“Jika dulu orang kata kununnya saya
berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap, tapi bila saya kritik Datuk
Seri Abdullah pasal tak buat jambatan, orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno
mempertahankan saya.”
Oleh: Anuwa Jamalullail
ADA beberapa pemerhatian yang dapat dibuat ekoran kemelut
dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bau-baru ini.
Antaranya, ia menyerlahkan sifat sebenar para pemimpin dan ahli Umno, terutama
berkait hubungan, sokongan dan taat setia antara mereka. Ia jelas tergambar
menerusi kenyataan Mahathir itu dan reaksi para pemimpin Umno terhadap
pendirian tersebut.
Pada 19 Mei, bekas Presiden Umno itu mengejutkan negara
apabila mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan
terhadap keimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi. Beliau mendakwa penggantinya itu telah gagal memperjuangkan nasib bangsa
Melayu.
“Saya dengan ini mengumumkan keluar parti hari ini
sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
meletakkan jawatan. Saya juga meminta ahli Umno yang sayangkan parti, mengambil
tindakan yang berani ini untuk keluar parti dan kita menyertai semula Umno
apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatan”, katanya pada satu majlis
dialog di Alor Setar.
Pengumuman bekas pemimpin nombor satu yang juga ahli Umno
seumur hidup itu bukan sahaja mengejutkan, malah membuktikan betapa pertelingkahan
beliau dengan Abdullah sudah sampai ke kemuncaknya.
Sebelum ini Mahathir telah beberapa kali secara terbuka
membuat serangan peribadi terhadap pengganti yang dipilihnya sendiri itu.
Abdullah didakwanya tidak sesuai menjadi pemimpin kerana antara lain terlalu
lembut dan lembik apabila terlalu mudah tunduk kepada tekanan pihak asing dan
desakan beberapa pihak dalam negara.
“Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua
orang takut dan (anehnya) ada yang kata saya ini lembik, tetapi (orang) takut
pula pada si lembik”, kata Abdullah pada sidang media selepas Majlis Penerangan
Bersama Presiden Umno, 6 April lalu.
Ulasan sinis itu secara jelas ditujukan kepada Mahathir.
Abdullah malah menegaskan beliau tidak akan sekali-kali tunduk kepada desakan
bekas ketuanya itu agar beliau melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.
“Kenapa saya nak letak jawatan? Saya ada kerja nak
dibuat”, katanya, sebagai reaksi pertama kepada pengumuman Mahathir, 19 Mei
lalu.
Banyak pihak menyifatkan tindakan Tun Mahathir
mengumumkan keluar parti itu sebagai kemuncak desakannya agar Abdullah
berundur. Reaksi diberi para pemimpin Umno terhadap percaturan itu bagaimana
pun agak pelbagai.
Kebanyakan mereka menyatakan terkejut dengan keputusan
Tun Mahathir dan menyifatkannya suatu yang merugikan Umno dan negara. Ada yang
mengharapkan tokoh terbilang itu mengkaji semula tindakannya dan mencari
penyelesaian lebih baik demi parti dan kerajaan.
Tidak kurang juga yang menyambut baik “pemergian” Tun
Mahathir daripada Umno. Malah, ada yang menyifatkannya sebagai “duri dalam
daging” dan ketiadaannya akan menghilangkan satu faktor yang menjadi “bebanan”
kepada parti itu kebelakangan ini.
Komen-komen sedemikian, yang datangnya daripada pemimpin
terbilang Umno, menggambarkan betapa persengketaan dalaman parti itu sudah tidak
dapat disembunyikan lagi. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim menilai episod itu sebagai tanda krisis dalaman Umno kian
meruncing.
Apakah kepincangan paling dahsyat bagi sesebuah parti
selain kesanggupan bekas pemimpin utamanya bertindak meninggalkan parti itu?
Apatah lagi tindakan diambil Tun Mahathir itu rupa-rupanya sudah didahului
bekas pemimpin Umno lain.
Suatu yang agak mengejutkan apabila bekas Menteri Besar
Kedah, Tan Sri Sanusi Junid mendedahkan bahawa beliau telah lama meninggalkan
parti itu. Beliau mengakui sependapat dengan Tun Mahathir mengenai Umno yang
ada kini.
Apa yang berlaku terhadap Tun Mahathir kini juga
menyerlahkan sifat bermuka-muka ahli Umno dalam memberikan sokongan dan
kesetiaan kepada seseorang pemimpin. Dr Mahathir menyebutkan, “jika dulu orang
kata kununnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap, tapi bila
saya kritik Datuk Seri Abdullah pasal tak buat jambatan, orang maki saya. Tiada
siapa dalam Umno mempertahankan saya”.
Sebetulnya, kesetiaan palsu orang Umno kepada pemimpin
mereka bukan suatu fenomena baru. Sifat ini amat sukar dinafikan wujud di dalam
Umno.
Apa yang dicoretkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub adalah satu
contoh yang sangat baik. Beliau antara bekas pemimpin utama Umno yang sangat
setia kepada parti.
Namun, selepas kekalahannya kepada calon PAS dalam
Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 lalu, beliau hilang kedudukan dalam parti dan
Kabinet. Megat Junid merakamkan kekecewaannya atas tabiat buruk ahli Umno yang
serta-merta hilang kemesraan terhadapnya menerusi dua buah bukunya, iaitu Getek (2000) dan Gayat (2001).
“Pemimpin kena tahu menilai populariti dirinya. Masa kita
berkuasa semua orang hormat pada kita, senyum pada kita, puji kita, terutama
ada sesuatu yang mereka mohon pada kita”, tulisnya dalam Getek.
Menurutnya, dalam Umno, para pemimpin dihormati bukan
kerana pemimpin itu, tetapi kerana pangkat, kuasa dan status dimilikinya.
“Mungkin ada yang menangis bila kita jatuh, tapi itu
bukan tanda dia sayangkan kita. Semata-mata tiada peluang lagi untuk mereka
meminta sesuatu daripada kita. Tangisan seperti itu tidak lama. Orang lain naik
dan mereka dapat apa yang mereka minta, pandang kita pun dia paling muka”, luah
Megat Junid lagi.
Punya hodoh perangai orang Umno, bukan? Jangan dikatakan
kalangan ahli bawahan atau pemimpin pertengahan sahaja, tabiat sedemikian
bahkan turut dimiliki para pemimpin tertingginya.
Ini diakui Megat Junid, “sekarang saya jatuh terduduk. Dari
kerusi Menteri hinggakan taraf YB pun lesap. Tinggal telor dua biji,
terhoyong-hayang ke sana-sini. Orang tak peduli kita. Kita pun tak peduli
orang. Kawan Kabinet dahulu pun ada yang pandang tak pandang dengan kita.
Bersalam pun sudah di hujung jari sahaja. Tak pandang pun muka. Sedih”.
Memang bekas menteri dan pemimpin tertinggi Umno itu ada
sebab sangat wajar untuk merasa sedih. Coretannya itu dibuat pertengahan Mac
2000, sedangkan pilihan raya umum pada akhir November 1999. Ertinya, dalam masa
hanya tidak sampai empat bulan, segala pujian, sanjungan dan sokongan
diterimanya selama puluhan tahun di dalam Umno seakan lenyap sekelip mata.
Itulah gambaran kesetiaan palsu dan sokongan pura-pura
dalam Umno. Mereka mengampu hanya ketika seseorang pemimpin berkuasa dan dapat
memenuhi kepentingan peribadi masing-masing. Apa lagi bukti diperlukan jika
pemimpin sehebat Tun Mahathir pun kini menerima nasib serupa?
(Artikel ini
disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 1-7 Jun 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment