Oleh: Anuwa Jamalullail
BEKAS Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Mohamad Ezam Mohd Noor ternyata sukar menyembunyikan naluri politiknya apabila
secara terbuka menawarkan diri mewakili Barisan Nasional (BN) bagi berhadapan
bekas ketuanya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana kawasan pun sekiranya
diadakan pilihan raya kecil dalam masa terdekat.
Jika sewaktu mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno
28 Mei lalu, bekas Pengerusi Gerakan Anti Korupsi (Gerak) itu banyak
mengulangsebut bahawa hasrat utamanya menganggotai parti kerajaan itu ialah
untuk menyempurnakan agenda pembaharuan dan perjuangannya memerangi rasuah,
kini agenda itu nampaknya sudah semakin dikesampingkan.
“Apa yang dilakukan oleh Perdana Mneteri dalam melakukan
perubahan ke atas badan kehakiman dan memberi struktur yang agak bebas kepada
Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah perkara paling penting bagi saya”, kata
Mohamad Ezam dalam wawancara dengan sebuah akhbar mingguan, 1 Jun lalu.
Serentak itu juga beliau menafikan andaian pelbagai pihak
bahawa kemasukan semula beliau ke dalam Umno mempunyai agenda politik, termasuk
memenangi jawatan dalam parti dan kerajaan.
“Tindakan saya (menyertai Umno) tiada kaitan dengan persoalan
pilihan raya mahu pun pemilihan parti. Saya tidak pernah berkira-kira untuk
melakukan tindakan politik bergantung kepada kedua-dua suasana itu atau kerana
jawatan”, katanya.
Mohamad Ezam sebelum ini memang dikenali sangat komited dengan
usahanya memerangi rasuah dan korupsi. Beliau malah pernah ditahan di bawah
Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi kerajaan bagi
membuktikan beberapa dakwaannya. Disebabkan keberaniannya itu juga beliau
terlepas daripada menyertai Pilihan Raya Umum 2004 lalu.
Berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam
membongkar penyelewengan dan rasuah di kalangan penguasa negara, banyak pihak
meletakkan keyakinan perjuangannya itu akan lebih berkesan sekiranya beliau
berada di dalam kerajaan. Mohamad Ezam sendiri malah turut melahirkan keyakinan
tersebut.
“Antara perubahan yang ingin dilakukan oleh pembangkang
dan perubahan yang ingin dilakukan oleh orang yang berkuasa, saya akan memilih
perubahan yang akan dilakukan oleh orang yang berkuasa. Ini bukan bermakna saya
mahu dekat dengan kuasa, tetapi perubahan yang akan dilakukan oleh orang yang
berkuasa itu boleh memberi impak kepada rakyat, sedangkan perubahan yang ingin
dilakukan oleh pembangkang belum tentu menjadi impak”, katanya.
Ternyata keyakinan Mohamad Ezam mengenai impak itu
benar-benar menjadi kenyataan apabila beliau memilih untuk mendedahkan keraguan
yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat berbanding gejala lebih dahsyat yang
berlaku di kalangan penguasa negara. Contohnya, pendedahan beliau mengenai
kutipan wang derma untuk sambutan 100 hari PR memerintah Selangor hujung Jun
lalu segera mengundang siasatan BPR.
Mohamad Ezam mendedahkan apa yang didakwanya
penyelewengan wang kutipan derma tersebut apabila ia dimasukkan ke akaun PKR
dan bukannya ke akaun kerajaan negeri. Sedangan surat yang dikeluarkan kepada
syarikat swasta untuk tujuan kutipan berkenaan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri
Besar Selangor. Sambutan berkenaan diadakan di Stadium Shah Alam, pada 20 Jun.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tiga hari
kemudian secara jujur mengakui wang sumbangan beberapa syarikat swasta untuk
sambutan itu dimasukkan ke akaun PKR dan bukannya kepada kerajaan negeri
seperti yang sepatutnya. Ketelusan Khalid itu bagaimana pun sudah tidak mampu
menghalang impak suara Mohamad Ezam dan campurtangan BPR.
Pengarah BPR Selangor, Jaafar Mahad dalam kenyataan media
minggu lalu (30 Julai) memaklumkan bahawa kertas siasatan lengkap mengenai
dakwaan penyelewengan kutipan sumbangan itu telah dihantar ke Pejabat
Pendakwaan BPR di Putrajaya untuk diputuskan. Cukup cepat dan hebat impak suara
Mohamad Ezam, bukan?
Berbekalkan keupayaan suaranya memberi impak sebegitu
berkesan terhadap siasatan BPR, banyak pihak mengharapkan kelantangan Mohamad
Ezam itu turut digunakannya untuk mendedahkan penyelewengan serta
penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan. Malangnya, hingga kini harapan itu
nampaknya semakin pudar.
Jangan diharapkan Mohamad Ezam sendiri mendedah apa-apa
kes, untuk mengharapkannya menjadi pendesak kerajaan dan BPR mengambil tindakan
sepatutnya ke atas kes dibangkitkan pihak lain pun agak sukar.
Bekas Pengerusi Gerak itu bagaikan tidak lagi berminat
mengambil tahu isu-isu rasuah dan penyelewengan dibangkitkan beberapa pihak
mutakhir ini. Beliau sebaliknya kelihatan lebih berminat menjadi tukang syarah
BN terutama untuk menghentam para pemimpin PR.
Ada tak apa-apa komen dari beliau mengenai pendedahan dan
desakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said baru-baru ini? Pada 20 Julai
lalu Ahmad mengumumkan kerajaan negerinya mula menggunakan 14 buah kereta
Mercedes Benz model E200 Kompressor sebagai kereta rasmi Menteri Besar, anggota
Exco dan pegawai kanan kerajaan. Kenderaan yang dibeli dengan harga tanpa cukai
RM245,000 sebuah itu adalah bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang
menjadi kenderaan rasmi mereka sejak 2004 lalu.
Pembelian melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.43
juta itu dikatakan terpaksa dibuat setelah mendapati kos penyelenggaraan dan
penggunaan minyak Proton Perdana V6 terlalu tinggi. Tindakan itu bagaimana pun
mengundang reaksi negatif beberapa pihak, terutama di peringkat nasional.
Pertikaian itu membuka ruang kepada pendedahan salah laku
dan penyelewengan dalam pengurusan kenderaan rasmi kerajaan itu sebelum ini.
Proton dan BPR masing-masing melakukan siasatan.
Ahmad kemudiannya turut mendesak BPR agar menyiasat sama
pelaksanaan dua projek mega di negerinya, iaitu Taman Tamadun Islam di Pulau
Wan Man dan pembangunan Pulau Duyong untuk penganjuran Piala Monsun. Kedua-dua
projek yang masing-masing menelan belanja ratusan juta ringgit itu didakwa
tidak diurus dengan betul. Malangnya, Mohamad Ezam selaku juara anti-rasuah
tidak bersuara mengenai isu itu.
Apa pula kata Mohamad Ezam mengenai pendedahan Setiausaha
Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa politik wang dikesannya
muncul kembali? Dalam kenyataannya minggu lalu Tengku Adnan malah mengundang
kerjasama BPR bagi membendung gejala yang dikatakan semakin terzahir ekoran
perebutan jawatan di pelbagai peringkat Umno bermula bulan lalu.
Banyak lagi isu berkaitan rasuah dan penyelewengan yang
diutarakan media saban hari. Malangnya, di saat BPR tidak menang tangan
menyiasat dan menangani kes-kes berkenaan, tiba-tiba juara anti-rasuah yang
seorang ini lebih berminat mendapatkan tiket untuk menyertai pilihan raya.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya memang bersedia. Saya tidak
gentar langsung untuk berhadapan dengan Anwar sekiranya diminta mewakili BN
dalam pilihan raya kecil”, katanya sebagaimana disiarkan kebanyakan media cetak
pada 29 Julai lalu.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 10-16 Ogos 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment