Oleh: MOHD NASIR AWANG
SEDIKIT pun saya tidak berhasrat merasionalkan kenyataan
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu lalu yang
mencadangkan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada kemasukan
pelajar bukan bumiputera dan pelajar asing.
Bagi saya, sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang baru
berusia lima bulan, masih berlambak isu dan permasalahan lain yang patut
diutamakan Abdul Khalid. Justeru, apa perlunya beliau mengusik sesuatu yang sensitif
dan di luar bidang kuasanya itu?
Kekecewaan saya terhadap cadangan itu bagaimana pun
tertimbus dengan perasaan meluat melihatkan reaksi melampau beberapa kalangan
terhadapnya, terutama oleh warga universiti berkenaan sendiri.
Abdul Khalid dalam kenyataannya pada 10 Ogos lalu
mencadangkan agar kuota kemasukan ke UiTM dibuka sebanyak 10 peratus kepada
pelajar bukan bumiputera serta pelajar asing. Hal itu, menurutnya, akan
membantu melonjakkan kualiti pendidikan menerusi persaingan sihat di kalangan
pelajar universiti tersebut. Sebelum ini diketahui kemasukan ke UiTM adalah 100
peratus untuk pelajar bumiputera.
Kenyataan itu mengundang bantahan pelbagai pihak,
terutama pemimpin politik, tokoh akademik, persatuan pelajar dan siswa UiTM
sendiri. Ada yang menyifatkan cadangan Abdul Khalid itu tidak masuk akal dan
tidak wajar diberikan pertimbangan.
Ada yang melahirkan kebimbangan sekiranya cadangan itu
dilaksanakan akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan masyarakat Melayu.
Ia juga dilihat bertentangan dengan matlamat penubuhan UiTM itu sendiri yang
mengutamakan kecemerlangan Melayu.
Tidak kurang juga ada yang menilainya sebagai suatu idea
murahan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi menagih sokongan bukan
Melayu.
Setakat itu saya masih boleh merasionalkan
bantahan-bantahan tersebut. Bagaimana pun saya, yang pada mulanya menyangka isu
itu hanya memadai dengan bantahan beberapa pak menteri dan tokoh akademik itu,
agak terkejut apabial ia diikuti beberapa demonstrasi.
Reaksi lebih-lebih itu dimulakan siswa UiTM di kampus
Shah Alam. Mereka berarak lebih 3 km ke pejabat Abdul Khalid di Bangunan Sultan
Abdul Aziz Shah untuk menyerahkan memo bantahan.
Akhbar bukan sahaja melaporkan lebih 5,000 yang hadir,
bahkan gambar mereka turut disiarkan di muka hadapan. Demonstrasi serupa
diikuti ribuan siswa UiTM beberapa kampus lain di seluruh negara.
Inilah yang saya maksudkan sebagai reaksi melampau. Apabila
sudah berdekad tidak ada sebarang demonstrasi dan perarakan jalanan sebesar dan
semeluas itu dianjurkan siswa, kita jadi hairan dan tertanya-tanya apa
sebenarnya yang mendorong mereka keluar ke jalan-jalan raya kali ini. Sensitif sangatkah
mereka dengan nasib bangsa dan isu menyentuh pendidikan?
Memburukkan kecurigaan itu ialah tindakan stesen tv
memberikan liputan sangat positif terhadap mereka. Siap ditemubual pula pihak-pihak
terlibat menjayakan demonstrasi itu. Sedangkan selama ini media sangat pantang
menyiarkan gambar orang berdemonstrasi.
Isu utama di sini ialah kononnya cadangan Abdul Khalid
itu mengkhianati dan mencabuli hak dan kepentingan bangsa Melayu. Bagaimana pun
saya kira ada beberapa persoalan dan fakta yang wajar diteliti semula secara
rasional ekoran reaksi melampau tadi.
Pertama, sejak bila demonstrasi jalanan direstui
kerajaan? Buktinya, tiada pihak dalam kerajaan mengutuk tindakan siswa UiTM
yang turun ke jalan raya kali ini. Mengapa tidak dikatakan kepada mereka bahawa
demonstrasi jalanan bukan penyelesaian? Sebaliknya, kaedah rundingan lebih sesuai.
Bukankah itu yang sering dihamburkan para pemimpin kita tatkala rakyat
berhimpun dan membantah?
Kedua, mengapa hanya dalam membantah kenyataan pemimpin
pembangkang baru siswa bangkit beramai-ramai? Mengapa dalam berhadapan beberapa
isu pendidikan yang mencabuli hak bangsa Melayu selama ini siswa tidak bangkit?
Apakah mereka ini sebenarnya diarah atau dikerah untuk
turun ke jalan-jalan raya? Jika begitu keadaannya, apakah salah jika dikatakan
dalam isu ini siswa ini telah diperalatkan pihak-pihak tertentu?
Ketiga, sebagai golongan terpelajar, siswa sepatutnya
lebih mengambil kira fakta sebelum mengambil apa-apa tindakan mengikut dorongan
emosi atau sentimen politik.
Fakta pertama, kenyataan Abdul Khalid hanyalah cadangan. Lagi
pun, siapa Abdul Khalid dalam struktur pentadbiran UiTM? Beliau bukan pembuat
dasar dan keputusan yang perlu diterimapakai institusi tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri
dalam komen awalnya telah menyebut, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa
Abdul Khalid untuk buat penentuan. Jadi mengapa perlu kecoh dan beremosi sampai
turun ke jalan raya? Cerdiklah sikit!
Fakta kedua, cadangan ini bukan pertama seumpamanya jika
dikatakan ia mencabul hak Melayu dan mengkhianati bangsa. Kuota 10 peratus
kepada pelajar bukan Melayu telah dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) sebelum ini.
Begitu juga dalam kes biasiswa untuk anak-anak Melayu
cemerlang. Dulu sebahagian besar mereka mendapat biasiswa, kini sangat
terbatas. Bahkan sebahagian besar pembiayaan ditukar kepada pinjaman
pendidikan.
Kemudian ada pula cadangan oleh pak menteri mengagihkan
kuota biasiswa yang terbatas itu kepada pelajar bukan bumiputera. Jika diikutkan,
itu juga suatu pencabulan terhadap hak dan keistimewaan Melayu. Mengapa siswa
dan pihak-pihak pejuang Melayu tidak turun ke jalan raya atau berarak ke
pejabat Kementerian Pelajaran kemukakan memo bantahan?
Ada puluhan lagi isu pencabulan keistimewaan Melayu yang
berlaku di bidang pendidikan. Antaranya, penghapusan penggunaan tulisan jawi
dan penukaran bahasa pengantar di universiti-universiti daripada bahasa Melayu
kepada Inggeris.
Begitu juga dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran
Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris PPSMI). Mengapa siswa kita tidak
membantah dalam isu-isu ini?
Sensitif dengan hak Melayu, konon... Cheh!
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 24-30 Ogos 2008 di kolum ‘perspektif’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment