Oleh: Mohd Nasir Awang
PILIHAN Raya Umum ke-12 telah berlangsung pada 8 Mac
lalu. Keputussannya telah diketahui.
Bahkan hasil perubahan yang dibuat rakyat itu telah pun mula dirasai
segenap lapisan masyarakat.
Menyorot kembali kehangatan kempen pilihan raya kali ini,
berbagai isu diketengahkan parti-parti bertanding. Ia mencakupi pelbagai aspek
kehidupan, terutama berkaitan ekonomi, sosial, politik dan agama.
Menjuarai isu-isu dalam pilihan raya ialah soal kenaikan
harga barang dan peningkatan kos sara hidup rakyat. Turut dibicarakan ialah
soal peningkatan gejala sosial dan kes-kes jenayah. Begitu juga dengan soal
ketidakcekapan urustadbir negara dan tahap integriti yang semakin
dipertikaikan.
Tidak kurang dimanipulasikan pelbagai pihak juga ialah
isu berkaitan agama. Status dan kebajikan kuil-kuil Hindu yang didakwa
diabaikan parti pemerintah dikatakan antara punca sokongan kaum India berubah
hala dalam pilihan raya ini. Kaum Cina juga dikatakan tidak senang dengan
beberapa insiden membabitkan tokong Buddha.
Turut mengalami nasib sama ialah beberapa surau dan
masjid, yang menjadi mangsa perobohan oleh pihak berkuasa tempatan atas
pelbagai alasan atau sebab. Umat Islam setempat bangkit membantah. Namun tidak
dapat dipastikan sejauh mana isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam ini
akhirnya diterjemahkan dalam bentuk undi oleh para pengundi Melayu.
Bagi mengimbangi hati rakyat mengenai perobohan itu,
sebuah negeri menjadikan isu pembinaan masjid sebagai modal politik parti
pemerintah. Ia mendakwa telah membina lebih 60 buah masjid dalam masa tidak
sampai empat tahun. Barangkali apa yang mahu digambarkan kepada rakyat, dengan
pembinaan sebegitu banyak masjid bererti kerajaan memang mengambil berat soal
ibadat.
Barangkali parti pemerintah negeri itu mengambil
kesimpulan mudah, bahawa jika pihaknya telah membina sebanyak itu masjid, maka
apa perlu lagi rakyat mengungkit tindakannya merobohkan “hanya” sebuah masjid
di negeri itu?
Isu masjid ini malah dipanjangkan lagi apabila parti
pemerintah negeri sama telah mengheret sebuah negeri jirannya yang kebetulan
diperintah parti politik yang bermusuhan.
Kebetulan juga di negeri berkenaan tidak banyak didirikan
masjid baru memandangkan jumlah masjid sedia ada sudah mencukupi. Di masa sama
masyarakat bukan Islam di negeri tersebut diberikan kebebasan mendirikan
patung-patung sembahan mereka dalam saiz yang luar biasa besarnya.
Maka gambar-gambar yang membezakan pandangan antara dua
negeri itu dijadikan bahan kempen. Di satu negeri massjid-masjid rancak dibina,
di negeri jirannya pula digambarkan seolah-olah dipenuhi patung-patung sembahan
bukan Islam.
Itulah ganasnya dunia politik. Tiada perkara yang berlaku
dalam - atau dilakukan oleh - sesuatu parti yang terlepas dari pandangan dan
manipulasi musuh.
Namun, sejauh manakah pembelaan terhadap masjid dan surau
itu dapat disempurnakan kerajaan yang memerintah adalah suatu yang masih
menjadi bahan bual bicara masyarakat. Perbandingan apa yang berlaku di
kedua-dua negeri disebutkan tadi agak menarik untuk dihalusi.
Di negeri yang didakwa banyak didirikan masjid baru tadi,
rupa-rupanya soal memakmurkan masjid menjadi permasalahan sangat serius. Kekurangan
imam dan bilal yang dilantik kerajaan amat dirasai sehingga mengundang teguran
pihak istana. Bagaimana masjid yang banyak itu hendak dimakmurkan jika pegawai
bertanggungjawab menguruskannya tidak mencukupi?
Ahli kariah yang melazimi masjid-masjidnya hanya boleh
dibilang dengan jari. Tidak ada daya tarikan untuk mereka ke masjid. Majlis-majlis
ilmu seperti kuliah atau tazkirah tidak mendapat sambutan.
Barangkali guru-guru agama yang ditugaskan bukan dipilih
berdasarkan keilmuan, tetapi lebih mengikut tapisan politik? Sebab itu pernah
berlaku guru-guru agama ini mengadakan mogok dan tidak hadir memberikan kuliah
apabila elaun bulanan mereka terlewat dibayar oleh pihak bertanggungjawab.
Keadaan dialami masjid-masjid di negeri jirannya amat
berbeza. Meski pun cuba digambarkan sebagai pusat pembinaan patung-patung
sembahan bukan Islam, masjid dan surau di negeri tersebut sangat makmur dan
penuh aktiviti.
Maka, persoalan yang berbangkit ekoran manipulasi isu
masjid ini ialah apakah keutamaan sebenar dalam perkata ini. Jumlah masjid baru
atau kemakmuran rumah-rumah Allah itu yang lebih utama?
Agama kita menjanjikan ganjaran sangat besar kepada pihak
yang mendirikan masjid. Banyak pihak mampu membinanya asal saja mereka ada
keupayaan kewangan. Apa yang lebih sukar dilaksanakan ialah memakmurkannya
selepas didirikan.
Menurut ajaran Islam, soal memakmurkan masjid bukan mampu
dilaksanakan semua orang. Hanya
orang-orang yang dipilih Allah sahaja layak menyempurnakan tugas itu. Firman-Nya
dalam al-Quran, “Sesungguhnya yang
memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari
Kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut
(kepada apa pun) kecuali Allah. Maka
mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”. (at-Taubah
9:18)
Ertinya, pendorong utama kemakmuran masjid ialah keimanan
seseorang kepada Allah dan hari Akhirat. Sedangkan kedua-dua faktor ini tidak
dapat dinilai dengan mata kasar. Justeru, hanya orang yang beriman atau percaya
pada perkara ghaib sahaja yang akan mampu melaksanakannya.
Bahkan, asas keimanan itu juga sepatutnya menjadi
titik-tolak kepada hasrat mendirikan masjid.
Jika asas pembinaan masjid itu dibuat untuk mengagungkan Allah dan
memperkukuhkan ubudiah, masjid tersebut tidak akan menghadapi masalah untuk
dimakmurkan.
Sebaliknya, jika masjid yang banyak itu dibina untuk
tujuan selain Allah, sama ada bagi mendapatkan mileage politik mahu pun untuk tujuan pelancongan, maka besar
kemungkinan masjid-masjid itu akan gagal dimakmurkan. Keberkatan dari pembinaan
masjid itu sudah tidak ada kerana niat pembinaannya bukan semata-mata kerana
Allah.
Isu pembinaan masjid ini telah menjadi antara bahan
kempen dalam pilihan raya kali ini. Apa pun kesan manipulasi isu tersebut
terhadap sokongan pengundi, suatu yang wajar dijadikan pengajaran ialah ia
bukan sekadar isu politik. Masjid adalah institusi agama. Pembinaan dan
kemakmurannya adalah tuntutan agama yang tidak sepatutnya dijadikan isu
politik.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Bil: 204, Jun 2008 di ruangan ‘Pendapat’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment