“Bekas pensyarah itu agak boros, liberal dan
mudah terlajak dalam memberikan pertimbangan sebelum membuat sesuatu kenyataan
berkaitan hukum agama”
Oleh: Anuwa Jamalullail
AGAK-agak mana satu pandangan yang wajar diterimapakai
umat Islam negara ini berkaitan keharusan meminjam untuk mengerjakan haji,
sebagaimana yang menjadi pertikaian antara dua pemimpin negara minggu lalu?
Apakah penegasan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melarang umat Islam berbuat demikian yang
menepati hukum syarak? Ataukah pandangan dikemukakan timbalannya, Senator Datuk
Dr Mashitah Ibrahim yang mengharuskan perbuatan itu yang sebenarnya disepakati
ulama?
Sebenarnya, perbahasan mengenai harus atau tidak bagi
umat Islam meminjam bagi mengerjakan haji bukan perkara yang baru ditimbulkan.
Saranan agar institusi kewangan menyediakan pinjaman untuk itu telah kedengaran
beberapa ketika sebelum ini. Pelbagai pihak, termasuk ilmuan Islam dan tokoh
masyarakat telah memberikan pandangan masing-masing.
Isu ini bagaimana pun diperkatakan kembali minggu lalu
apabila Mashitah turut mengulas saranan tersebut. Beliau berpandangan umat
Islam diharuskan memohon pinjaman untuk membiayai kos menunaikan haji dengan
syarat mereka berkemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan.
“Memang ada umat Islam mengambil pinjaman untuk
menunaikan haji atas alasan kalau tidak pergi (haji) sekarang, mungkin bila dah
tua nanti tak dapat pergi kerana kesihatan tidak mengizinkan”, katanya,
sebagaimana dipetik akhbar pada 5 Ogos.
Pandangan itu bagaimana pun amat tidak disenangi oleh
Zahid. Dalam satu kenyataan mengulas pendirian Mashitah itu keesokannya, Zahid
menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang mengharuskan umat Islam memohon
pinjaman daripada institusi kewangan untuk membiayai kos bagi menunaikan haji
adalah bercanggah dengan hukum syarak.
Katanya, seseorang yang difardhukan menunaikan haji mestilah
memenuhi beberapa kelayakan, termasuk berkemampuan dari segi kewangan, sihat
tubuh badan dan ada kelapangan.
“Oleh kerana faktor kemampuan tertakluk kepada sumber
kewangan, maka tidak menjadi fardhu dan tidak wajib bagi seseorang itu
menunaikan haji jika tidak mempunyai kemampuan kewangan”, tegasnya.
Berdasarkan penelitian dan pertimbangan itu, menurut
Zahid, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan tiada pinjaman untuk menunaikan
haji boleh diberikan oleh mana-mana institusi kewangan kepada umat Islam negara
ini.
“Kalau ada kalangan ulama atau mana-mana ahli politik
menyatakan bank atau institusi kewangan harus memberi pinjaman, ia bercanggah dengan
hukum Islam itu sendiri”, kata Zahid, dipercayai merujuk secara khusus kepada
timbalannya itu.
Apa sudah jadi dengan para pemimpin kita ini? Nampak sangat
kedua-dua mereka tidak saling berkonsultasi sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut.
Sedangkan, sebagai pemimpin yang sama-sama menganggotai kabinet, percanggahan
kenyataan sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi kedua-dua mereka
adalah menteri dan timbalan di kementerian yang sama.
Tidak kira siapa pun antara mereka berdua yang
mengutarakan hujah yang benar di sisi agama, percanggahan kenyataan mereka
sudah cukup untuk mengeliru dan membingungkan umat Islam negara ini.
Apatah lagi apabila Mashitah tampil dengan kenyataan
balasnya mempertahankan pandangan beliau itu. Beliau malah menyandarkan
hujahnya kepada satu muzakarah ulama yang pernah diadakan di negara ini sebelum
ini yang memutuskan demikian.
Mashitah turut menganggap percanggahan antara beliau
dengan ketuanya hanya perbezaan pendapat yang diharuskan Islam. Beliau
berpegang kepada hujah bahawa perbezaan pendapat di kalangan umat Islam itu
satu rahmat yang membolehkan mereka membuat pilihan mana yang lebih bersesuaian
untuk diterimapakai. Apatah lagi, katanya, semua pihak boleh mengemukakan
ijtihad masing-masing dalam soal agama asalkan untuk kebaikan.
Senator itu mungkin betul dalam pendiriannya kali ini.
Bagaimana pun, mengambilkira pendapat yang pernah dilontarkannya berkaitan
hukum Islam sebelum ini, tidak semudah itu bagi umat Islam menerima apa yang
beliau utarakan. Bagi sebahagian besar kita, terutama kalangan ilmuan Islam dan
aktivis wanita, kenyataan Mashitah yang mengharuskan pelacuran bagi wanita yang
terdesak dalam kehidupan adalah suatu yang masih dipertikai dan dikesalkan
hingga kini.
Menerusi kolumnya dalam sebuah akhbar harian, 21 Jun
2005, Mashitah yang ketika itu menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana
Menteri mengatakan bahawa melacur atau menjual diri dimaafkan bagi wanita jika
ia terdesak dan darurat, termasuk demi memberi makan dan membesarkan anaknya.
“Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas
daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi
jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan”, tulis Mashitah.
Kenyatan yang jelas tidak cermat dan boros berkaitan
hukum agama itu mengundang reaksi tidak senang pelbagai pihak. Oleh kerana
Mashitah menyandarkan hujahnya atas keadaan darurat, beberapa ulama
mengemukakan penghuraian konsep darurat menurut Islam.
Mereka menukilkan pandangan beberapa ulama terkenal
seperti Imam Abu Bakar al-Jasas, Imam Abu Zuhrah dan Al-Bazdawi yang
menyimpulkan bahawa darurat dimaksudkan di sisi syarak itu ialah satu keadaan
ditakuti atau dikhuatiri akan berlaku kemusnahan ke atas nyawa atau beberapa
bahagian anggota badan atau pun masahat dharurinya (agama, nyawa, harta, akal,
maruah) terancam apabila tidak memakan makanan yang haram.
Dalam kata lain, darurat menurut hukum Islam hanya
dihubungkaitkan dengan soal mengambil makanan yang haram. Ia tiada langsung
kaitan dengan soal menjual tubuh atau melacur.
Pandangan, atau lebih tepat disebut ‘sanggahan’ beberapa
ulama terhadap ‘fatwa’ Mashitah itu ternyata tidak berdaya ditepis atau dibalas
semula olehnya. Ia sekaligus membuktikan bekas pensyarah itu agak boros, liberal
dan mudah terlajak dalam memberikan pertimbangan sebelum membuat sesuatu
kenyataan berkaitan hukum agama.
Sifat tidak cermat itu menyebabkan timbul pertikaian
apakah beliau seorang yang layak mengemukakan ijtihad? Justeru, jika dalam
keadaan yang tidak menepati hakikat darurat di sisi hukum agama dulu beliau
telah tergamak mengharuskan perzinaan yang dikeji agama, maka apakah ada jaminan
beliau bercermat dan tidak terbabas sekali lagi dalam mengemukakan pandangannya
kali ini?
Nampaknya, kerajaan yang bertanggungjawab melantiknya
menganggotai kabinet perlu turut mengambil tanggungjawab melakukan sesuatu agar
tokoh yang kerap mengelirukan umat Islam ini disedarkan tentang kesilapan dan
keterlanjurannya.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 17-23 Ogos 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment