Monday, September 1, 2008

Rendahnya maruah dan mentaliti wanita kita


Oleh: Mohd. Nasir Awang

JABATAN Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkemungkinan besar akan mencadangkan kepada kerajaan agar membenarkan Mahkamah Syariah beroperasi pada hujung minggu.  Tindakan itu dirasakan cara terbaik untuk memastikan kes-kes khalwat di seluruh negara dapat dibicarakan walau pun pada hari cuti mingguan itu, bagi memastikan mereka yang tertangkap tidak terlepas.

Ketika mengumumkan hasrat itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Ibrahim Lembut berkata, pihaknya memandang serius pendekatan itu setelah mengesan wujudnya kecenderungan baru yang membimbangkan di kalangan remaja masa kini.

Mereka didapati semakin gemar berkhalwat dengan pendatang asing di hujung minggu.  Menurutnya, kes-kes sebegitu semakin membimbangkan kebelakangan ini terutama di sekitar ibu negara dan Lembah Kelang.

“Orang pendatang dibebaskan keluar (bercuti) pada Sabtu dan Ahad, merayau di Kuala Lumpur, bawa lari perempuan Islam. Dia mengorat dan sebagainya. Di situlah yang terjadinya khalwat.  Perkara ini kita tidak boleh bawa (bicara) sebab mahkamah kita tutup hari Sabtu dan Ahad. Beri jaminan (ikat jamin), dia (pendatang asing) lesap”, katanya.

Ibrahim berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bersama Masyarakat Peringkat Negeri Terengganu 2008 yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 4 Ogos lalu.

Secara umum dapat kita andaikan betapa kegagalan menghadapkan warga asing yang tertangkap itu ke mahkamah meninggalkan kesan sangat negatif terhadap proses penguatkuasaan undang-undang negara. Paling nyata keadaan itu menyebabkan rakan-rakan mereka semakin berani melakukan kesalahan sama.

Barangkali juga sudah wujud tanggapan di kalangan mereka bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang perbicaraan atau dijatuhkan hukuman, terutama disebabkan kedudukan mereka yang sukar dikesan pihak berkuasa.

Menurut Ibrahim lagi, kes-kes khalwat yang berlaku antara wanita Melayu/Islam tempatan dengan lelaki warga asing beragama Islam kini semakin turut menampakkan kecenderungan baru yang menakutkan. Mereka didapati semakin berani melakukan perbuatan terkutuk itu secara berkumpulan sehingga menakutkan pegawai agama untuk bertindak.

Lebih memalukan, kata Ibrahim lagi, pasangan yang melakukan persetubuhan haram itu turut meninggalkan ‘benih’.

“Kalau dulu berkhalwat tidak tinggal ‘benih’, sekarang ini banyak tempat tinggal ‘benih’.  Sehinggakan bila wanita Islam lahirkan anak, rambut dia kerinting, kulit hitam. Sudah pasti bapa dia Afrika (pendatang asing)”, katanya.

Meski pun amat menyedihkan hati dan memalukan, pendedahan ini rasanya bukan lagi suatu yang mengejutkan. Ia hanyalah satu lagi maklumat daripada ribuan kes sebegitu yang sudah acapkali diperkatakan umum.

Mengambilkira hakikat itu, kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak jika ada yang mengatakan bahawa maruah dan mentaliti wanita kita kini sangat rendah. Mereka ini ternyata sanggup menggadai harga diri untuk sesuatu yang sukar dirasionalkan. Apa sebenarnya yang mereka harapkan daripada warga asing yang rata-rata berpendapatan rendah itu?

Umum mengetahui bahawa pendatang asing yang membanjiri beberapa lokasi tertentu sekitar ibu negara setiap hujung minggu hanyalah bagi berhibur dan melepak bersama rakan-rakan senegara. Majoriti mereka ini adalah pekerja am di sektor pembinaan, di gedung perniagaan, perladangan mahu pun perindustrian. Mereka bukan kalangan berpendapatan tinggi atau golongan profesional.

Sebab itu agak sukar dirasional apa sebenarnya yang mendorong wanita kita begitu mudah menuruti ajakan dan godaan mereka. Tentu sekali bukan semata-mata dorongan kebendaan, bukan?

Tambah membingungkan, jika kenyataan Ibrahim tadi diambilkira, ternyata wanita kita yang terjebak dengan hubungan sumbang itu bukan setakat menikmati keseronokan sementara.  Mereka malah turut merelakan diri ‘termengandungkan’ anak warga asing terbabit. Apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada hubungan haram itu?

Sebab itu tidak salah jika diulangsebut bahawa itulah gambaran betapa rendahnya maruah dan mentaliti sebilangan wanita kita.

Apatah lagi cerita dan kes wanita Melayu/Islam tempatan terpengaruh atau terpedaya dengan pujukan rayu dan ajakan lelaki warga asing bukan lagi suatu cerita baru dalam masyarakat kita.  Sejak beberapa bulan kebelakangan ini ada-ada saja cerita dipaparkan media berkaitan keterlanjuran wanita tempatan yang mendakwa diri mereka ditipu sehingga terjebak menjadi agen penghantar dadah oleh sindiket pengedaran antarabangsa.

Secara rasional, kes-kes ini jauh lebih tidak munasabah berbanding kes hubungan tidak bermoral tadi. Jika kes didedahkan Ibrahim itu banyak melibatkan wanita kelas bawahan, sebilangan wanita yang tertipu dengan sindiket dadah antarabangsa itu pula mempunyai latar belakang pendidikan agak tinggi, termasuk lepasan menara gading.

Amat malang dan mendukacitakan kes-kes seumpama ini berlaku di saat kita melaungkan hasrat menjulang bangsa Malaysia sebagai bangsa bertamadun, yang bermentaliti kelas pertama atau bertaraf antarabangsa.

Bahkan pernah seorang pemimpin negara bercakap soal mengangkasakan bangsa Melayu. Bagi beliau, kejayaan dicapai orang Melayu kini perlu ditingkatkan ke tahap lebih tinggi dan melampaui pencapaian biasa. ‘Bangsa angkasa’, katanya, adalah bangsa yang mempunyai tamadun hebat dan mampu mencipta kejayaan luar biasa.

Tidak salah untuk kita meletakkan cita-cita setinggi angkasa. Soalnya, sejauh manakah cita-cita tinggi itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat terbanyak? Apakah kerendahan maruah dan mentaliti wanita kita yang dibicarakan tadi memberikan gambaran yang tepat kepada tamadun hebat ‘bangsa angkasa’ sebagaimana diimpikan pemimpin itu?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 207, September 2008)

No comments:

Post a Comment