai penyelesaiannya beliau mengemukakan
peraturan “self-regulation” terhadap
para peniaga dalam membuat penentuan sama ada wajar menjual arak kepada
mana-mana pihak atau tidak.
Perkembangan itulah barangkali yang mendorong bekas
Setiausaha Umno Terengganu itu menyifatkan PAS tidak lagi dominan dalam
Pakatan. Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar tempatan pada 9 Ogos lalu,
Rosol berkata, perkembangan itu jelas menunjukkan kata-kata pemimpin PAS tidak
dipedulikan dalam pakatan pemerintah negeri tersebut.
Oleh kerana sudah tidak dominan, Rosol lalu menyarankan
agar PAS mengkaji semula hubungan dan gabungannya bersama DAP dan PKR dalam
Pakatan. Katanya, hal itu wajar dilakukan PAS bagi mengelak parti itu terus
dipinggirkan pada masa akan datang.
Hujah tidak dominan dan terpinggir itu bagaimana pun
terbukti menjadi ‘senjata makan tuan’ buat Rosol. Dalam satu reaksi kepada
kenyataan itu, Harun menarik perhatian umum betapa sifat-sifat disebutkan Rosol
itu sebenarnya ada pada dirinya sendiri.
Dia sudah terbukti tidak lagi dianggap dominan dalam Umno
Terengganu apabila bukan setakat tidak dilantik semula sebagai setiausaha Umno
negeri dan Exco kerajaan negeri, malah turut kalah dalam perebutan jawatan
Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Justeru, sebagai ‘memulangkan paku buah keras’ Harun
mencadangkan agar Rosol keluar daripada Umno dan menyertai Pakatan.
“Bukan PAS, tapi Rosol yang sudah tidak dominan dalam
Umno (Terengganu). Saya nampak PAS makin kuat dan buktinya beberapa siri
kemenangan yang diperolehi pada pilihan raya kecil lalu”, ujar Harun.
Beliau malah menegaskan isu arak di Selangor itu
sebenarnya sengaja diperbesarkan media. Sedangkan masalah para pemimpin Umno
sesama mereka dan rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain jauh lebih
teruk berbanding apa yang dialami dalam Pakatan.
Dalam kenyataan balasnya disiarkan akhbar pada Rabu (12
Ogos), Rosol menyifatkan tawaran oleh Harun itu seolah-olah menggambarkan
Pakatan ketandusan pemimpin berkaliber. Beliau juga menganggap kenyataan Harun
itu seolah-olah melihatnya sebagai aset penting dan “laku” dalam pasaran politik
negara.
Kenyataan yang lebih bersifat “angkat bakul” itu
bagaimana pun tidak akan memadamkan hakikat pergolakan dalaman Umno sepertimana
disebutkan Harun. Betapa Rosol sendiri antara yang terpinggir dan tidak lagi
dominan ekoran pertelingkahan itu adalah suatu yang sudah dimaklumi umum.
Acapkali disebutkan bahawa pertentangan terbuka antara para
pemimpin Umno Terengganu adalah ekoran pelantikan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said
sebagai Menteri Besar, Mac 2008 lalu. Bantahan yang pada awalnya disertai
kesemua 23 Adun BN lain berpanjangan hingga kepada isu usul undi tidak percaya,
April lalu, diikuti isu sistem pesanan ringkas (sms) ugutan dan seumpamanya.
Orang utama sebagai jurucakap kumpulan yang menentang Ahmad
sepanjang pergolakan dalaman Umno Terengganu ialah Rosol sendiri. Tidak cukup
menegaskan tidak akan dapat menerima kepimpinan Ahmad, Rosol kemudiannya menjadikan
Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula sebagai sasaran.
Naib Presiden Umno itu dilantik sebagai Pengerusi Umno
Terengganu menggantikan Ahmad. Baru-baru ini Rosol memaanfaatkan laman blognya
untuk menyifatkan Menteri Dalam Negeri itu bersikap berat sebelah.
Mungkin beliau antara pemimpin Umno yang melihat
percaturan pelantikan anggota penting Umno negeri oleh Hishammuddin sebagai menguntungkan
kumpulan Ahmad dan meminggirkan puak penentangnya.
Sebab itu ada logiknya dalam isu arak di Selangor tadi,
apabila Rosol menyebut soal PAS tidak dominan dan wajar mengkaji kedudukan dalam
Pakatan, ada yang menilai kalimah itu bukan setakat ditujukan kepada PAS. Mungkinkah
Rosol turut bermaksud menyindir Ahmad yang diyakininya masih tidak dominan dan
terpinggir di kalangan majoriti Adun BN Terengganu?
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 16-22 Ogos 2009 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment