Oleh: Mohd Nasir Awang
AWAL bulan lalu (Mei) negara kita sekali lagi menjadi
tumpuan dunia, khususnya khalayak pedagang, peniaga dan pengusaha industri.
Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2009 (Mihas 2009) di ibu negara berjaya
menarik penyertaan 30 buah negara, antaranya Iran, China, Palestin, Indonesia,
Singapura, Thailand, Mesir, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Sehubungan dengan acara yang menghimpunkan ratusan
penggiat ekonomi serata dunia itu, berbagai persidangan, forum dan rundingan
perdagangan diadakan. Antaranya ialah Forum Halal Sedunia dan Persidangan Penyelidikan
Halal Sedunia, yang masing-masing dihadiri para delegasi dari 40 buah negara.
Beberapa fakta menarik berkaitan dengan industri halal
dunia turut didedahkan buat pengetahuan umum. Antaranya, nilai industri makanan
halal dunia sekarang adalah AS$635 bilion (RM22.4 trilion). Jumlah itu
bagaimana pun membentuk penguasaan hanya 16 peratus saiz pasaran makanan
global. Sedangkan penduduk Islam sedunia kini berjumlah 1.8 bilion atau 28
peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.
Turut dimaklumkan, nilaian eksport produk makanan halal
Malaysia ke negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bernilai
AS$900 juta (RM3.2 bilion) pada tahun ini. Meskipun angka itu masih terlalu
rendah berbanding jumlah pasaran halal global, ia sekurang-kurangnya
menunjukkan peningkatan berbanding AS$640 juta (RM2.26 bilion) pada 2007.
Melihatkan peranan dan usaha proaktif dimainkan Malaysia
sebagai hab halal dunia, sumbangan negara terhadap industri halal dunia amat
berpotensi dipertingkatkan. Sehubungan itu, negara kita telah memberikan
komitmen mempertingkatkan lagi penghasilan produk-produk halal untuk kegunaan
umat Islam sejagat.
Antara idea baru dilontarkan ialah kemungkinan Malaysia
menerokai industri pengeluaran gelatin halal daripada kelapa sawit. Satu fakta
yang memilukan umat Islam ialah hanya satu peratus pengeluaran gelatin dunia
dihasilkan daripada sumber halal.
Sudah tentu kepincangan ini mesti diperbetulkan. Malaysia
bukan sahaja bertanggungjawab menyumbang kepada kesucian makanan, malah sebagai
negara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia, negara kita turut berkemampuan
menerokai penghasilannya.
Negara kita juga menyatakan komitmen membantu
Bosnia-Herzegovina membangunkan taman halal seluas 20 hektar di negara itu
dengan nilai pembangunan sebanyak Euro100 juta (RM469.6 juta).
Menerusi perjanjian kerjasama itu, negara kita yang
diwakili Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC), akan membekalkan
kepakaran teknikal kepada negara berkenaan. Malaysia akan menetapkan piawaian halal
dalam bidang makanan dan juga perkhidmatan seperti perbankan dan kewangan.
Setakat ini, usaha dan peranan negara kita dalam
mengangkat kesedaran dunia tentang industri halal ini amat mengagumkan. Tidak
syak lagi kita boleh dianggap sebagai pelopor dan pemain utama industri itu di
rantau ini, jika pun tidak di seluruh dunia.
Bagaimana pun, perbincangan meluas dan bersungguh
berkenaan peranan negara kita menjulang produk halal itu seolah-olah tercemar
apabila media turut mendedahkan beberapa fakta tidak menyenangkan mengenai
status halal beberapa produk dan perkhidmatan dalam negara kita sendiri.
Amat memilu dan menyedihkan apabila dikatakan kebanyakan
hotel di negara ini tidak mempunyai sijil halal yang disahkan pihak berwajib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom,
mendedahkan hanya 27 buah hotel di seluruh negara setakat ini memiliki sijil
halal yang disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC). Jumlah
itu adalah peningkatan hanya dua buah berbanding jumlah tahun lalu.
“Tahun lalu, sebanyak 25 hotel memiliki sijil halal yang
disahkan”, katanya selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Dunia Halal,
bersempena Mihas di ibu negara.
Katanya, daripada jumlah itu, majoriti hotel yang
memiliki sijil halal yang disahkan adalah terdiri daripada hotel berstatus tiga
bintang.
Menurutnya lagi, ada permohonan untuk memiliki sijil
halal terpaksa ditolak ekoran kegagalan pengusaha hotel memenuhi prasyarat
minima iaitu sekurang-kurangnya dua pekerja Islam tempatan ditugaskan di
bahagian dapur hotel, selain faktor kebersihan dan penggunaan bahan-bahan
masakan yang halal.
Satu laporan dari Kuantan mengenai isu sama pula
memberikan perangkaan yang tidak kurang memalukan. Sebanyak 80 peratus daripada
kira-kira 400 hotel di seluruh negeri Pahang didapati tidak memiliki sijil
halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Laporan itu memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Penyelidikan JAIP, Zakaria Mohamed sebagai berkata, fenomena itu berlaku
disebabkan kurangnya kesedaran di kalangan pengusaha hotel terhadap sensitiviti
pelanggan Islam.
“Jika di bandar ini (Kuantan), hanya lapan hotel memiliki
sijil halal dan ini berlaku kerana kurangnya kesedaran di kalangan mereka
(pengusaha hotel)”, katanya.
Negara kita sudah diiktiraf dunia sebagai pemain utama
industri halal dunia. Kita dijadikan contoh oleh beberapa negara Islam sebagai
pengeluar produk makanan dan perkhidmatan halal. Paling tidak pun, kitalah tuan
rumah kepada forum, persidangan dan pameran halal sejagat saban tahun.
Menilai keghairahan negara kita dalam menjulang kalimah ‘HALAL’
di persada dunia, adalah sedikit tidak munasabah apabila status halal pada
tempat-tempat tumpuan pengguna Islam dalam negara sendiri masih di tahap
menyedihkan. Isu sijil halal pada hotel-hotel tadi adalah contoh.
Kepincangan ini tidak dapat tidak mesti diperbetulkan.
Jangan sampai kita dikata orang ibarat ayam jantan yang kokoknya
berderai-derai, tetapi ekornya masih bergelumang tahi!
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Jun 2009 di ruangan 'pendapat' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment