Oleh: MOHD NASIR AWANG
SEWAKTU di sekolah menengah pada akhir 70-an dulu,
seorang guru sering mengingatkan kami betapa kotor dan busuknya dunia politik.
Katanya, kekotoran itu bukan kerana sistem atau kerangka politik itu sendiri,
tetapi disebabkan tabiat dan perlakuan buruk ahli-ahlinya.
Saya masih ingat guru subjek Sejarah, Cikgu Abdul Hamid
Zamburi, sering mengulangsebut dalam bahasa Inggeris, “politics is a very dirty game” (politik adalah satu permainan amat
kotor).
Ketika itu kami begitu mentah untuk menyelami apa yang
beliau maksudkan. Namun kesungguhan beliau mengulangsebut ungkapan itu,
terutama apabila ada kaitan dengan tajuk sedang diajarnya, meninggalkan kesan
ingatan mendalam di benak saya.
Di antara huraian penting yang Cikgu Hamid sering
tekankan ialah mengenai tabiat buruk ahli-ahli politik. Masih jelas terbayang
ekspresi muka beliau yang sangat meluat dan kecewa sewaktu berbicara tentang senario
politik negara.
Bercakap bohong, menabur janji kosong, berhasad dengki,
menabur fitnah dan jatuh-menjatuh sesama sendiri adalah antara sifat yang
seakan diterima sebagai tradisi dan lumrah politik.
Bahkan dalam banyak keadaan, sokongan kepada mana-mana
pihak, sama ada daripada pengundi atau pun ahli-ahli politik, lebih banyak
ditentukan kepentingan peribadi masing-masing. Sebab itu, katanya, di dunia politik
tiada kawan atau lawan yang kekal. Hari ini dia adalah kawan, tidak mustahil esoknya
dia bertukar menjadi lawan. Begitulah juga sebaliknya.
Saya sendiri tidak mengambil masa terlalu lama untuk
memahami hakikat digambarkan Cikgu Hamid itu. Penglibatan sejak usia awal 20-an
sebagai aktivis parti dan juga penulis politik memungkinkan saya mengalami dan
menyaksi sendiri segala asam-garam dunia politik itu.
Ya, memang tepat apa yang Cikgu Hamid ajarkan kepada kami
30 tahun dulu. Dunia politik cenderung mengenepikan soal etika, sama ada di
sisi aturan demokrasi atau hukum agama.
Paling jelas ialah sifat mereka yang sangat suka
berbohong dalam janji dan pengakuan, berbohong juga dalam sokongan dan
pendirian. Apabila pembohongan sudah menjadi teras politik, ia memungkinkan
segala macam ftinah, salah faham, curiga-mencurigai, hilang kepercayaan dan
berbagai lagi.
Ingat lagi istilah “membakar jambatan” yang pernah
dipopularkan seorang tokoh politik 20 tahun lalu? Beliau bukan calang-calang
tokoh, tetapi seorang timbalan presiden sebuah parti serpihan Umno,
berkelulusan doktor falsafah di bidang undang-undang.
Tokoh itu berikrar tidak akan sekali-kali kembali kepada
Umno. Bagaimana mungkin untuk beliau menyeberangi semula kerana jambatan
penghubung antaranya dengan Umno telah “dibakarnya” sendiri?
Semua kita tahu apa kesudahannya. Beliau bukan saja secara
terbuka melanggar ikrarnya itu malah membawa masuk semula para pengikutnya
secara en bloc ke dalam Umno.
Seorang lagi tokoh, juga dari parti serpihan Umno, pernah
menggegarkan pentas politik negara sedekad lalu dengan istilah “sumpah
keramat”. Hampir tiada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di kalangan
pemimpin utama parti pemerintah yang tidak didedahkannya.
Kelantangan dan kepetahan anak muda ini menggarap senario
politik negara memukau pelbagai pihak. Ketika itu tiada siapa percaya beliau
akan kembali semula bersekongkol dengan parti korup yang amat dicemuhnya itu.
Namun itulah yang dilakukannya baru-baru ini.
Banyak lagi kes membabitkan kenyataan dan pendirian bohong
seumpama itu. Paling tidak akan dapat dilupakan rakyat negara ini ialah kenyataan
Perdana Menteri sendiri mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen, Februari
lalu.
Hari ini beliau beriya-iya menafikan kemungkinan desas-desus
itu akan menjadi kenyataan, tahu-tahu keesokannya beliau mengumumkan pembubaran
Parlimen. Susah sangatkah bagi pemimpin dan ahli politik kita untuk
berterus-terang dan bercakap benar?
Berbagai pengalaman itu menyebabkan rakyat semakin sukar
mempercayai sepenuhnya sebarang kenyataan dibuat mana-mana ahli politik. Hari
ini mereka menafikan akan melakukan sesuatu, esoknya mereka benar-benar
melakukannya. Hari ini mereka kelihatan sangat komited dengan satu pihak, suatu
ketika kemudian mereka mungkin tiba-tiba beralih sokongan.
Saya melihat apa yang berlaku beberapa hari lalu
membabitkan Parti Maju Sabah (SAPP) juga dibauri unsur-unsur bohong ini. Rabu
(18 Jun), Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan bahawa partinya telah
hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional (BN), terutama kepemimpinan Perdana
Menteri.
Beliau malah menegaskan bahawa dua Ahli Parlimen mewakili
parti iu tidak akan teragak menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap
Perdana Menteri sekiranya ia dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat nanti.
Sejauh manakah pendirian itu boleh dipegang bakal kita saksikan.
Apa pun kemungkinannya, pengumumanYong itu sekaligus
menyangkal penafian dibuat beberapa pemimpin tertinggi BN mengenai desas-desus
itu. Sehari sebelumnya, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi BN negeri
berkata beliau tidak ada sebarang petunjuk perkara itu akan berlaku. Timbalan
Presiden SAPP pula menafikan partinya akan meninggalkan BN.
Di hari sama, Perdana Menteri berkata beliau tidak
diberitahu apa-apa tentang itu. Munasabahkah selaku Pengerusi BN, beliau tidak
tahu apa-apa mengenai pergolakan terkini dalam parti komponennya? Bohong lagi,
bukan?
Politik negara semakin berkecamuk dan caca-marba mutakhir
ini. Bagi saya, kenyataan dan episod bohong yang bersilih-ganti menyebabkan
Cikgu Hamid semakin ada sebab untuk terus kecewa. Bukan berkaitan nasib menimpa
mana-mana parti politik disokongnya, tetapi kerana etika dan adab berpolitik
sudah semakin diketepikan.
Benarlah kata-kata yang sering diulangsebutnya dulu, “politics is a very dirty game”.
Terimakasih Cikgu kerana mendidik saya tentang kekotoran dunia politik!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah,
bertarikh 18-24 Jamadil Akhir 1429/22-28 Jun 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment