Friday, August 1, 2008

Pejabat di rumah atasi bebanan kos pengangkutan


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG jurutera perunding berpejabat di tengah-tengah kotaraya Bangkok, Thailand, telah lama tercari-cari kaedah paling sesuai menyelesaikan masalah dihadapinya saban hari.  Sepertimana lain-lain warga kotaraya yang sangat padat dan sibuk itu, beliau turut terperangkap dengan masalah kesesakan jalan raya yang menjadi fenomena harian di situ.

Meski pun jarak antara tempat tinggal dan pejabatnya hanya kira-kira sembilan kilometer, kesesakan jalan raya di kotaraya itu menyebabkan Abdun Aziz Kadir terpaksa menghabiskan tidak kurang dua jam sehari untuk perjalanan pergi dan balik ke pejabatnya. Dapat dibayangkan berapa lama pula masa dihabiskan warga lain yang tinggal lebih jauh untuk sampai ke pusat bandaraya itu.

Kini, dengan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa, harga runcit bahan bakar itu di pasaran tempatan seluruh dunia turut dinaikkan kerajaan masing-masing. Ia sekaligus menambahkan satu lagi masalah buat Abdun Aziz, iaitu penambahan kos untuk perjalanannya.

Beliau mengakui apa yang dialaminya tidak seberat bebanan dihadapi majoriti warga kota Bangkok. Pendapatan bulanannya yang agak tinggi masih mampu menampung peningkatan kos tersebut.

Bagaimana pun secara jujur beliau berkongsi kesukaran hidup dengan warga lain yang berpendapatan lebih rendah. Baginya, peningkatan mendadak harga bahan bakar seperti diumumkan kerajaannya bulan lalu menyebabkan rakyat negaranya yang sudah sekian lama hidup dalam kedaifan kini terhimpit.

Akibatnya, sudah ada antara jiran-jirannya yang berpendapatan rendah memilih untuk berhenti kerja. Bagi mereka pendapatan diterima setelah berpenat-lelah berulang alik ke tengah kota saban hari tidak lagi berbaloi. Ia berbaki hanya ratusan baht (mata wang Thai) setelah ditolak segala keperluan tetap bulanan, terutama setelah berlaku kenaikan kos pengangkutan dan lain-lain barangan keperluan harian.

Sebahagian mereka kini terpaksa mencari kerja lain berdekatan tempat tinggal memandangkan kos perjalanan masih tinggi sekali pun mereka beralih menggunakan pengangkutan awam. Caj pengangkutan awam juga telah dinaikkan selaras kenaikan harga minyak.

Sebagai orang penting yang turut bertanggungjawab membantu perjalanan syarikatnya, Abdun Aziz turut dilibatkan majikannya untuk merangka pelan terbaik menangani masalah ini.  Majikannya tidak bersedia kehilangan mana-mana pekerjanya. Apatah lagi sebahagian besar mereka, sama ada di sektor pengurusan atau sokongan telah berkhidmat sejak sekian lama.  Mereka juga telah membuktikan komitmen dan dedikasi masing-masing dalam membantu kemajuan dan kejayaan syarikat.

Akhirnya mereka menemui satu kaedah penyelesaian. Majikan menawarkan pakej istimewa kepada kakitangannya dalam bentuk jadual waktu anjal. Jumlah hari untuk kakitangan datang ke pejabat dalam seminggu dikurangkan mengikut kesesuaian tugas.

Pada hari-hari mereka tidak ke pejabat, mereka dipastikan menyempurnakan tugasan di rumah masing-masing. Berbekalkan komputer peribadi dan talian internet, mereka bekerja secara online dan memasuki sistem pejabat. Rangkaian itu juga memudahkan majikan memantau dan memastikan tugasan diberikan kepada mereka dilaksanakan dengan baik.

Pakej ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, bahkan menyelamatkan kos yang sepatutnya dihabiskan untuk pengangkutan ke pejabat. Ia juga secara umumnya membantu mengurangkan jumlah pengguna jalan raya, sekaligus meringankan kesesakan di kotaraya itu saban hari.

Pakej istimewa ini bagaimana pun dilaksanakan penuh teliti. Ia mengambilkira beberapa prasyarat, terutama  di dalam pemilihan kakitangan yang hendak ditawarkan kelonggaran ini.

Pertama, oleh sebab pakej ini bertujuan mengatasi masalah kewangan kakitangan, ia diutamakan kepada kumpulan kakitangan berpendapatan rendah sahaja. Ada pun mereka yang dalam kumpulan berpendapatan tinggi, termasuk Abdun Aziz sendiri, tidak diberikan keistimewaan ini.

Kedua, oleh sebab kerja di rumah melibatkan pengawasan paling minima, hanya kakitangan yang telah membuktikan komitmen dan dedikasi mereka terhadap tugasan akan diberikan kelonggaran ini. Mereka yang memiliki rekod prestasi kerja kurang memberangsangkan tidak dipertimbangkan untuk menikmati pakej ini.

Ketiga, pakej ini melibatkan pakej kerja dan tugasan tertentu sahaja. Tidak semua kategori perjawatan sesuai dilaksanakan sistem kerja sebegini. Kakitangan yang memikul tugas yang hanya dapat dilaksanakan di pejabat adalah tidak sesuai dengan pakej ini. Untuk mereka ini, satu bentuk insentif lain perlu difikirkan.

Meski pun berlainan negara, apa yang dialami warga kotaraya Bangkok itu banyak persamaan dengan masalah yang dihadapi rakyat negara kita. Paling tidak kita berkongsi dua masalah yang mereka hadapi itu, iaitu kesesakan jalan raya dan peningkatan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.

Mungkin belum ada kakitangan awam atau pun swasta di ibu kota di negara kita memikirkan hasrat berhenti kerja disebabkan masalah itu. Bagaimana pun suatu yang diakui semua pihak ialah kos sara hidup rakyat kini semakin meningkat.

Kita mungkin masih bernasib baik kerana memiliki sistem pengangkutan awam yang efisyen.  Bagaimana pun tiada pihak yang dapat menjamin cajnya akan kekal tidak dinaikkan.

Ada pula yang merasa masih mampu membuat pengubahsuaian dan bertukar kepada kenderaan berkapasiti lebih kecil. Bagaimana pula dengan mereka yang selama ini memang sudah pun menggunakan motosikal, tetapi tetap dibebani peningkatan kos hidup? Apakah kini mereka terpaksa berbasikal atau berjalan kaki pula?

Mahu tidak mahu, pihak majikan di negara kita juga wajar memikirkan kaedah terbaik menjaga kebajikan kakitangan dan membantu mereka mengatasi kekangan kewangan. Barangkali apa yang dilaksanakan majikan Abdun Aziz di Bangkok tadi boleh dijadikan panduan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 206, Ogos 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment