Sunday, June 22, 2008

Berjimat-cermat bukan sekadar soal wang


“Rakyat diseru agar berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian dan mengelakkan sebarang bentuk pembaziran”

Oleh: Anuwa Jamalullail

KALAULAH dikatakan isu kenaikan mendadak harga minyak di pasaran tempatan beberapa minggu lalu ada hikmah dan kebaikannya, maka impak paling positif setakat ini ialah ia mengubah tabiat berbelanja mewah diamalkan kerajaan selama ini.

Kekangan kewangan yang dihadapi negara kini memaksa kerajaan beralih kepada kempen berjimat-cermat. Sebab itu di antara seruan paling awal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tatkala mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel, 4 Jun lalu ialah agar rakyat mengubah gaya hidup. Rakyat diseru agar berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian dan mengelakkan sebarang bentuk pembaziran.

“Langkah berjimat ini bukan untuk kita menjadi kedekut, tetapi jangan sampai berlaku pembaziran. Kita mesti kurangkan pembaziran dalam apa jua perkara yang ada hubung kait dengan kehidupan”, kata Abdullah.

Di nilai dari satu sudut, seruan agar rakyat berjimat-cermat semacam sudah tidak relevan. Ini kerana majoriti mereka sebenarnya sudah lama mempraktikkan gaya hidup sederhana sebegitu. Rakyat, terutama golongan bawahan, sudah cukup terhimpit oleh kenaikan demi kenaikan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu.

Jangan dikatakan untuk berbelanja pada perkara yang tidak perlu atau cenderung kepada pembaziran, pada perkara yang sepatutnya mereka belanjakan pun ada ketikanya rakyat terpaksa membatalkannya. Maka, apa relevannya lagi meminta mereka berjimat-cermat?

Sebab itu tidak menghairankan apabila ada pihak yang memberikan reaksi agak sinikal terhadap seruan Perdana Menteri itu. Bagi mereka, adalah tidak manis jika seruan itu hanya ditujukan kepada rakyat bawahan saja. Seeloknya ia turut dipraktikkan para pemimpin tertinggi negara sendiri. Di situlah timbulnya saranan agar elaun para pemimpin negara turut dipotong.

“Sepatutnya diumumkan juga pemotongan elaun, pemotongan pelbagai faedah yang mereka (para menteri) dapat. Itu sepatutnya dipotong kalau sama-sama mahu melihat kita sama-sama berjimat”, cadang Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, pada sidang medianya, 7 Jun lalu.

Sebagaimana lazimnya, gesaan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu disambut sinis dan pesimis beberapa pemimpin Barisan Nasonal (BN). Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Roslan Awang Chik menyifatkan saranan itu tidak memberi apa-apa makna dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga minyak.

“Menteri di Malaysia tidak ramai, hanya kira-kira 30 orang saja dan kalau dipotong RM1,000 sebulan usaha itu hanya mampu mengumpulkan RM30,000 sahaja”, katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, pula menyifatkan cadangan Salahuddin itu tidak rasional dan lebih bersifat emosi.

“Jangan buat sesuatu kerana kita marah. Kita fokus pada yang rasional. Kalau buat cadangan yang rasional, baru ada kesannya tapi bukan sebab rasa geram dengan menteri”, katanya.

Seperti Roslan, Shahrir turut menganggap jumlah penjimatan hasil pemotongan elaun para menteri adalah terlalu kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara.

“Kalau potong elaun menteri-menteri, tidak sampai RM1 bilion pun. Kalau elaun menteri sampai berbilion, saya rasa ada kesan”, katanya sinis.

Ekoran reaksi negatif para pemimpin BN itu, ramai menyangka kerajaan tidak akan melayan saranan Ketua Pemuda PAS tadi. Sebab itu agak memeranjatkan apabila akhirnya kerajaan mengakui kewajaran tuntutan itu.

Perdana Menteri pada 9 Jun lalu mengumumkan keputusan kerajaan memotong 10 peratus elaun keraian diterima Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, bermula 1 Julai nanti.

Beliau turut mengumumkan beberapa langkah lain dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Ia termasuk membekukan cuti berbayar menteri dan timbalan menteri, mengehadkan perjalanan mereka ke luar negara, menangguhkan sebarang pembelian aset kerajaan dan lain-lain. Langkah diambil kerajaan itu, menurut Abdullah, dijangka dapat menjimatkan RM2 bilion setahun.

Pengumuman Perdana Menteri itu secara tidak langsung menempelak sikap negatif dan pesimis ditunjukkan Roslan dan Shahrir sebelumnya. Bahkan, jumlah penjimatan RM2 bilion setahun diumumkan Abdullah itu juga membuktikan congakan dibuat kedua-dua mereka itu amat pesimis.

Mereka menuduh Salahuddin memberikan cadangan bersifat emosional dan geram terhadap menteri, tetapi reaksi mereka itu sebenarnya yang tidak raisonal, penuh prejudis dan berbaur emosi.

Apa pun pertikaian politik yang dikemukakan, episod ini mengajar kita sekurang-kurangnya dua perkara penting. Pertama, sesuatu tindakan melibatkan kepentingan awam perlu selari dengan slogan kepimpinan melalui teladan. Sebarang perubahan tidak wajar dipaksakan ke atas rakyat sahaja tanpa melibatkan para pemimpin.

Mereka perlu menjadi contoh di atas setiap perkara yang diserukan. Kesan amat ketara apabila langkah penjimatan diumumkan Perdana Menteri itu segera diikuti kerajaan negeri-negeri. Sehingga rencana ini ditulis, sudah enam negeri menyatakan kesediaan memotong elaun anggota Exco masing-masing. Negeri-negeri tersebut ialah Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka, Pahang dan Kedah.

Pulau Pinang pula mengambil langkah menangguhkan perbelanjaan penting membabitkan kemudahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Speakernya. Manakala Kelantan sudah tidak perlu mengisytiharkan langkah itu memandangkan para pemimpinnya telah hampir 20 tahun mengamalkan langkah berjimat-cermat seumpama itu.

Pengajaran kedua dari episod berjimat-cermat ini ialah kesedaran umum yang lebih positif terhadap keburukan pembaziran. Di sisi Islam membazir bukan sahaja dikira apabila berbelanja melebihi keupayaan atau kemampuan kewangan. Ia malah lebih tepat bermaksud berbelanja pada sesuatu yang tidak perlu atau tidak mustahak. Sekira-kiranya, jika tidak dihabiskan wang pada perkara itu, kehidupan masih tidak terjejas.

Ertinya, soal membanteras pembaziran tidak sepatutnya semata-mata kerana disebabkan kekangan kewangan. Ia soal hukum dan tuntutan agama. Al-Quran malah menyifatkan seorang pembazir sebagai kawan kepada syaitan. Maka usaha mengelakkan pembaziran adalah tuntutan sepanjang masa, sama ada ketika kekurangan wang atau di masa mewah.

Kesimpulannya, moral dalam cadangan pemotongan elaun para menteri tadi bukan sekadar soal wang. Bukan jumlah ratusan juta atau puluhan bilion yang menjadi keutamaan dalam isu ini. Dua pengajaran tadi jauh lebih bermakna bagi rakyat berbanding jumlah penjimatan RM2 bilion yang dijangkakan Perdana Menteri itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 22-28 Jun 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment