Sunday, August 24, 2008

Piala Monsun dan ‘sumpahan’ rakyat Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

BAGAIKAN terkena sumpahan, projek pembangunan Pulau Duyong dan penganjuran Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun di situ tidak habis-habis dilanda kontroversi. Sejak mula pulau itu dibangunkan hingga kini, ada-ada saja isu dan pertikaian diperkatakan rakyat Terengganu bersabit perubahan yang dibawa Barisan Nasional (BN) ke atas pulau itu.

Selama ini rakyat Terengganu mengkagumi pulau di muara Sungai Terengganu itu sebagai bumi warisan ulama tersohor Terengganu, iaitu Tok Sheikh Duyong. Di situlah pernah wujud pusat pengajian Islam yang bukan sahaja terkenal di kalangan rakyat negeri itu, bahkan seluruh rantau ini.

Malangnya imej itu kini sudah ditenggelami pembangunan dan penganjuran kejohanan perahu layar bertaraf dunia. Selepas BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, Pulau Duyong telah diberikan limpahan pembangunan.

Pemimpin BN sendiri mengakui hasrat sebenar pembangunan di situ bukan demi memenuhi keperluan warga Pulau Duyong, tetapi bagi menjayakan kejohanan Piala Monsun. Kejohanan itu dijadikan acara tahunan sejak penghujung 2005.

Akhbar pada awal 2006 melaporkan RM60 juta dibelanjakan untuk projek pembangunan prasarana di pulau itu. Maklumat lain mendakwa peruntukan sebenar pembangunan itu di tahun pertama telah melebihi RM200juta. Jumlah sebenar bagaimana pun tidak pernah diumumkan kerajaan negeri.

Sejak itu pelbagai pihak mempertikaikan kewajaran pembangunan itu. Belanja besar dihabiskan itu dilihat bukan sahaja tidak banyak mendatangkan manfaat kepada penduduk tempatan, bahkan turut menjadi pemangkin kepada kedatangan maksiat ke bumi ulama itu.

Apa yang pasti pembangunan Pulau Duyong telah memangsakan sebilangan penduduknya sendiri. Ada antara mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman bagi memberi laluan kepada pembangunan itu.

Tempias pembangunan Pulau Duyong turut memberi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi penduduk di kampung-kampung sekitarnya. Hal itu disahkan oleh dua wakil rakyat BN ketika itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Mohd Shapian Ali dan Adun Bukit Tunggal, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dalam kenyataan berasingan meluahkan rasa kesal masing-masing.

Kata mereka, aktiviti pembangunan yang tidak teliti di pulau itu menyebabkan paras air sungai menjadi cetek. Hal itu menyukarkan penduduk sekitarnya yang sebahagian besar bergantung hidup kepada aktiviti sungai sebagai sumber ekonomi.

Kerajaan negeri bagaimana pun mendakwa manfaat diperolehi rakyat dan negeri Terengganu hasil pembangunan pulau itu dan penganjuran Piala Monsun jauh lebih besar berbanding kesukaran dihadapi segelintir penduduk itu.

Di luar jangkaan mana-mana pihak, dakwaan kerajaan negeri itu dipertikaikan lagi. Kali ini giliran Ahli Parlimen Gerik, Datuk Wan Hashim Wan Teh pula. Bercakap di atas sifatnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti, beliau berkata pihaknya menemui beberapa perkara yang tidak menyenangkan mengenai penganjuran kejohanan perahu layar itu.

Dua perkara utama dikemukakan jawatankuasa berkenaan. Pertama, penganjuran Piala Monsun didapati memakan belanja besar tetapi tidak banyak memberikan manfaat serta faedah kepada kerajaan dan masyarakat Terengganu.

Kedua, tempahan bilik hotel dan penginapan lain juga didapati tidak seberapa. Hakikat ini dikatakan bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak, terutama kerajaan negeri kononnya tahap enginapan hotel dan chalet di sekitar Kuala Terengganu adalah penuh sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Bagai diduga pendedahan itu tidak disenangi pucuk pimpinan kerajaan negeri. Datuk Wan Hisham Wan Salleh, selaku anggota Exco kerajaan negeri ketika itu sebaliknya mendakwa kesan utama yang dapat dilihat hasil kejohanan itu ialah ia dapat menghidupkan aktiviti ekonomi rakyat Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, syarikat yang mendapat hak mutlak menganjurkan kejohanan itu, turut mengaitkan penganjuran Piala Monsun dengan peningkatan industri pembuatan bot dan kapal di negeri itu. Pendirian sama masih dipertahankannya minggu lalu apabila isu penganjuran Piala Monsun dipertikaikan kembali.

“Sekarang ramai pelancong datang, hotel penuh sejak ada Piala Monsun, perkara ini beri keuntungan kepada rakyat”, katanya sebagaimana disiarkan akhbar, Rabu (13 Ogos).

Wan Hisham bahkan seakan mengugut untuk mengalihkan kejohanan itu ke negeri lain sekiranya kerajaan Terengganu tidak mahu lagi meneruskannya.

Beliau menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang membayangkan kemungkinan kejohanan perahu layar itu tidak akan diteruskan lagi tahun ini. Ahmad bersetuju bahawa penganjuran Piala Monsun tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Bahkan sebelum ini beliau turut mempertikaikan ketelusan pelaksanaan projek pembangunan Pulau Duyong dan penganjuran Piala Monsun itu. Dalam kenyataannya pada 25 Julai lalu, Ahmad secara terbuka meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat pelaksanaan projek tersebut yang dikhuatirinya ada unsur penyelewengan.

“Saya minta (BPR) jangan pilih tempat untuk siasat... pergi siasat Taman Tamadun Islam, pengurusan Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun dan juga Pulau Duyong itu sendiri. Itu sebenarnya lebih besar”, katanya.

Pendirian agak dingin Menteri Besar Terengganu itu terhadap Piala Monsun adalah karenah terbaru yang terpaksa dihadapi pihak penganjurnya. Ia mengiyakan tanggapan sebelum ini betapa kontroversi Pulau Duyong dan Piala Monsun tidak akan terhenti. Pertikaian mengenainya kini sudah menjadi liabiliti terhadap kerajaan BN Terengganu sendiri.

Barangkali memang benar ia telah terkena sumpahan!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 24-30 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment