Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
KERAJAAN Barisan Nasional (BN) jelas cuba menutup
kelemahan sendiri apabila cuba menyalahkan para petani di atas kegagalan
beberapa program pertanian di Terengganu kebelakangan ini. Lalu dikatakanlah
kononnya keghairahan penduduk yang lebih gemar bercakap hal politik di kedai
kopi tanpa memberi tumpuan kepada kerja menjadi punca utama kegagalan
program-program pertanian yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
Dakwaan tersebut dibuat Pengerusi Pertubuhan Peladang
Terengganu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman, di Besut, 25 Mei lalu. Menurut bekas
anggota Exco negeri itu, golongan petani terbabit dikatakan leka bercakap soal
politik sehingga lupa tanggungjawab mereka memajukan sektor pertanian di
kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian pada majlis meraikan lawatan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di Gong Macang,
Besut.
Tidak dapat dipastikan kawasan mana dan projek pertanian
mana yang Wan Zakaria maksudkan sebagai gagal itu. Bagaimana pun, kenyataan
bekas wakil rakyat BN itu difahami cuba mencari justifikasi untuk mengaitkan
sebarang kegagalan projek dengan para peserta di situ dari kalangan penyokong
pembangkang.
Bagi mereka yang mengetahui keadaan sebenar yang melanda
sektor pertanian negeri itu, kenyataan bekas Ketua Umno Bahagian Besut itu disifatkan
sangat tidak bertanggungjawab dan membelakangi fakta.
“Mujur ada puak-puak PAS yang menanam di sini, ada juga
hasilnya (kejayaan). Kalau harapkan puak-puak Umno (yang jadi peserta projek
pertanian), jong jual baja (subsidi) boleh lah!”, komen seorang penduduk
setempat yang tidak mahu dikenali.
Sepertimana beberapa rakan lain, beliau turut bersetuju
apabila dikatakan punca utama kegagalan projek pertanian ialah kerana
campurtangan politik yang melampau dalam pelaksanaannya. Beliau malah mengakui,
dalam kebanyakan projek sedemikian, pertimbangan politik dikatakan bermula
seawal pemilihan peserta lagi.
Pengakuan ini mengingatkan kita kepada kegagalan yang
pernah dialami program Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2006 (TPNT06) dulu.
TPNT06 dilancarkan di atas hasrat membasmi kemiskinan di kalangan petani,
penternak dan nelayan.
Objektif utama TPNT06 ialah mempertingkatkan pendapatan
10,000 golongan sasar itu paling kurang RM500 sebulan. Malangnya, promosi dan
tumpuan kerajaan negeri selama setahun bagi menjayakan misi itu gagal
membuahkan hasil sepatutnya.
Punca utama kegagalan itu ialah campurtangan berlebihan
orang-orang politik di dalam pelaksanaannya. Malah ada projek dinikmati
kelompok peserta di luar golongan sasar dimaksudkan.
Pelaksanaan TPNT06 tertumpu kepada tiga projek utama
iaitu fertigasi, penanaman pitaya (dragon
fruit) dan akuakultur. Ketiga-tiga projek tersebut mensasarkan golongan
berbeza.
Projek fertigasi dimulakan sekitar Mei 2006 dengan
peruntukan RM20 juta. Ia dilaksanakan Terengganu Agrotech Development
Corporation (TADC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Oleh kerana TADC
tidak mempunyai sumber manusia dan kepakaran, tugas itu akhirnya diserahkan
kepada Jabatan Pertanian negeri pada Oktober 2006.
Dengan hanya dua bulan berbaki sebelum tamatnya tahun
2006, kepincangan yang ada amat sukar ditangani. Apatah lagi jabatan berkenaan
dikatakan tidak pernah dirunding di dalam pemilihan peserta dan kontraktor
pelaksana. Kuasa menentukan perkara itu sepenuhnya di tangan Adun kawasan
masing-masing.
Campurtangan politik menyebabkan seramai 275 peserta projek
yang dipilih lebih di atas merit politik, bukan berdasarkan minat dan komitmen
memajukan projek.
Fertigasi merupakan kaedah pertanian baru yang melibatkan
aplikasi teknologi. Dengan pelaksanaan yang tergesa-gesa tanpa perancangan
terperinci, pengetahuan dan kemahiran mencukupi, projek itu akhirnya gagal
mencapai matlamat meningkatkan pendapatan golongan sasar.
Projek penanaman pitaya (dragon fruit) pula dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi
Negeri (UPEN) di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Peruntukan RM40
juta disalurkan terus daripada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
Pemilihan peserta sekali lagi terdedah kepada mainan
politik apabila ia dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
dan diajukan terus kepada UPEN. Jabatan-jabatan berkaitan PPRT seperti Jabatan
Pertanian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga tidak dirunding.
Kes serupa berlaku kepada projek akuakultur bernilai RM50
juta di Zon Industri Akuakultur (ZIA), Tasik Kenyir. Ia juga kini menghadapi
masalah dan dikatakan antara projek yang dikritik hebat Menteri Besar
Terengganu, Datuk Ahmad Said baru-baru ini. Antara sebab dikenalpasti ialah
faktor pemilihan peserta yang tidak komited dengan projek berkenaan.
Itulah jadinya apabila perancangan dan pelaksanaan
sesuatu projek terlalu dibayangi perkiraan politik. Setakat ini, BN sendiri
sukar menafikan bahawa itulah sebenarnya punca utama kegagalan projek-projek
pertanian di Terengganu.
Justeru, amat tidak munasabah selaku ketua sebuah agensi
bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek pertanian negeri, Wan Zakaria cuba
menyalahkan pihak lain atas kegagalan itu.
Bahkan ada pihak yang menilai kenyataan beliau itu
sebagai usaha mencari justifikasi untuk meminggirkan para peserta dari kalangan
penyokong pembangkang. Kononnya mereka itu tidak layak diberi bantan kerana asyik
bercakap soal politik, sehingga gagal memajukan projek.
Jika andaian itu benar, jelas sekali bekas Adun BN itu
masih tidak dapat membezakan antara kepentingan umum dengan kepentingan politik
kepartian, termasuk dalam hal penyaluran bantuan pertanian.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, 26 Jamadil Awal-3 Jamadil Akhir 1429/1-7 Jun 2008
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment