Oleh: Mat Zain Mat Isa
Bahang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu semakin terasa.
Meski pun penamaan calon hanya akan dilakukan pada 6 Januari depan, cakap-cakap
mengenai siapa yang bakal dipilih mewakili parti-parti dalam pilihan raya itu
telah bermula sebaik penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail meninggal,
akhir November.
Teka-teki itu terjawab di sebelah pihak petang semalam (Sabtu). Barisan
Nasional telah mempertaruhkan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator
Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk dipilih pengundi pada 17 Januari nanti.
Di pihak lawannya, sudah ada kesepakatan di kalangan Pakatan Rakyat
untuk menyerahkan kerusi itu kepada PAS. Nama calonnya bagaimana pun masih
belum diputuskan.
Cuma yang hampir pasti, laluan untuk Mohamad Sabu (Mat Sabu), bekas
calon pada pilihan raya umum, Mac lalu, sudah hampir tertutup. Kedengaran
suara-suara sangat lantang di kalangan pendokong dan jentera PAS di Terengganu
sendiri kononnya Naib Presiden PAS itu tidak dapat diterima pengundi.
Alasan utama diberikan ialah kerana Mat Sabu 'orang luar'. Maka, di atas
sangkaan dan dakwaan untuk memenuhi selera pengundi yang mahukan anak tempatan,
pihak dalaman PAS sendiri menuntut agar seorang anak tempatan dipilih sebagai
calon kali ini.
Penulis merasa terpanggil mengulas kesimpulan itu. Apatah lagi satu
analisa turut disiarkan sebuah tabloid mingguan, hari ini (Ahad, 21 Disember)
bagi memperkuatkan kesimpulan tadi.
Bagi penulis, menyimpulkan kekalahan Mat Sabu semata-mata atas faktor
dia 'orang luar' adalah satu penilaian sangat simplistik dan agak gopoh.
Bahkan, ia satu ketidak adilan terhadap tokoh yang dianggap 'ayam sabung' PAS
itu.
Begini saja lah! Apa kata kita teliti semula perangkaan keputusan
pilihan raya kawasan itu Mac lalu dan kita bandingkan dengan apa yang berlaku
di situ pada 2004 dulu, boleh?
Mac lalu, Mat Sabu mendapat 31,934 undi berbanding Razali 32,562.
Majoriti kemenangan calon BN ialah 628 undi. Seorang calon Bebas, Maimun Yusof
(Tok Mun) mendapat 685 undi.
Sebagai perbandingan, pelbagai pihak mengemukakan perangkaan undi
diperolehi kedua-dua pihak di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). Jumlah
diperolehi PAS di keempat-empat Dun (termasuk Dun Bandar ditandingi KeADILan)
ialah 33,279 undi. Undi BN pula 31,486.
Beza undi kemenangan PAS atas BN ialah 2,243. Angka itu jika ditolak
undi nenek tua tadi, masih ada 1,558. Mereka pun kata, jika tidak kerana Mat
Sabu 'orang luar' dia sepatutnya telah menang dengan majoriti 1,558 undi!
Nanti dulu saudara! Jangan mudah buat kesimpulan. Kita analisa lebih
terperinci sikit.
Undi dipungut Mat Sabu berbanding empat calon Dun merosot 1,795 undi.
Kita namakan mereka undi lari. Betul, Mat Sabu tidak sepopular calon-calon Dun.
Tapi tidak kesemua undi lari itu pergi kepada Razali. Beza undinya
dengan calon-calon BN di empat Dun ialah 1,076 undi lebih banyak.
Ertinya ada 719 undi lari yang tidak juga mengundi BN. Kita simpulkan
685 daripadanya pergi kepada Tok Mun dan 34 undi lagi tidak mengundi mana-mana
calon.
Soalnya, apakah undi 685 kepada Tok Mun itu semata-mata kerana tidak
berkenaan kepada Mat Sabu? Apakah tidak mungkin ia kerana simpati kepada nenek
itu?
Penulis menyimpulkan bahawa faktor simpati terhadap calon Bebas itu juga
satu kemungkinan kekalahan PAS. Bayangkan andaikata 685 undi itu tidak
bersimpati kepadanya dan mengundi Mat Sabu, apakah BN masih menang?
Itu satu. Ertinya, kekalahan Mat Sabu bukan semata-mata kerana dia
'orang luar'.
Yang kedua, kita teliti pula undi di kawsan sama pada 2004 lalu. BN
diwakili Razali, manakala PAS mempertaruhkan Dr Syed Azman Syed Nawawi. Dia
bukan sahaja ada kelulusan akademik tinggi, AJK PAS Pusat, bekas Ahli parlimen
1999, tetapi paling penting (dalam konteks penghujahan ini) ialah beliau anak
tempatan Kuala Terengganu.
Semua kita tahu beliau kalah dengan majoriti 1,933 undi kepada Razali.
Itu tidak mengejutkan sebab kawasan-kawasan lain pun PAS kalah teruk ketika
itu, hingga hilang kerajaan negeri.
Apa yang perlu diteliti, kekalahannya dengan hampir 2,000 undi itu juga
tidak sepatutnya berlaku. Jika dijumlahkan undi-undi peringkat Dun, PAS
mendapat 29,750 undi berbanding BN dengan 30,375 undi. Beza undi majoriti hanya
625 undi yang memihak kepada BN.
Syed Azman mendapat 29,061 undi, iaitu 689 undi kurang daripara
calon-calon PAS di empat Dun. Sekali lagi kita istilahkan 689 itu undi lari.
Jika tidak kerana undi itu, Syed Azman sepatutnya kalah hanya 625 undi,
bukannya 1,933 undi. Berbeza bukan?
Maka kesimpulan penulis yang kedua, kalau dikatakan undi lari dalam kes
Mat Sabu ialah kerana dia 'orang luar', bukankah fenomena serupa telah dialami
Syed Azman yang merupakan anak tempatan?
Untuk kesimpulan ketiga, kita teliti lagi keputusan 2004 itu. Razali
mendapat 30,994 undi, iaitu penambahan 619 undi lebih daripada empat calon BN
di Dun. Ada 70 undi lari dari PAS yang tidak mengundi mana-mana calon.
Dalam ertikata lain, faktor peribadi calon BN itu turut memainkan
peranan. Kita boleh simpulkan bahawa Razali telah mendapat undi peribadi
sebanyak 619 undi.
Kita andaikan jumlah itu kekal pada 2008. Bermakna 1,076 undi peribadi
diperolehinya Mac lalu hanya melibatkan 457 undi tambahan. Apa peliknya
tambahan sebanyak itu kerana jumlah keluar mengundi di kawasan itu meningkat 5,267
orang berbanding 2004 lalu.
Sepertimana disebutkan, besar kemungkinan Mat Sabu tidak akan dipilih
semula. Kalau penulis sendiri berada di tempat beliau pun, penulis tidak akan
menerima tawaran bertanding semula, setelah diberi tanggapan sebegitu negatif.
Namun, itu bukan persoalan yang nak diperbahaskan di sini. Analisa
semula oleh penulis ini hanyalah untuk mengajak kita lebih teliti dalam
mengamati sesuatu perkara sebelum mengambil sebarang kesimpulan.
Berdasarkan analisa ringkas tadi, penulis sekali lagi menyangkal dakwaan
kekalahan Mat Sabu tempohari semata-mata kerana dia 'orang luar'. Maaf cakap,
bagi penulis kesimpulan itu adalah satu kedangkalan, menggambarkan kerja gopoh
dan minda simplistik pihak terbabit.
Ia juga seolah-olah mengesahkan bahawa orang Terengganu sangat tebal
sentimen kenegeriannya. Sedangkan hakikatnya tidak begitu, sebab penulis juga
orang Terengganu.
Paling utama, dakwaan tadi satu ketidak adilan yang sangat dikesali
terhadap fakta sebenar, lebih-lebih lagi terhadap Mat Sabu sendiri.
(Artikel ini disiarkan laman
harakahdaily.net pada 21 Disember 2008. Ia menarik perhatian sebilangan
pemimpin tertinggi PAS yang kemudiannya mengarahkan admin laman itu ‘remove’
(membuang) artikel ini dari paparan, hanya selepas tidak sampai 24 jam
disiarkan)
No comments:
Post a Comment