Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
“ANGIN tak ada, ribut tak ada, tahu-tahu bumbung runtuh!”
Itulah ungkapan baru yang laris disebut penduduk Terengganu dalam sehari-dua ini.
Ia menjadi sebutan ekoran insiden keruntuhan bumbung utama Stadium Sultan Mizan
Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Terengganu, pagi Selasa (2 Jun) lalu.
Mungkin ungkapan itu agak sinikal, terutama bagi beberapa
pihak yang selama ini begitu berbangga dengan pembinaan stadium tersebut. Bagaimana
pun, itulah realiti yang terpaksa diakui.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu seluruh struktur
bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu runtuh secara
tiba-tiba. Kejadian disahkan berlaku tanpa sebarang faktor semula jadi seperti
ribut atau angin kencang.
Stadium itu merupakan komponen utama Kompleks Sukan
Negeri Terengganu di Gong Badak yang baru siap dibina kira-kira setahun lalu
dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Kos pembinaan stadium itu sahaja
adalah RM292 juta. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia
(Sukma) 2008.
Kejadian mengejutkan itu mendapat reaksi segera pelbagai
pihak. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang bergegas meninjau
lokasi kejadian menyifatkannya sebagai kejadian yang amat memalukan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula
menganggap kejadian itu tidak menggambarkan profesionalisme dalam pembinaannya.
Manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, mengumumkan pihaknya akan
melantik konsultan bebas bagi menyiasat secara terperinci punca keruntuhan
tersebut.
PAS sebagai parti pembangkang utama di Terengganu
bagaimana pun pergi selangkah lebih jauh. Satu kenyataan dari Pesuruhjayanya, Datuk
Mustafa Ali, mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat
siasatan bagi mengesan sebarang kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dan
penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut.
“Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang)
menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Bagi mana-mana
projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap “progress” mesti diperiksa dan
disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut
spesifikasi, mana mungkin ianya runtuh?”, itu pula komen Timbalan Ketua Pemuda
PAS Terengganu, Wan Sukairi Abdullah.
Kejadian itu mengingatkan kita kepada beberapa kejadian
serupa melibatkan keruntuhan bangunan baru siap dibina yang pernah berlaku
sebelum ini. Di Terengganu sendiri, beberapa kes agak menyerlah turut
dilaporkan media sejak beberapa tahun lalu.
Antaranya ialah kes runtuhan siling dalam sebuah kelas di
Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang, pada 16 Januari
2006. Bangunan itu baru siap dibina tidak sampai tiga tahun sebelumnya. Kejadian
dikatakan berpunca daripada struktur yang menyokong siling tidak cukup kukuh
untuk menampung beratnya.
Kejadian lebih menggemparkan berlaku pada 12 April 2008. Seluruh
struktur bumbung Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai, juga
di daerah Marang, ranap sekelip mata.
Ia dikatakan berpunca daripada pemasangan sendi kekuda
bumbung itu yang tidak kukuh. Bangunan bernilai RM2 juta itu siap dibina pada
tahun 2004 dan baru mula digunakan pada 2005.
Satu lagi kerosakan bangunan baru yang tidak kurang
memalukan ialah apa yang berlaku ke atas Bazar Warisan, di tengah-tengah bandar
raya Kuala Terengganu. Bazar itu adalah salah satu di antara projek “hebat”
cetusan idea kreatif bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Projek
yang pernah diulangsebutnya sebagai mercutanda ala-Istanbul itu diimpikannya
menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri.
Ia dibina dengan perancangan bagi menggantikan Pasar
Besar Kedia Payang sebagai pusat utama jualan pelbagai produk kraf Terengganu
seperti batek, songket, anyaman, tembaga dan seumpamanya.
Lokasi pembinaan bazar itu memang strategik. Ia dibina di
kaki Bukit Puteri dan berhadapan Pasar Besar Kedai Payang, iaitu dua lokasi
terkenal yang sering menjadi kunjungan pelancong di pusat bandaraya Kuala
Terengganu.
Malangnya, meski pun baru siap dibina, kompleks
perniagaan yang memakan belanja RM18.4 juta itu telah mengalami kerosakan yang mencacatkan
binaannya.
“Saya dapati banyak fasiliti sudah rosak dan ini perlu
dibaiki segera. Saya tengok kerja (pembinaan Bazar Warisan) dibuat tidak begitu
baik. Bahan pembinaan yang digunakan pula dicampur, ada kayu berkualiti tinggi,
ada bermutu rendah,” demikian komen yang pernah diberikan Ahmad sendiri.
Meski pun kerosakan tidak melibatkan runtuhan struktur
luaran, tetapi dengan kos sebegitu besar dibelanjakan bagi membinanya, kerosakan
yang berlaku sebelum sempat digunakan sepenuhnya adalah suatu yang merugikan
rakyat.
Bazar Warisan hanyalah salah satu di antara beberapa
tinggalan pemerintahan Idris. Ada pun stadium termasuk dalam senarai paling
utama. Pembinaannya menjadi kebanggaan yang sering diulangsebut para pemimpin
Barisan Nasional (BN) Terengganu. Ia disenaraikan sebagai salah satu daripada
empat “impian menjadi realiti” bagi rakyat negeri itu.
Empat impian itu ialah pembinaan stadium, Lebuh Raya
Pantai Timur (LPT) Fasa II, penukaran Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza)
menjadi Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan pembesaran Lapangan Terbang
Sultan Mahmud (LSTM).
Malangnya, hanya dalam masa tidak sampai dua tahun
disiapkan, projek yang menelan belanja ratusan juta dan sangat dibanggakan BN
itu runtuh menyembah bumi. Runtuhnya salah satu projek “impian menjadi realiti”
itu sebenarnya meruntuhkan bersamanya keegoan dan kebongkakan pihak yang
merencanakannya.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 13-19 Jamadilakhir 1430/7-13 Jun 2009 dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment