Sunday, May 25, 2008

‘Keterbukaan’ BN Sabah gusarkan Kerajaan Pusat


“Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja”

Oleh: Anuwa Jamalullail

INGAT lagi apa komen para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap desas-desus kemungkinan wakil rakyat parti itu di Sabah dan Sarawak melompat parti? Andaian mengejutkan itu mula didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 19 Mac lalu.

Dalam kenyataannya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet barunya, Abdullah berkata beliau sedar dan mendengar mengenai perkara itu. Beliau bagaimana pun menegaskan tidak ada sebab untuk kerajaan pimpinannya ditumbangkan kerana kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat.

Abdullah dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagaimana disiarkan laman berita internet bahawa beberapa Ahli Parlimen BN, terutama di Sabah dan Sarawak sedia menimbang kemungkinan menyertai pembangkang.

Pendedahan Anwar itu bagaimana pun dipersoalkan Setiausaha BN Sabah, Datuk Karim Bujang.

“Kenyataan Anwar ada pemimpin BN Sabah dan Sarawak berjumpa beliau mungkin tidak benar, sebaliknya dibuat untuk menaikkan semangat pembangkang”, katanya.

Menurut Karim, semua Ahli Parlimen BN di negeri itu akan tetap setia bersama kerajaan dan tidak akan mengkhianati amanah rakyat dengan melompat keluar semata-mata kerana terpengaruh dengan janji pembangkang.

Keyakinan yang cuba diperkukuhkan para pemimpin BN itu bagaimana pun tidak bertahan lama. Kebimbangan atas kemungkinan dibayangkan Anwar itu mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan agar undang-undang antilompat parti digubal. Katanya, pembentukan undnag-undang itu penting bagi mengelak seseorang wakil rakyat dengan mudah berpaling tadah selepas menang pilihan raya.

Cadangan itu bagaimana pun mendapat reaksi berbelah-bahagi, termasuk di kalangan para pemimpin BN sendiri. Antara yang menentang undnag-undang itu ialah pemimpin BN Sarawak.

“Anda tidak boleh buat perkara bertentangan dengan kemahuan manusia normal. Tidak kira berapa banyak pertikaian mengenainya (lompat parti) dan berapa banyak undang-undang (mengenainya), calon yang terpilih tidak boleh sama sekali dihalang untuk meninggalkan partinya”, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dr James Jemut Masing.

Ternyata sikap terbuka tentang perbuatan “lompat parti” itu dikongsi lain-lain pemimpin di kedua-dua negeri Malaysia Timur itu. Penerimaan rakyat di sana terhadap perbuatan itu tidak senegatif di Semenanjung. Sebab itu dalam sejarah politik kedua-dua negeri itu, soal bertukar parti atau menubuhkan parti baru tidak dianggap suatu yang pelik.

Perhatikan saja ucapan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman di persidangan Dewan Rakyat, 7 Mei lalu, sebagai contoh. Anifah yang sebelum ini menggemparkan negara apabila menolak dilantik semula sebagai timbalan menteri Kabinet Pusat, secara terbuka mengakui kecil hati dengan kedudukan Sabah yang masih terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Mengibaratkan BN sebagai banglo besar dan pembangkang sebagai rumah teres, beliau berkata, kalau rumah besar itu tidak memberi ruang kepada orang Sabah, tidak ada salahnya jika ada wakil rakyat dari negeri itu meninggalkan banglo tersebut dan berpindah ke rumah teres.

“Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja”, katanya.

Seperti Masing, Anifah juga tidak bersetuju dengan undang-undang antilompat parti kerana ia boleh dianggap sebagai meletakkan wakil rakyat seperti berada dalam ‘negara polis’ apabila hak mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat disekat.

“Apalah gunanya kita terus bersama pemimpin yang sudah menyeleweng daripada matlamat asal. Adakah kita perlu akur dan pertahan serta memperjuangkan pemimpin dan parti dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat?”, soalnya.

Belum pun sempat para pemimpin BN Pusat memberikan reaksi atau mengambil tindakan susulan terhadap luahan kekecewaan itu, kegusaran mereka digandakan dengan kenyataan serupa oleh seorang lagi wakil BN Sabah. Pada 12 Mei, juga dalam persidangan Dewan Rakyat, giliran Datuk Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) pula melontarkan tamparan kedua.

Isu yang dibangkitkan juga sama, iaitu pembangunan. “Sudah lama kita tunggu pembangunan tetapi sampai sekarang tidak kunjung tiba. Sabah masih banyak masalah, kemudahan asasnya tidak pernah sempurna. Jika ini tidak dijaga, dalam pilihan raya umum akan datang BN akan kalah”, katanya.

Sambil menyifatkan Sabah menerima layanan yang berat sebelah daripada Kerajaan Pusat, Ghafur berkata, pada masa ini rakyat negeri itu merasakan mereka seolah dianggap seperti “rakyat kelas kedua”.

Katanya, walau pun Sabah penyumbang utama pembentukan kerajaan BN selepas pilihan raya umum lalu, namun negeri itu tidak diberikan keutamaan termasuk dalam pembentukan Kabinet Pusat.

Apa yang paling menggusarkan BN, luahan kekecewaan itu tidak terhenti sekadar desakan atau tuntutan tertentu yang minta dipenuhi. Sebaliknya kenyataan pedas itu turut disertakan bayangan kemungkinan mereka akan mengambil tindakan yang akan disesali BN.

“Kita (BN Sabah) tidak akan lompat parti, kita tidak akan masuk pembangkang, tapi kalau kita buat parti baru sendiri di Sabah, ini berkemungkinan. Kita boleh sertai sana (pembangkang), kita boleh sertai sini. Jadi anggaplah ini serius”, katanya.

Barangkali mengambil kira sikap “terbuka” para pemimpin Sabah dan Sarawak tadi mengenai “lompat parti” ini menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah pendiriannya mengenai desas-desus Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak akan berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata, pada mulanya beliau mengabaikan kemungkinan tersebut tetapi setelah meneliti situasi yang ada beliau menyimpulkan keadaan sekarang amat berbahaya bagi BN. Beliau meminta BN mengambil serius kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat.

Dr Mahathir percaya dorongan untuk melompat parti timbul apabila tidak wujud lagi kesetiaan kepada parti atau ekoran wujudnya sesetengah pihak yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa daripada BN, kini mempunyai peluang mendapat jawatan penting dalam kerajaan baru.

Andaikata perubahan itu benar-benar berlaku, bermakna keyakinan Abdullah bahawa kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat akan hanya tinggal kenangan. Kemungkinan itulah yang sangat menggusarkan BN kini.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 25-31 Mei 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment