Sunday, August 24, 2008

Menunggu Tun Mahathir berhijrah tinggalkan Malaysia


“Cakap seorang negarawan seperti beliau tentu tidak wajar disamakan dengan ikrar orang bawahan”

Oleh: Anuwa Jamalullail

TIDAK ramai memberikan reaksi terhadap ikrar sinis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengenai tekadnya untuk meninggalkan negara ini sekiranya musuh peribadinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Barangkali tidak ramai juga yang ambil pusing lagi apa-apa yang diperkatakan orang tua itu. Apatah lagi kebelakangan ini banyak pandangan bekas Presiden Umno itu menjurus kepada meletakkan orang lain di pihak yang salah. Seolah-olah hanya dia di pihak yang benar, kendati pun apa dialami negara kini antaranya disebabkan dasar dan peraturan yang penah diperkenalkannya dahulu juga.

Ketika menjawab soalan daripada seorang peserta pada forum bertajuk ‘Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu’ di Kuala Terengganu, 9 Ogos lalu, Tun Mahathir berkata beliau rela berhijrah ke luar negara jika bekas timbalannya itu menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini, sepertimana yang dilaungkan oleh Anwar.

“Jika dia (Anwar) jadi Perdana Menteri, saya nak keluar dari negara ini. Bagilah semua pada dia”, katanya sinis.

Pun begitu, Tun Mahathir yakin Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak akan berpeluang menjadi Perdana Menteri seperti yang dicita-citakannya. Beliau tidak pula memperincikan asas kepada keyakinannya itu.

Keyakinan itu dipercayai mendorong Tun Mahathir berani membuat ikrar atau janji sebesar itu. Logiknya, bukan suatu yang mudah bagi seorang negarawan sehebat beliau berhijrah meninggalkan negara yang pernah dipimpinnya semata-mata kerana meluat melihat musuhnya memimpin negara. Sebab itu ikrarnya tidak diambil serius oleh mana-mana pihak.

Atau mungkin, janji dan ikrar orang politik seumpama itu sudah tidak meninggalkan bekas dalam benak fikir rakyat. Sudah ada persepsi yang barangkali tersemat bahawa cakap-cakap besar sebegitu adalah lumrah di dunia politik. Setakat ini telah banyak terbukti ia akhirnya tidak ditepati.

Sebagai contoh, dalam kehangatan kempen pilihan raya umum lalu di Terengganu, terdapat di kalangan penyokong kuat Barisan Nasional (BN) yang menghadapi masalah dengan calon dipilih parti. Mereka lalu mengisytiharkan berpaling tadah. Mereka bukan sahaja memboikot sebarang bentuk kerja pilihan raya untuk memenangkan calon BN, bahkan berikrar tidak akan mengundi parti itu.

Kumpulan ini sanggup berhabis duit mengumpul para penyokong BN yang sealiran dengan mereka bagi membuktikan kesungguhan menentang calon yang mereka tidak sukai itu. Mereka malah membina hubungan baik dengan parti pembangkang. Setakat itu, segalanya belum ada apa-apa yang tidak kena.

Bagaimana pun, didorong rasa terlalu meluat dan benci terhadap calon dipilih BN itu, ada di antara mereka terlajak dalam katanya. Menjadi buah mulut masyarakat sekitar kawasan terbabit bahawa si anu telah berikrar sekiranya calon BN dimaksudkan menang, dia tidak akan tinggal lagi di dalam kawasan itu. Beliau bertekad untuk berhijrah ke luar, termasuk memindahkan segala perniagaan dan anggota keluarganya.

Tahu tak apa yang berlaku? Calon BN yang memang diramalkan akan kalah itu akhirnya menang dengan majoriti agak besar. Apakah hamba Allah yang beriya-iya nak angkat punggung dari kawasan itu tadi benar-benar berpindah? Setakat ini rumahnya belum nampak dikosongkan dan beliau juga masih kelihatan mundar-mandir di sekitar kawasan itu.

Ikrar serupa pernah kedengaran dalam Pilihan Raya Umum 2004 lalu, juga di Terengganu. Seorang tauke yang mempunyai pekerja agak ramai dikatakan bertekad meninggalkan segala perniagaannya sekiranya calon parti yang didokonginya kalah. Beliau seorang penyumbang yang sangat besar kepada kerja-kerja partinya.

Cakap-cakap dalam masyarakat sudah melata bahawa Haji Fulan akan menjual bot-bot lautnya dan awak-awaknya yang berjumlah puluhan orang akan kehilangan kerja. Haji Fulan bertekad akan pergi hidup di pondok dan mendalami agama sekiranya calon PAS kalah.

Astaghfirullah! Ikrar itu juga tidak menjadi kenyataan apabila calon PAS itu turut gagal mempertahankan kerusi dimenanginya pada 1999 lalu. Tidak sampai ke pengetahuan kita ada bot laut milik Tuan Haji itu yang dijualnya, walau pun sebuah.

Sejurus selepas pilihan raya lalu juga ikrar serupa kedengaran lagi. Kali ini di kalangan para pengikut setia bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Semasa kemelut pelantikan ketua kerajaan Terengganu memuncak Mac lalu, kalangan ini berarak dan berdemonstrasi menuntut agar Idris dilantik semula ke jawatan tersebut.

Keterlanjuran mereka tidak terhenti setakat itu. Heboh diperkatakan, terutama di pangkalan kekuatan mereka di Besut, bahawa sesiapa sahaja yang berani “merampas” kediaman rasmi menteri besar daripada Idris bererti menempah bencana. Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengepung rumah mana-mana pemimpin yang disebut bakal menjadi menteri besar.

Bahkan, mereka akan mengerahkan seramai mungkin penyokong untuk berarak, meski pun hingga ke Kemaman. Ketika itu sudah ada desas-desus bahawa menteri besar sekarang, Datuk Ahmad Said akan dipilih menggantikan Idris. Akhirnya, apabila Ahmad benar-benar dilantik menggantikan Idris, berapa ramai antara mereka yang bergegas ke Kemaman untuk mengepung rumah beliau?

Ikrar dan tekad itu tidak dibuktikan. Mungkin ada yang berpandangan hal itu hanya berlaku di kalangan pengikut bawahan. Barangkali jika ikrar itu diucapkan kalangan pemimpin, kesannya tidaklah sekosong itu.

Bagaimana pun, jika diambil kira isu kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu itu, ikrar setia terhadap Idris itu bukan sekadar diucap para pengikut bawahan. Ia pada mulanya turut diperkuatkan kesemua 22 Adun BN lain (kecuali Ahmad dan Idris). Mereka berikrar menolak sesiapa sahaja selain Idris sebagai pemimpin negeri mereka.

Bahkan ada antara mereka mengatakan kesediaan meletakkan jawatan masing-masing sebagai Adun sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi. Berapa ramai antara mereka yang benar-benar meletak jawatan selepas itu?

Mengambil kira kenyataan itu barangkali menyebabkan orang sudah tidak memandang serius sesuatu ikrar dibuat orang politik. Namun, dalam kes ikrar oleh Tun Mahathir ini ada munasabahnya juga jika ia dipandang serius. Cakap seorang negarawan seperti beliau tentu tidak wajar disamakan dengan ikrar orang bawahan.

Apatah lagi bekas PM ini telah membuktikan bahawa beliau seorang yang berpegang pada kata dan janji. Beliau sanggup mengisytiharkan diri keluar Umno apabila dicabar membuktikan kesungguhannya tidak sedia bernaung di bawah penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, adalah tidak mustahil andaikata Anwar benar-benar berjaya menghuni Putrajaya pertengahan bulan depan, Tun Mahathir akan mengotakan ikrarnya itu. Tentu ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat beliau berangkat meninggalkan Malaysia.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 24-30 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment