Sunday, August 17, 2008

Kebebasan, rasional ada batasnya


Oleh: MOHD NASIR AWANG

MESKI PUN telah seminggu berlalu, forum kontroversi anjuran Majlis Peguam di ibu negara Sabtu (9 Ogos) lalu masih diperkatakan orang. Forum bertajuk “Memeluk Islam: Menjejak Semula Subashini & Shamala” itu dikatakan dirancang untuk disarati dengan perbincangan beberapa kes membabitkan masyarakat bukan Islam yang mendakwa teraniaya dan terbiar apabila pasangan mereka memeluk Islam.

Turut dijadikan fokus pertikaian ialah mengenai Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menetapkan bahawa mahkamah sivil tidak boleh membuat sebarang keputusan membabitkan kes-kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Di satu pihak, wujud ketegangan memuncak apabila mereka tidak dapat menemui rasional mengapa Majlis Peguam begitu berdegil meneruskan forum yang sedari awal mendapat bantahan umat Islam itu. Para menteri, pemimpin parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersepakat menyifatkan penganjuran forum itu adalah menghina Islam, mencabar kesabaran umatnya serta mengganggu keharmonian antara kaum di negara ini.

Pihak penganjur pula bertegas bahawa forum itu dianjurkan atas niat baik memperbetulkan apa yang mereka rasa sebagai suatu penganiayaan terhadap segelintir bukan Islam. Mereka bersandarkan kepada hujah bahawa perbincangan itu secara profesional dan akademik. Malah mereka mendakwa tindakan itu menjadi hak dan kebebasan mereka yang dijamin Perlembagaan negara.

Pandangan mereka seakan disepakati beberapa pihak lain, termasuk aktivis hak asasi, penganalisis isu dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bukan Islam. Bagi mereka ini tidak ada salahnya Majlis Peguam menganjurkan forum sedemikian, sebaliknya yang salah ialah tindakan pihak pembantah yang berdemonstrasi, membuat kecoh dan menyekat perbincangan “sihat” itu.

Suatu yang menarik perhatian saya ialah hujah mereka bagi merasionalkan penganjuran forum itu. Kata mereka, rakyat negara ini sudah matang dan bijak. Mereka tidak memerlukan orang lain membuat keputusan untuk mereka tentang mana yang mereka mahu ikut dan mana yang tidak. Justeru, tidak ada salahnya rakyat didedahkan dengan apa jua isu termasuk yang kontroversi agar mereka bebas memilih.

Saya tidak bercadang memperincikan kembali satu persatu apa yang menjadi bahan pertikaian. Cuma saya melihat bahawa suasana forum itu sudah tidak kondusif, bahkan cenderung membentuk persepsi yang destruktif terhadap Islam. Tidak ada ruang selesa bagi pihak Islam mengemukakan hujah dan pandangan balas bagi membela agama itu. Ia seakan menyediakan platform berat sebelah terhadap imej Islam, meski pun perkara itu dinafikan pihak penganjur.

Mereka berhujah atas hak dan kebebasan. Di situlah saya melihat punca keseluruhan isu ini. Bahawa sebahagian masyarakat kita gagal memahami konsep kebebasan itu sendiri. Bahawa setiap kebebasan itu ada batas dan sempadannya, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan agama Islam.

Semua pihak boleh cuba merasionalkan apa jua yang mereka buat atau apa keputusan dan sikap yang mereka ambil. Contohnya pandangan beberapa pihak tadi yang mengatakan rakyat sudah matang dan bijak. Justeru, mereka wajar diberi kebebasan mendengar apa juga percanggahan pandangan dan dibebaskan memilih kemudiannya.

Namun perlu diingat, Islam tidak begitu. Pertama, seorang Islam mesti diberitahu mana baik dan mana buruk. Kedua, tidak semua perkara di dalam Islam dipulangkan kepada kebijaksanaan manusia merasionalkan sendiri mana yang mahu mereka ikut atau terima. Sebilangan hukum dan ketetapan Islam itu tidak dapat dirasionalkan dengan akal.

Sebab itu Islam menetapkan mana yang mesti diambil dan mana yang patut dijauhi. Bahkan kalimah Islam itu sendiri bererti penyerahan diri yang membutuhi ketaatan mutlak kepada suruhan dan larangan Allah, tanpa pertikaian.

Di sinilah saya melihat wujud percanggahan fahaman tentang konsep kebebasan dan paksaan. Di sisi Islam, ia tidak sama dengan apa yang difahami agama atau anutan lain.

Betul, orang selalu sebut, ‘tidak ada paksaan dalam beragama’. Itu adalah maksud sebuah hadis Nabi Muhammad saw yang sering dipetik, terutama oleh pejuang hak asasi dan kebebasan individu. Ada juga orang Islam yang menyalahgunakan hadis ini untuk menjustifikasi tindakan mereka tidak mengamalkan ajaran dan tuntutan agama.

Sebetulnya, hadis ini adalah bagi memilih agama. Seseorang yang tidak beragama bebas memilih mana agama dikehendakinya. Berlainan halnya apabila dia sudah menerima Islam. Beliau tidak ada kebebasan sebagaimana sebelumnya. Dalam ertikata lain, seorang Islam tidak bebas berkata, “ikut suka aku nak sembahyang atau tidak”, misalnya.

Seorang Islam tidak sebebas itu untuk memilih. Beliau mesti menyempurnakan tanggungjawabnya mengenai apa ertinya dia memeluk Islam. Dia mesti bersolat, berpuasa dan menyempurnakan tuntutan lain.

Logiknya begini. Seseorang itu ada kebebasan memilih apa jua pekerjaan. Namun dia tidak lagi bebas berpakaian menurut sesuka hatinya setelah diterima bekerja. Contohnya, seorang anggota polis tidak boleh berpakaian celoreng hijau seperti tentera darat. Seorang guru pula tidak boleh berterendak seperti nelayan apabila ke sekolah. Mudah, bukan?

Pernahkah kita dengar seorang ibu memarahi pihak sekolah yang memaksa anaknya berpakaian seragam dengan menggunakan hujah bahawa menjadi hak dan kebebasan anaknya untuk memilih apa juga pakaian disukainya?

Jadi, kalau dalam undang-undang dan peraturan buatan manusia pun kebebasan individu itu ada had dan batasannya, maka mengapa cuba dipertikaikan sesuatu yang telah ditetapkan Tuhan? Apatah lagi pertikaian itu datangnya daripada kalangan yang berlainan agama.

Teringat saya kepada satu ungkapan dalam bahasa Inggeris yang menyebut, “your freedom ends where my nose begins”. Maksudnya lebih kurang ialah meski pun setiap orang ada kebebasan, janganlah pula sampai ke dalam lubang hidung aku pun engkau nak masuk!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 17-23 Ogos 2008 di kolum ‘perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment