Oleh: MOHD NASIR AWANG
SELEPAS isu melompat parti, yang suatu ketika dahulu
tidak dianggap ancaman oleh Barisan Nasional (BN), tetapi tiba-tiba bertukar
menjadi bahan cemuhan para pemimpin parti itu, kini satu lagi amalan tradisi
dan modal politik kebanggaan BN selama ini turut menerima persepsi serupa.
Umum mengetahui amalan memberikan pelbagai subsidi kepada
rakyat telah puluhan tahun menjadi senjata paling ampuh buat BN memenangi hati
rakyat. Tradisi ini amat ketara di negeri-negeri di mana kekuatan parti-parti
pembangkang agak seimbang dengan BN. Huluran subsidi dijadikan umpan BN untuk
memancing sokongan terutama di saat menjelang sesuatu pilihan raya.
Kita tidak maksudkan subsidi itu dengan perkara penting
seperti bahan bakar, pendidikan dan pelbagai bahan makanan, sebagaimana disenaraikan
Perdana Menteri minggu lalu. Subsidi dikeluarkan kerajaan untuk pembelian beras
import, minyak masak, roti, tepung dan seumpamanya itu tidak pernah
dipersoalkan. Bahan-bahan itu adalah keperluan setiap rakyat. Perbelanjaan untuknya
dianggap wajar kerana ia memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
Ada lagi bentuk subsidi dihulurkan kerajaan selama ini
yang terbukti gagal memberi manfaat kepada golongan yang memerlukannya. Malah pengagihannya
terdedah kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Contoh bantuan subsidi yang sering menjadi bahan pertikaian
ialah input pertanian, perkakasan nelayan dan bantuan peniaga kecil. Subsidi dalam
kategori inilah yang secara tradisi dijadikan umpan politik BN dan kaedah
pengagihannya sering menimbulkan keraguan anggota masyarakat.
Saban tahun kerajaan mengeluarkan belanja besar bagi
melaksanakan skim bantuan subsidi ini. Matlamat kerajaan mewujudkannya bagi
membantu golongan yang memerlukan wajar dipuji. Malangnya, tidak semua golongan
sasar berpeluang memanfaatkannya.
Pengagihan subsidi di peringkat kampung dan daerah banyak
bergantung kepada perakuan pemimpin politik. Dalam banyak keadaan, kriteria
pemilihan penerima bantuan sibsidi tidak dibuat berdasarkan status ekonomi
mereka, tetapi lebih kepada merit politik.
Akhirnya bantuan itu tidak sampai kepada golongan sasaran.
Contohnya, ada bot dan perkakasan nelayan diberikan kepada orang yang tidak
pernah turun ke laut. Bantuan beca roda tiga yang sepatutnya dimanfaatkan
golongan peniaga kecil dan penjaja pula ada diperolehi tukang rumah yang tidak
langsung terlibat dengan sebarang perniagaan.
Kepincangan seumpama ini sudah lama disuarakan. Bahkan di
kalangan rakyat yang menjadi mangsa pilih kasih itu, mereka lebih rela jika
subsidi itu ditiadakan. Namun tidak kelihatan usaha bersungguh di pihak
kerajaan memperbetulkan keadaan ini. Ia sebaliknya terus berulang.
Barangkali BN sendiri lebih selesa keadaan sebegitu
berterusan. Ia rela peruntukan subsidi itu tidak dimanfaat golongan sasar. Dengan
itu BN akan sentiasa ada peluang memanipulasi kesusahan dan kesempitan hidup
golongan miskin untuk kepentingan politiknya.
BN tanpa segan mengeksploitasi sepenuhnya kelebihan kuasa
dan kewangan yang ada di pihaknya untuk “membeli” sokongan rakyat. Secara sengaja
juga BN mendidik rakyat, terutama dari kalangan kurang berkemampuan untuk terus
bergantung harap kepadanya.
Mentaliti rakyat diperkotak-katikkan untuk melihat hanya
BN yang mampu menjamin kehidupan yang senang dan makmur. Rakyat dimanjakan dan
dibuai dengan pelbagai subsidi sebagai ganjaran memilih BN untuk memerintah.
Di masa sama, para pemimpin negara acapkali
mengulangsebut bahawa kerajaan ada banyak wang untuk meneruskan apa jua
rancangan pembangunan. Ingat lagi jaminan Perdana Menteri mengenai perkara itu?
“Kita tahu penyertaan dalam misi angkasa lepas ini
memerlukan banyak pelaburan, tetapi kita masih ada wang lagi untuk keperluan
pembangunan lain. Kita ada wang dan kita boleh. Kita benar-benar tahu wang kita
masih ada lagi untuk membawa kesejahteraan pada rakyat dan pembangunan negara,”
kata Perdana Menteri, 22 Oktober 2007 lalu.
Jaminan beliau itu bagi menepis pertikaian pelbagai pihak
mengenai kewajaran kerajaan mengeluarkan belanja besar menghantar “penumpang
angkasa” Malaysia menyertai misi angkasa Rusia tahun lalu.
Kita masih ada wang, ya? Saya percaya, jika diberi peluang
mengulangi kenyataan itu sekarang, barangkali Perdana Menteri sendiri tidak
akan sanggup menyebutkannya semula.
Fenomena kenaikan berterusan harga minyak mentah di
pasaran dunia telah mengubah segala “cakap besar” pemimpin kita sebelum ini. Kerajaan
yang tujuh bulan lalu mendabik dada “kita ada wang” kini tidak lagi berupaya
menampung subsidi minyak yang semakin besar jumlahnya. Lalu pada 4 Jun, Perdana
Menteri mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi bahan api itu.
Harga runcit petrol dinaikkan 78 sen seliter,
menjadikannya RM2.70 seliter berbanding RM1.92 sebelumnya. Harga runcit diesel
pula menokok RM1 seliter, menjadikannya RM2.58 daripada RM1.58 sebelum ini.
Bermula saat itu kalimah subsidi yang selama ini menjadi
kebanggaan BN tiba-tiba bertukar menjadi suatu sebutan sangat menakutkan. Suara-suara
agar kerajaan menghapuskan amalan subsidi mula kedengaran.
Bahkan ada pihak secara terbuka mengisytiharkan subsidi
sebagai candu masyarakat. Bahawa penggantungan rakyat terhadap subsidi kerajaan
adalah mentaliti yang merugikan negara dan perlu dikikis.
“Memberi subsidi umpama memberi candu. Apabila rakyat
menjadi penagihnya, amat sukar untuk menariknya kembali kerana mereka akan mula
mempersoalkan kenapa ia perlu dikurangkan,” kata seorang senator, minggu lalu.
Gambaran diberikannya itu memang benar. Soalnya, siapa
yang bertanggungjawab menyemai dan menyuburkan mentaliti kebergantungan
terhadap subisidi itu, jika bukan BN sendiri?
Kini apabila sudah terdesak baru ingat nak mengajar
rakyat berdikari. Usaha itu bukan lagi suatu yang mudah.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 11-17 Jamadil Akhir 1429/15-21 Jun 2008 di
kolum “Perspektif” dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment