Sunday, August 17, 2008

Cerita politik wang dan wang politik di Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SEORANG rakan penulis yang juga seorang ustaz di Kuala Terengganu pernah menyebut, “wang bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Melihatkan perkembangan dunia politik dan ekonomi negara mutakhir ini, tidak sukar untuk kita akui bahawa kata-kata beliau itu ada kebenarannya.

Di sana-sini kini orang bercakap soal wang. Kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan mendadak harga minyak menyebabkan rakyat mengeluh kesempitan wang. Segenap aspek hidup memerlukan peruntukan tambahan.

Justeru, ada yang memilih untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan tetap semata-mata untuk menambahkan wang dalam kantung keluarga. Ada pula yang mengambil jalan singkat mendapatkan wang secara mudah dengan mencuri, merompak, menyamun dan mencopet.

Kerajaan pula terpaksa melipatgandakan saluran dan cara menabur wang kepada rakyat. Ada wang dihulurkan menerusi rebat pembayaran cukai jalan kenderaan persendirian. Ada wang yang disalurkan sebagai insentif mengikut kadar jualan hasil tanaman atau penternakan.

Para pengusaha teksi dan kenderaan awam pula mendapat wang mereka dengan cara tersendiri. Begitu juga para nelayan yang mendapat habuan RM200 setiap seorang.

Kesemua perkara disebutkan itu membabitkan wang. Ia secara jelas dihulurkan oleh kerajaan semata-mata bagi meredakan kemarahan rakyat akibat tindakan “bijak” kerajaan menaikkan harga minyak di pasaran.

Sebab itu ada pihak menilai pemberian pelbagai insentif oleh kerajaan itu sebagai “wang politik”. Di sebalik kata-kata kerajaan untuk meringankan bebanan rkayat itu sebenarnya tersemat hasrat meredakan kekecewaan mereka dengan kegagalan kerajaan menjamin keselesaan hidup rakyat. Ertinya, pemberian wang itu adalah bermotifkan politik.

Selain apa yang dihulurkan kerajaan Pusat itu, di Terengganu sudah ada satu lagi bentuk “wang politik” iaitu wang ehsan. Kebetulan pula kini borang permohonan bagi mendapatkan wang ehsan itu sedang giat diagihkan.

Sejak lebih lapan tahun lalu, wang ehsan memang terbukti menjadi “wang politik” sangat popular di Terengganu. Ia menjadi senjata keramat Barisan Nasional (BN) menambat kesetiaan rakyat negeri itu terhadap parti tersbeut.

Sebab itu meski pun para pemimpin BN sentiasa menjanjikan pengagihan wang ehsan secara adil, kesan pengagihannya amat tidak adil, terutama kepada parti pembangkang. Dikatakan wang itu untuk semua pihak tanpa mengira fahaman politik. Namun, praktiknya tidak pernah serupa dengan apa yang diucapkan. Lebih dahsyat lagi, sesiapa sahaja yang termakan wang ehsan bagaikan disintuk limau dan tidak lagi berupaya membuat pertimbangan rasional dalam dua pilihan raya lalu.

Dalam keadaan rakyat amat dahagakan wang, bahkan sebahagian mereka telah pun dimabukkan dengan berbagai saluran taburan wang, datang pula pemilihan Umno di peringkat cawangan. Ia akan disusuli pemilihan peringkat bahagian tidak lama lagi.

Maka rata-rata orang bercakap soal wang lagi. Ia bukan lagi “wang politik” tetapi politik wang pula. Sehinggakan sudah tidak ada pihak yang dapat menafikan bahawa proses perebutan jawatan dalam Umno kini sama pengertiannya dengan amalan politik wang.

“Umno berada dalam zon bahaya”, kata Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merujuk kepada amalan politik wang yang semakin parah dalam parti itu.

Seminggu sebelumnya, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah mendedahkan betapa politik wang dalam partinya sudah sampai ke tahap yang mengancam survival parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pula secara terbuka menjemput Badan Pencegah Rasuah (BPR) terlibat secara serius membantu parti itu menangani gejala politik wang yang semakin berakar umbi kini.

Sejak lebih seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno Terengganu turut membuat pengakuan terbuka mengenai keparahan amalan politik wang di kalangan ahli akar umbi mereka. Sudah ada dakwaan betapa amalan menggunakan sogokan wang bagi memenangi jawatan penting di peringkat cawangan Umno kini semakin merebak.

Dipercayai akibat terlalu kecewa dengan keparahan amalan politik wang dalam Umno kini mendorong Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mencabar ahli parti itu agar meninggalkan dunia politik dan menceburi perniagaan.

Hujahnya, jika seseorang ahli Umno itu berhasrat mengumpul kekayaan sehingga sanggup mengamalkan politik wang demi mendapatkan jawatan parti, adalah lebih baik orang itu melabur dalam perniagaan.

“Saya nampak kalau main politik wang, sanggup bayar kepada perwakilan dan ini menjadi politik perniagaan... kalau dah dapat tempat (menang dan ada jawatan politik), lain kali dia akan carilah peluang bagaimana mendapatkan kekayaan, wang untuk dapat balik modal yang dia belanjakan kepada pihak tertentu”, katanya, sebagaimana dipetik akhbar, 11 Ogos lalu.

Anehnya, meski pun amalan poltiik wang disedari dan dikutuk segenap lapisan pemimpin Umno, keadaan tidak bertambah pulih. Pihak-pihak terlibat tidak mengendahkan teguran pemimpin mereka. Ahli-ahli Umno bagaikan seiya sekata merestui amalan tersebut, kerana apa yang pasti ia menguntungkan mereka.

Umno tidak wajar menyalahkan ahlinya jika gagal membendung gejala merosakkan ini. Puncanya ialah kesilapan para pemimpun Umno sendiri yang sangat gemar menjadikan wang sebagai umpan politik. Rakyat terlalu dibiasakan dengan janji dan habuan kebendaan sebagai dorongan dalam membuat pilihan politik.

Apabila mereka sudah kalih dengan wang politik, mereka menilai amalan politik wang semasa pemilihan parti sebagai peluang dan pesta untuk mereka mendapatkan wang.

Ternyata, sama ada wang politik atau pun politik wang, segala-galanya memerlukan wang. Ada benarnya kata-kata rakan penulis tadi.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 17-23 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment