Sunday, June 1, 2008

Media perlu bebas didik rakyat


Oleh: MOHD NASIR AWANG

DALAM wawancara eksklusif dengan sebuah akhbar mingguan, Ahad (25 Mei) lalu, Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim antara lain menegaskan peranan yang boleh dimainkan media dalam mendidik rakyat supaya boleh berfikir serta sentiasa mengambil berat mengenai politik negara.

Menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu, kesedaran politik amat penting dimiliki rakyat supaya mereka tidak mudah dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya sendiri mahu melihat rakyat di negara ini mampu menyuarakan pendapat mereka sekiranya wakil rakyat atau pemimpin gagal melakukan tugas dengan baik dan berkesan. Rakyat harus mempunyai sikap bahawa mereka seharusnya menggunakan hak untuk bersuara,” katanya.

Prof. Khoo turut meluahkan rasa terkilan terhadap tahap kesedaran politik yang sangat rendah di kalangan rakyat negara ini. Beliau memberikan contoh bagaimana ada satu kawasan di mana jalan raya sudah lama tidak diperbaiki beserta pelbagai masalah lain yang tidak diselesaikan.

“Tetapi lima bulan sebelum pilihan raya semua beres dan rakyat pun berpuas hati. Bagi saya, keadaan ini memperlihatkan rakyat tidak mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Rakyat tidak anggap itu sebagai umpan,” tegasnya.

Saya memahami maksud penegasan Prof. Khoo itu bahawa pelaksanaan projek segera oleh pihak berkuasa menjelang pilihan raya sepatutnya dinilai rakyat sebagai umpan politik. Dalam ertikata lain, jika rakyat tidak dapat menilainya sebagai umpan pilihan raya, ia menandakan tahap celik politik rakyat masih rendah.

Soalnya, jika beliau mengharapkan media untuk mendidik rakyat menjadi secelik itu, apakah ada media arus perdana yang bersedia mengatakan demikian? Sedangkan contoh disebutkan beliau itu sememangnya sesuatu yang sering dijadikan modal politik parti pemerintah.

Manakala suara senada beliau itu hanya boleh dibaca menerusi media arus kedua, terutama yang dikuasai parti-parti pembangkang. Tidak keterlaluan pula jika dikatakan bahawa disebabkan usaha menyedarkan rakyat tentang perkara-perkara seumpama umpan politik itulah menyebabkan media milik pembangkang dianggap menghasut rakyat membenci kerajaan.

Kebetulan atau tidak, akhbar sama yang menyiarkan wawancara Prof. Khoo itu turut memuatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang memberi amaran kepada akhbar politik di atas perkara tersebut.

Menurut Syed Hamid, pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan permit yang diluluskan kepada mana-mana parti politik jika mereka dianggap sengaja menggunakan akhbar terbitan mereka untuk menghasut dan memecah-belahkan rakyat.

Pendirian sama diulangi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Media Asia, di Kuala Lumpur, Selasa (27 Mei) lalu. Di dalam teks dibacakan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri menegaskan kebebasan bersuara tidak bererti pihak penerbit boleh menyiarkan bahan berunsur menghasut.

Dilema, bukan? Di satu pihak, ada yang mengharapkan agar media menjadi pendidik kepada rakyat agar ada kesedaran politik yang tinggi dan tidak mudah dipermain serta diperbodohkan oleh umpan politik pihak pemerintah. Di satu pihak lain, media yang menyuarakan perkara itu dengan mudah akan dianggap menerbitkan sesuatu berunsur hasutan dan tidak wajar dibenarkan.

Apakah semata-mata dengan mengatakan pelaksanaan projek segera menjelang pilihan raya oleh kerajaan itu sebagai umpan politik, sebagaimana dicontohkan Prof. Khoo tadi, kita sudah dianggap menghasut?

Isu kebebasan media, terutama penerbitan akhbar oleh parti politik, sering diperbahaskan. Bagi membuktikan ketelusan dalam menjamin kebebasan media, pihak kerajaan sering memetik keterbukaannya terhadap penguasaan media siber oleh parti pembangkang.

Bagaimana pun, sebagaimana diakui Perdana Meneri Selasa lalu, kewartawanan berkualiti masih lagi dikuasai media tradisional. Menurutnya, kewujudan media baru khususnya melalui internet belum dapat menyaingi media tradisional sebagai peneraju dalam kandungannya, terutama diambilkira ketepatan fakta dan keadilan dalam laporan.

Pengakuan itu sekaligus menyokong perjuangan rakyat betapa amat penting bagi mereka mendapat hak menerbitkan akhbar, sekali pun mereka dikatakan telah ada ruang dan peluang cukup luas dan bebas menerusi media siber.

Pandangan ini dikongsi Institut Akhbar Malaysia (MPI). Mengulas cadangan Syed Hamid April lalu agar syarat-syarat mendapatkan permit penerbitan akhbar dilonggarkan, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Datuk Azman Ujang, menganggap cadangan itu amat tepat bagi memperkukuhkan kebebasan media negara.

“Sekarang ini, majoriti akhbar arus perdana dimiliki parti-parti politik yang memerintah, menyebabkan terdapat pandangan bahawa tidak wujud kebebasan akhbar,” katanya.

Beliau berharap cadangan itu akan mendorong kelahiran lebih banyak akhbar yang dimiliki secara bebas, sekaligus menyuburkan demokrasi di negara ini.

Azman turut mencadangkan agar suatu masa nanti kerajaan menghapuskan sama sekali permit menerbitkan akhbar. Baginya, negara ini sudah ada berbagai akta dan peraturan untuk mengawasi dan memantau syarikat-syarikat akhbar.

Sebetulnya, pandangan Azman itu telah sekian lama dikongsi pelbagai pihak. Selain kepelbagaian peraturan dan akta, kongkongan permit terhadap akhbar bercetak juga dilihat sudah tidak relevan dengan dunia langit terbuka dan teknologi maklumat tanpa sempadan masakini.

Apatah lagi jika kita menilai kepentingan kebebasan media dalam konteks mendidik rakyat agar celik politik, sebagaimana dihasratkan Prof. Khoo tadi.

“Hak (untuk bersuara) ini termaktub di dalam sistem demokrasi yang merupakan asas kepada pemerintahan negara kita. Tujuan kita menggunakan hak ini adalah untuk memastikan kehidupan kita tidak terjejas,” katanya lagi.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 26 Jamadil Awal-3 Jamadil Akhir 1429/1-7 Jun 2008 di kolum “Perspektif” dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment