Oleh: MOHD NASIR AWANG
PARA pemimpin Barisan Nasional (BN) ternyata cuba
menenangkan perasaan sendiri apabila terus memperlekehkan kemenangan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, minggu
lalu. Malangnya, dalam usaha memperkecilkan kejayaan pihak lain, mereka terlupa
bahawa hujah dan sandaran yang mereka kemukakan boleh pula dijadikan bahan
mempertikaikan kemenangan dan kekuatan BN sendiri.
Meski pun BN berkeputusan tidak ikut serta menyuburkan pesta
demokrasi di Penanti, semua orang dapat melihat betapa parti itu tidak sekadar
berdiam diri terhadap perkembangan di sana. Apatah lagi kebanyakan kenyataan
dan ulasan dibuat para pemimpin BN secara tersirat menggambarkan keluh-kesah dan
serba salah mereka dalam menghadapi tempoh tersebut.
Pada edisi lalu, saya telah mengulas mengenai kepalsuan “prinsip”
yang dipegang BN. Betapa sikap parti itu tidak menyertai pilihan raya di
Penanti, semata-mata kerana dakwaan ia bukan diadakan atas faktor yang menepati
Perlembagaan, adalah suatu yang amat kabur dan boleh dipertikaikan.
Saya turut menyertakan dua contoh bagaimana BN sendiri
pernah merencanakan perletakan jawatan wakil rakyatnya bagi memberi laluan
kepada pilihan raya kecil, semata-mata untuk menyelesaikan kebuntuan politik
dalaman parti itu.
Di sebalik kepalsuan “prinsip” itu, BN masih boleh
berbangga apabila pemboikotan yang dicanangkannya sejak perletakan jawatan
bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, pertengahan April lalu boleh
dikatakan berjaya. Tidak syak lagi kempen dan propaganda berterusan para pemimpin
BN dan media dikuasai mereka telah berjaya mempengaruhi minda pengundi di
Penanti.
Satu persepsi negatif telah berjaya dibentuk terhadap pilihan
raya itu sehingga lebih separuh daripada pemilih berdaftar tidak lagi melihat
ia suatu yang signifikan. Mereka tidak keluar menunaikan tanggungjawab. BN
jangan pula menafikan ia bertanggungjawab terhadap kemerosotan ketara peratusan
keluar mengundi itu.
Pada pilihan raya 31 Mei lalu, hanya 7,100 daripada
15,384 pemilih berdaftar keluar menjayakan proses demokrasi itu. Jumlah itu
membentuk hanya 46.15 peratus dan merekodkan peratusan mengundi terendah dalam sejarah
pilihan raya negara.
Bagai diduga sedari awal, calon PKR, Dr. Mansor Othman
menang besar. Beliau memperolehi 6,052 undi sekaligus mengatasi pencabar terdekatnya,
Nai Khan Ari Nan Keow dengan majoriti 5,558 undi.
Calon Bebas itu memungut 494 undi. Dua lagi calon Bebas, Aminah
Abdullah mendapat 392 undi dan Kamarul Ramizu Idris mengutip 56 undi. Ketiga-tiga
mereka hilang wang pertaruhan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, calon PKR, Mohamad Fairus
Khairuddin menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti
2,210 undi. Fairus memperolehi 7,346 undi berbanding Abdul Jalil yang mendapat
5,127 undi.
Meski pun berjaya meningkatkan majoriti kemenangan lebih
dua kali ganda, undi diraih Mansor menampakkan kemerosotan sebanyak 1,294
berbanding undi diperolehi Fairus. Fakta itulah yang diperbesarkan para
pemimpin BN. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan kemenangan PKR
itu bukan suatu yang boleh dibanggakan. Beliau menganggap kemerosotan undi
dipungut calon PKR beserta penurunan jumlah keluar mengundi sebagai bukti ia
bukan kemenangan mutlak buat parti itu.
Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi fakta
sama. Baginya, kemerosotan jumlah undi diperolehi calon PKR berbanding pilihan
raya lalu adalah petanda bahawa BN mempunyai kekuatan di Penanti.
“PKR
janganlah kata mereka hebat sangat. Sepatutnya dengan BN tidak bertanding,
parti pembangkang itu mampu mendapat undi yang lebih besar daripada wakil rakyat
sebelum ini. Secara tidak langsung sebenarnya BN mempunyai kekuatan, cumanya
kita tidak bertanding”, ujarnya.
Itulah yang saya maksudkan di awal tadi. Bahawa dalam
usaha menenangkan perasaan sendiri, para pemimpin BN mungkin terlupa hujah
mereka gunakan itu sebenarnya mendedahkan parti itu sendiri kepada pertikaian
serupa.
Maksud saya, dengan hujah kemerosotan undi itu tidak
salah bagi pembangkang mendakwa ia ada kekuatan dalam politik negara ini
apabila jumlah kerusi dimenangi BN merosot teruk dalam pilihan raya lalu. Bahkan,
BN juga tidak boleh mendakwa kemenangannya untuk terus memerintah Malaysia dan
baki beberapa negeri sebagai kemenangan mutlak. Bukankah undi dan kerusi
dimenangi BN merosot di hampir kesemua negeri?
Jangan dikatakan di negeri-negeri yang diketahui sebagai
kubu kuat pembangkang, Johor yang diakui sebagai “negeri paling kuat Umno dalam
dunia” itu pun turut dilanda fenomena serupa. Daripada kemenangan mutlak 26
kerusi Parlimen pada 2004, BN tewas di satu kerusi pada 2008.
Di peringkat Dun pula, BN menawan 55 daripada 56 kerusi
pada 2004. Tahun lalu, jumlah kerusi terlepas ke tangan pembangkang meningkat
kepada enam.
Penelitian saya terhadap keputusan pilihan raya negeri
itu secara terperinci turut mendapati fakta lebih menarik. Daripada 50 kerusi
dimenangi BN di Johor, hanya dua kerusi menyaksikan penambahan majoriti, iaitu
di Rengit dan Sedili. Itu pun di bawah 700 undi sahaja.
Ada pun baki 48 Dun lagi menyaksikan kemerosotan ketara
majoriti kemenangan BN. Bahkan, di tiga Dun, iaitu Stulang, Nusa Jaya dan
Penggaram, majoriti BN merosot lebih 10,000 undi berbanding 2004.
Paling menarik ialah kemerosotan undi dan majoriti
kemenangan diperolehi Muhyiddin sendiri. Dalam pilihan raya lalu beliau hilang
lebih 2,000 undi dan majoriti kemenangannya merosot hampir 6,000 undi
berbanding 2004.
Maka menggunapakai hujah beliau tadi, apakah beliau
menerima hakikat kemenangan beliau sendiri tidak mutlak dan parti lawannya ada
kekuatan di Parlimen Pagoh?
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 13-19 Jamadilakhir 1430/7-13 Jun 2009 di kolum
‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment