Oleh Mat Zain Mat Isa
TIDAK syak lagi punca utama pertikaian dan penolakan banyak pihak
terhadap sebarang usaha mana-mana pemimpin PAS merundingkan perpaduan dengan
Umno adalah disebabkan sejarah dan pengalaman pahit membabitkan hubungan antara
kedua-dua parti itu.
Selain dosa-dosa silam Umno yang tidak mudah dilupakan ahli-ahli PAS,
sikap dan layanan buruk parti pemerintah itu terhadap PAS dalam menangani
situasi politik terkini memburukkan lagi hubungan antara pendokong
masing-masing.
Di sebalik itu semua, Umno tidak pernah menampakkan sebarang penyesalan
atas kedurjanaan yang pernah dilakukannya terhadap PAS. Sebagai parti
pemerintah, ia menangkap dan menyeksa para pemimpin dan ahli PAS, sama ada di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau lain-lain peruntukan
undang-undang.
Umno sebagai teraju negara dan negeri-negeri dikuasainya sejak merdeka
terlibat menyisih dan mendiskriminasi para penyokong PAS dalam segala macam
bentuk dan urusan. Sebegitu ramai penjawat awam dari kalangan penyokong PAS
ditindas, ditukar kerja ke tempat yang jauh, disekat kenaikan pangkat dan
dikongkong setiap gerak-geri.
Rakyat yang menyokong PAS ditakutkan dengan berbagai cara. Para petani
dinafikan bantuan baja dan input pertanian. Yang jadi nelayan pula hanya
berputih mata melihat rakan ahli Umno memperolehi segala macam subsidi dan
bantuan kewangan. Kelayakan menerima bantuan semata-mata atas merit politik.
Dalam sejarah pemerintahan negara pula, manipulasi kuasa politik Umno di
peringkat Pusat memungkinkan ia melakukan beberapa rampasan kuasa secara tidak
demokratik di negeri-negeri diperintah parti lawan, terutama di bawah PAS.
Kerajaan PAS Terengganu yang berakhir pada 1961 adalah tragedi pertama angkara
politik wang Umno.
Kalaulah Umno tidak mengkhianati keikhlasan PAS menyertai Barisan
Nasional dulu, sehingga meninggalkan PAS tanpa pilihan melainkan keluar dari
gabungan itu, sudah tentu perseteruan antara penyokong masing-masing tidak
setebal kini.
Pengalaman PAS menyertai BN bukanlah serba-serbi menyeronokkan. PAS
terpaksa berhadapan perpecahan dalaman yang teruk apabila tidak semua ahlinya
bersetuju dengan keputusan tersebut. Keretakan dalaman PAS paling menyerlah di
Kelantan. PAS yang menyertai Pilihan Raya Umum 1974 di atas tiket BN menerima
tentangan paling hebat daripada bekas-bekas pemimpinnya sendiri yang bergabung
membentuk Pakatan Bebas Bersatu.
Pengorbanan PAS itu bagaimana pun tidak dihargai langsung oleh Umno.
Parti itu mengkhianati kesetiaan PAS apabila kekuatan politiknya pulih kembali.
Dosa Umno itu menjadi bahadi yang kekal menghantui ahli PAS hingga kini.
Kalaulah tidak kerana Umno yang merancang memporak-perandakan negeri
Kelantan sehingga memudahkan parti itu merampas pemerintahan negeri daripada
PAS hampir 30 tahun lalu, nescaya para pemimpin PAS tidak begitu sukar
memaafkan parti itu.
Katakanlah para pemimpin Umno Terengganu tidak bersikap rakus dan ganas
sepanjang pemerintahan PAS di negeri itu sedekad lalu. Kerajaan PAS tidak
digugat dan digigit dengan segala macam karenah, penafian dan diskriminasi.
Penipuan dan sabotaj tidak direncanakan sedemikian rupa menerusi pilihan raya
2004.
Umno perlu buktikan keikhlasan di Perak
Maka banyak pihak boleh setuju pada adatnya kerajaan itu besar
kemungkinan belum jatuh. Rakyat Terengganu pula tidak mungkin ditimpakan dengan
berbagai kezaliman, termasuk perampasan tanah, perobohan rumah, penafian segala
anugerah yang telah diberikan PAS tetapi sewenangnya dibatalkan kerajaan Umno
yang mengambilalih pemerintahan.
Umno boleh mendakwa ia sudah insaf dan mahu berubah. Ia tidak lagi
sezalim dulu dan mahu memperbetulkan kesilapan dan menebus segala dosanya
terhadap PAS. Bak kata timbalan presidennya minggu lalu, segala kesilapan itu
di bawah pemimpin Umno yang dulu-dulu. Pemimpin Umno sudah bertukar, pemimpin
PAS juga sudah berganti yang baru.
Dakwaan itu sudah tentu tidak sukar diterima, termasuk oleh orang-orang
PAS, sekiranya tragedi hitam perampasan kuasa secara tidak bermoral di Perak
tidak berlaku hanya beberapa ketika sebelum ini. Umno perlu buktikan ia ikhlas
untuk berubah dan mencintai perdamaian serta perpaduan. Ia perlu mewujudkan
suasana lebih kondusif dan konstruktif terhadap kerjasama dan perundingan ke
arah itu.
Dalam keadaan yang ada, rakyat tidak mengharapkan Umno sebagai tunjang
BN menyerahkan kembali sebulatnya pemerintahan di Perak kepada PAS dan Pakatan
Rakyat. Umno masih boleh mempertahankan maruah dan egonya sebagai parti yang
berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti rakyat.
Cara bermaruah ialah ia mengembalikan hak memilih kerajaan kepada
rakyat. Adakah Umno bersedia menunjukkan keikhlasannya mengusahakan perpaduan
dengan parti lawan dan memulai pembuktian itu di Perak?
Setelah segala yang berlaku itu, jangan salahkan orang PAS sekiranya
mereka terlalu sensitif terhadap sebarang usaha berbaik-baik dengan musuh
tradisi mereka itu. Jika anda seorang ahli PAS yang pernah menjadi mangsa
kezaliman, keegoan, penindasan dan pengkhianatan Umno, anda tidak akan sukar
memahami bagaimana pendirian tersebut terbentuk.
Sebab itu, jangan dikatakan untuk mengusahakan penyatuan dalam bentuk
yang berpanjangan, usaha mengadakan kerjasama bagi tujuan tertentu demi
kepentingan negara dan agama pun sering menimbulkan perbahasan hangat.
Yang menyulitkan perpaduan antara kedua mereka ialah sikap dan pendirian
Umno sendiri yang tidak bersedia mengakui dosa dan kesalahannya. Jauh sekali
untuk meminta maaf atas kedurjanaannya itu.
Perpaduan hanya berhasil menerusi keikhlasan. Sedangkan keikhlasan itu
perlu dibuktikan menerusi perubahan sikap dan pendirian. Umno perlu terlebih
dahulu berubah jika mahu tanggapan orang PAS terhadapnya diubah.
(Artikel ini
disiarkan laman harakahdaily.net pada 23 Jun 2009. Ia dipetik laman wargamarhaen.blogspot.com/
dan pemudasarawak.wordpress.com/ pada hari sama, diikuti laman detikdaily.net dan suwaritimur.blogspot.com/.
pada 24 Jun 2009)
No comments:
Post a Comment