Sunday, June 29, 2008

Apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan


 “Macam kes minyak baru ni lah, elok-elok menteri kata nak naik bulan Ogos, tahu-tahu selang dua-tiga hari je lepas tu isytihar naik”

Oleh: Anuwa Jamalullail

DALAM keghairahan ratusan manusia berebut-rebut mendapatkan giliran menuntut rebat di kaunter sebuah pejabat pos 14 Jun lalu, dua rakan yang turut beratur di situ sempat berseloroh sesama mereka. Kata yang seorang itu, “engkau pun nak berebut hari ni juga? Orang berduit macam engkau tak kan tak boleh tunggu esok lusa ke, minggu depan ke? Bagi lah peluang kat orang lain dulu”.

Rakannya spontan membalas, “aku bukan tak boleh tunggu, cuma bimbang tak sempat ambil rebat. Mana lah tahu tiba giliran kita nak ambil minggu depan, kerajaan isytihar pula batalkan bayaran rebat. Naya aku!”

Perbualan mereka itu disambut gelak ketawa pengunjung di sekeliling mereka. Sepintas lalu perbualan mereka itu dianggap hanya suatu gurauan. Namun bagi beberapa pengunjung yang turut beratur bersama mereka, jawaban itu dirasakan sangat sinis.

Ada pula yang mengiyakan apa yang dikatakan hamba Allah itu. Bahawa tidak mustahil bagi kerajaan untuk mengumumkan sesuatu pada bila-bila masa, termasuk di atas perkara yang pada awalnya telah pun dinafikan kerajaan sendiri.

“Macam kes minyak baru ni lah, elok-elok menteri kata nak naik bulan Ogos, tahu-tahu selang dua-tiga hari je lepas tu isytihar naik”, sambung seorang daripada mereka, disusuli bebelan beberapa yang lain.

Rungutan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, 2 Jun lalu. Dalam kenyataannya, Shahrir membayangkan kemungkinan harga petrol dan diesel akan dinaikkan Ogos ini apabila Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi melakukan penstrukturan semula skim subsidi bahan bakar itu.

“Ia akan berlaku... harga minyak akan naik, saya fikir mungkin dalam Ogos tahun ini apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula”, katanya.

Kenyataan Shahrir itu mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat bahawa harga bahan bakar itu tidak mungkin dinaikkan dalam masa terdekat. Ini kerana beberapa hari sebelum itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah menafikan kemungkinan itu.

Pada 27 Mei, Najib meminta semua pihak tidak membuat spekulasi bahawa harga minyak akan naik pada 1 Jun atau sekitarnya. Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi malah menegaskan Kabinet memerlukan masa untuk mengkaji cadangan pelbagai pihak dalam menangani inflasi.

Kenyataan itu sudah tentu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka tidak perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga minyak dalam masa terdekat. Amat mengejut dan mengecewakan selang hanya dua hari selepas kenyataan Shahrir tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengisytiharkan sebaliknya.

Pada sidang akhbar khas di Putrajaya 4 Jun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi bahan bakar itu. Abdullah memaklumkan harga runcit petrol dinaikkan sebanyak 40 peratus atau 78 sen seliter berkuatkuasa keesokannya.

Harga runcit petrol kini RM2.70 seliter berbanding RM1.92 sebelumnya. Harga runcit diesel pula dinaikkan lebih 60 peratus atau sebanyak RM1 setiap liter, menjadikannya RM2.58 berbanding RM1.58 sebelumnya.

Rakyat merasa tertipu dengan janji dan jaminan kerajaan. Bukan sahaja tertipu dengan kemungkinan kenaikan yang dikatakan hanya akan berlaku Ogos nanti, malah kadar kenaikan antara 78 sen dan RM1 itu juga sangat tinggi dan membebankan mereka.

Di masa sama, kepercayaan mereka kepada apa yang diumum dan dilaksanakan kerajaan semakin terhakis.  Bagi mereka sudah tidak ada apa yang boleh dipegang dari kenyataan para pemimpin. Segala kemungkinan boleh berlaku, apa jua keputusan boleh berubah sekelip mata. Hari ini mereka berkata begini, esok mereka mungkin akan berkata sebaliknya.

Paling memalukan ialah apabila perubahan mendadak itu turut melibatkan sesuatu dasar yang dilaksanakan kerajaan. Contohnya, pengumuman kenaikan harga minyak itu sekaligus membatalkan dasar melarang jualan minyak kepada kenderaan asing di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan. Sedangkan peraturan itu baru diperkenalkan lebih seminggu sebelumnya.

Dari satu sudut, kerajaan dilihat seolah-olah tidak mempunyai pendirian tetap atas sesuatu dasar atau peraturan yang diperkenalkan. Ia juga menggambarkan kerajaan seakan tidak membuat kajian munasabah sebelum mengisytiharkan sesuatu peraturan penting.

Dalam hal ini, kita ada terlalu banyak contoh bagaimana kenyataan dibuat para pemimpin negara mengenai sesuatu peraturan baru akhirnya terpaksa ditarik balik atau dikaji semula. Lihat saja contohnya keputusan Kabinet mengenai hasrat membayar gaji kakitangan awam dua kali sebulan.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya pada 11 Jun menganggap keputusan itu adalah bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak. Untuk itu, kerajaan memutuskan pembayaran gaji dua kali sebulan itu dilaksanakan bermula Ogos ini.

Cadangan itu bagaimana pun mendapat reaksi negatif pelbagai pihak, khususnya kesatuan-kesatuan mewakili pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam. Rata-rata mereka berpendapat kaedah pembayaran gaji secara dua ansuran itu akan membawa lebih banyak kesusahan, terutama diambil kira masalah pemotongan bayaran pinjaman, yuran dan bil bulanan.

Kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan reaksi tersebut. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam menyatakan cadangan pembayaran gaji kaedah baru itu belum dimuktamadkan. Kerajaan malah, katanya, sedia mengkaji semula cadangan itu selepas mendapat bantahan pelbagai kesatuan penjawat awam.

Kes serupa berlaku ke atas perisytiharan Perdana Menteri mengenai peraturan mewajibkan seseorang yang mahu memeluk Islam memaklumkan hasrat mereka kepada keluarga masing-masing. Menurut Perdana Menteri, peraturan itu adalah bagi mengelakkan kontroversi dan pertelingkahan dengan keluarga mereka, terutama apabila berlaku kematian ke atas Saudara Baru itu.

Cadangan itu juga mendapat bantahan pelbagai pihak, terutama kalangan Saudara Baru sendiri. Kata mereka, berdasarkan pengalaman masing-masing, peraturan itu akan menyulitkan proses pengislaman mereka. Akhirnya pengumuman dibuat Perdana Menteri itu terpaksa ditarik balik.

Banyak lagi contoh kenyataan dan tindakan serupa yang dapat dikemukakan. Apa yang nyata, disebabkan kekerapan berlakunya perubahan mendadak di atas dasar dan peraturan yang diumumkan kerajaan, rakyat akhirnya hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan. Soal mereka, di manakah wibawa sebuah kerajaan jika keputusan dan jaminan pemimpinnya boleh berubah bila-bila masa?

Gurauan sinis di pejabat pos tadi adalah satu contoh.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 29 Jun – 5 julai 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment