Sunday, June 21, 2009

Rakyat muak kemelut berpanjangan Umno Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SAMA ada satu perubahan sikap atau terdorong oleh keadaan terpaksa, keterbukaan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh, dalam memperkatakan kemelut dihadapi kepimpinan partinya di negeri itu adalah suatu yang agak luar daripada kebiasaan.

Selalunya apabila masyarakat umum rancak memperkatakan tentang pergeseran atau masalah dalaman Umno, para pemimpin parti itu akan berlumba-lumba membuat kenyataan menafikan perkara itu. Umno cuba digambarkan sebagai parti yang tidak ada masalah, walau pun mereka sedar penafian mereka itu ibarat cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru. Bukan sahaja bau busuknya tidak dapat dihalang daripada merebak, bahkan fizikal bangkai itu juga terserlah dipandang orang.

Para pemimpin Umno Terengganu memang bergelumang dengan masalah. Mereka maklum tentang hal itu dan mereka juga sedar sebarang usaha menutupnya tidak akan berhasil. Mahu tidak mahu, hakikat itu terpaksa diterima.

“Saya tidak boleh duduk di sini dan kata kita (Umno Terengganu) tidak ada masalah, bahkan semua parti ada masalah, bukan sahaja Umno... jadi persoalan sekarang bukan menafikan wujudnya masalah, tetapi bagaimana kita tanganinya,” ujar Wan Farid, sepertimana dipetik akhbar harian, Rabu (17 Jun).

Menurutnya, sebarang penyelesaian memerlukan pendekatan memberi dan menerima, sementara setiap rundingan yang dilakukan pula tidak boleh menjadikan seseorang itu mengambil serta mempertahankan kepentingan dirinya semata-mata.

Tidak syak lagi pengakuan terus terang bekas calon Barisan Nasional (BN) yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu itu merujuk secara terbuka kepada masalah perebutan kuasa sedang dihadapi partinya.

Umno Terengganu memang diketahui dan diakui bermasalah. Bermula isu perebutan jawatan menteri besar pada Mac 2008, pertembungan antara puak-puak bertelagah di negeri itu tidak kunjung reda.

Pertengahan April lalu pertelagahan sesama para pemimpin Umno kembali menguasai bual bicara masyarakat apabila berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Desas-desus akan adanya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu menghangatkan suasana.

Ia membawa kepada satu isu lain yang lebih memalukan Umno negeri, iaitu isu servis mesej singkat (sms) ugutan kepada tiga Adun BN yang dianggap pemain utama di sebalik usul tersebut. Kehangatan perbalahan antara dua puak tadi tambah mendidih.

Apatah lagi cara gaya isu itu dimainkan menampakkan seolah-olah kerja jahat itu didalangi pihak yang cuba mempertahankan kedudukannya. Meski pun usul yang diura-urakan itu tidak menjadi kenyataan, moral daripada persepsi yang dihasilkan isu sms ugutan itu cuba dimanfaatkan puak penentang Ahmad untuk menjatuhkannya daripada tampuk kuasa, sama ada dalam kerajaan atau parti.

Usaha itu makin menjadi-jadi apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan Umno peringkat Pusat. Pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu menggantikan Ahmad seakan menghampirkan kumpulan penentang tadi kepada matlamat mereka.

Kesempatan itu mereka gunakan sepenuhnya untuk terus menekan Hishammuddin agar melakukan perubahan lebih besar dan lebih mereka hajati, iaitu menukar penjawat menteri besar. Kenyataan memperlekeh dan memburukkan Ahmad dibuat secara terbuka para pemimpin Umno Terengganu sendiri.

Apabila yang empunya angkara isu sms itu tertangkap, suasana kemelut sedikit berubah. Ia seakan kembali memihak kepada Ahmad kerana yang tertangkap itu bukan dari kalangan anak buahnya. Bahkan orang tersebut ada hubungan sangat rapat dengan seteru utama Ahmad dalam perebutan kuasa di Terengganu.

Kes itu masih dibicarakan dan pihak yang tertangkap mengaku tidak bersalah. Pihak pendakwaan bagaimana pun mengatakan ada kes sangat kuat terhadapnya.

Apa pun, setakat itu nama Ahmad dianggap bersih dari fitnah mengugut tiga Adun tadi. Kedudukan beliau dilihat bertambah selesa apabila berlakunya keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Terengganu awal bulan ini.

Ahmad antara pihak paling awal mengalu-alukan siasatan terperinci dilakukan atas kejadian itu. Bukan sahaja bagi mengenalpasti punca keruntuhan, tetapi juga sebarang kemungkinan berlaku akibat penyelewengan atau salah urustadbir berkaitan pembinaannya.

Keterbukaan Ahmad itu tidak sukar dimengertikan memandangkan beliau bukannya ketua kerajaan ketika stadium itu dibina. Meski pun turut menganggotai kerajaan BN ketika itu, beliau tidak memegang portfolio berkaitan dengan projek mega itu.

Perkembangan itu sekali gus mengisyaratkan bahawa kemelut dalaman dihadapi parti itu tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Kes terbaru siasatan rasuah membabitkan dua pemimpin daripada kem Ahmad dalam projek lebuh raya di ibu negara minggu lalu menggelegakkan lagi gelora Umno negeri.

Ada benarnya kata Wan Farid tadi, bahawa masalah bukan sahaja berlaku dalam Umno, tetapi juga parti-parti lain. Bagaimana pun, sebagai parti pemerintah Terengganu, pertelagahan berterusan para pemimpin Umno negeri itu adalah suatu yang merugikan masyarakat. Ia malah sudah sampai ke peringkat memuakkan rakyatnya.

Seolah-olah mereka tidak ada kerja lain selain asyik bergaduh, sehingga tumpuan membela nasib dan kepentingan rakyat tidak dapat disempurnakan.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 27 Jamadilakhir-4 Rejab 1430/21-27 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment